Pun demikian, dari hari pertama lagi, saya mengikuti de­ngan dekat tindak tanduk kerajaan baharu ini, dan saya dapati ada beberapa perkara yang agak merisaukan.

Jika diteliti muka surat 4 Buku Harapan, kerajaan hari ini berjanji “akan menghentikan kerosakan institusi-institusi penting negara, dan akan mengembalikan kedaulatan undang-undang, lantas menjamin kebebasan agensi penting dalam kerajaan.”

Tetapi tindak tanduk kerajaan hari ini nampak sungguh membelakangkan kedaulatan undang-undang (rule of law), dan lebih berpihak kepada kedaulatan kekuasaan (rule of might). Berikut adalah tiga perkara itu:-

Kejanggalan pertama - Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah memberikan kenyataan di hari kedua pembentukan kerajaan baharu bahawa Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju untuk memberikan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hal ini amat janggal, kerana di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, sungguhpun kuasa untuk memberikan pengampunan adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan A­gong, tetapi kuasa itu hendaklah dijalankan atas nasihat Lembaga Pengampunan. Persoalannya, adakah Lembaga Pengampunan telah bersidang, untuk mengatakan Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju memberikan pengampunan penuh kepada Anwar?

Jika diteliti Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara adalah salah seorang ahli dalam Lembaga Pengampunan; Perkara 42(9) pula memperuntukkan bahawa sebelum membuat sebarang nasihat untuk pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Lembaga Pengampunan hendaklah mendapatkan pandangan bertulis daripada Peguam Negara terlebih dahulu.

Saya yakin, kesemua perkara ini belum dilakukan lagi, kerana sejak menubuhkan kerajaan baharu, hari bekerja pun belum bermula lagi, dan Lembaga Pengampunan pun belum bersidang, bahkan bagaimanakah agaknya rupa bentuknya pandangan bertulis Peguam Negara nanti? Jus­teru mengapa Dr. Mahathir sebagai perdana menteri yang telah mengangkat sumpah dan Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri (yang belum mengangkat sumpah ) bull doze kesemua peruntukan keperlembagaan ini?

Kejanggalan kedua - Apabila Dr. Mahathir dalam satu sidang media mengumumkan bahawa Peguam Negara sekarang ini bukanlah lagi Peguam Negara, dan kini terdapat kekosongan untuk jawatan itu.

Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sungguhpun Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan seseorang Peguam Negara, tetapi sebaik-baik sahaja dia telah dilantik, maka dia berhak memegang jawatan itu selagi mana diper­kenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Hal ini bermaksud bahawa seseorang Perdana Menteri tiada hak untuk memecat Peguam Negara sesuka hatinya.

Bahkan jika diingatkan lagi, di ketika Peguam Negara terdahulu Tan Sri Abdul Gani Patail diberhentikan jawatannya serta merta, banyak pihak, termasuk Dr. Mahathir sendiri, mempersoalkan keabsahan pemecatan itu. Hal ini terkandung di dalam kertas-kertas kausa mahkamah yang difailkan oleh Dr. Mahathir di dalam kes samannya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak. Malahan Gobind Singh dan Ambiga juga pernah mengutarakan hal yang sama.

Jika dahulu pemecatan Gani Patail dikatakan tidak mengikut Perlembagaan, maka adakah ‘pemecatan’ Tan Sri Mohamed Apandi Ali secara unilateral oleh Dr. Mahathir melalui sidang media boleh dikatakan sebagai mengikut perlembagaan?

Kejanggalan ketiga pula ialah pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan. Ini adalah secara jelas suatu konflik kepen­tingan. Guan Eng masih menghadapi pertuduhan jenayah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, justeru selagi mana beliau belum membersihkan namanya, beliau tidak seharusnya dibenarkan untuk memegang sebarang portfolio jawatan awam kerana dikhuatiri beliau boleh menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk mempengaruhi keputusan mahkamah. Prinsip keadilan memperuntukkan bahawa keadilan tidak hanya perlu dilaksanakan, malahan ia juga perlu tampak dilaksanakan.

Akhir kata, saya perlu tekankan bahawa saya bukan ingin mempertahankan rejim terdahulu (pimpinan Najib). Bahkan jika kalian scroll timeline dalam Facebook saya dari tahun 2015 hingga kini, kalian akan menemui banyak kritikan-kritikan saya terhadap Najib.

Bahawa beliau perlu diadili, itu adalah sememangnya tidak dipertikaikan. Tetapi proses untuk mencapai keadilan tersebut perlulah mengikut prinsip-prinsip yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan, dan tidak boleh sama sekali mem­belakangkan kedaulatan undang-undang semata-mata untuk mencapai sesuatu tujuan. Amatlah merisaukan melihatkan di hari-hari awalnya lagi, kerajaan baharu ini tidak menunjukkan minat untuk menghormati peruntukan keperlembagaan, lantas apakah bezanya mereka dengan kerajaan terdahulu yang digantikannya?

PENULIS ialah seorang peguam.