Dari dekad ke dekad, hanya nama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kedengaran dalam senarai calon Perdana Menteri kalau tidak pun Tengku Razaleigh Hamzah. Kedua-duanya dari perut UMNO.

Walaupun selalu bangga dengan ideologi parti yang begitu mengujakan dan kaedah pengkaderan begitu sistematik tetapi tetap sahaja gagal melahirkan calon pemimpin bertaraf Perdana Menteri. Di manakah silapnya? Barangkali ini berkait dengan cara mereka mengurus parti. Kebanyakan parti pembangkang ditubuhkan hasil rasa tidak puas hati dan dendam serta diurus untuk kepentingan sendiri.

Lebih teruk, mereka mudah terperangkap dalam gemerlap fantasi kekuasaan. Mereka bahkan rela melakukan kerja-kerja sesat lagi menyesatkan. Hasilnya pun kita tahu, hanya gempak politik yang merugikan negara dan melelahkan rakyat.

16 September 2008

Kekalutan 16 September 2008 akan diingati sebagai tarikh bagaimana sentimen dan persepsi dieksploitasi untuk manfaat bagi mengangkat seorang individu menjadi Perdana Menteri.

Gegak-gempita 16 September sehinggakan parti-parti kerajaan pun terkena tempiasnya. Mereka terpaksa menyembunyikan ahli-ahli Parlimen daripada dipujuk rayu menyertai projek gila jalan belakang menuju ke Putrajaya ini.

Tarikh ini juga kemudian diingati dalam catatan sejarah kegagalan Anwar merampas Putrajaya. Sentimen ini mahu diulang tayang namun hasilnya tetap sama – tidak ke mana.

Anwar yang keluar masuk penjara ini dalam keadaan apa pun mahu terus diangkat sebagai pemimpin utama. Yang janggalnya, pada ketika itu hanya DAP yang kelihatan bersungguh-sungguh. Semangat PKR, yang terbelah dua kem kekuasaan tidak lebih hanya suam-suam kuku terutama sejak akhir-akhir ini.

Sempena Hari Malaysia 2012 umpamanya, DAP antara yang kuat berkempen agar Anwar di­bebaskan dengan cara diberikan pengampunan diraja. Bagi mereka, langkah untuk menjadikan Hari Malaysia yang diraikan untuk kali ke-49 pada tahun itu sebagai sebuah perayaan Hari Kebangsaan harus ditandai dengan pem­bebasan Anwar.

Kata supremo Lim Kit Siang: “Tidak ada permulaan yang lebih baik dalam proses menyatukan semua rakyat Malaysia untuk tujuan membina Malaysia yang unggul selain pembebasan patriot dan pemimpin Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tahanan penjara”.

* Langkah Kajang 2014

Demi nafsu politik, pilihan raya kecil terpaksa diadakan. Dan, ini bukan strategi baharu pakatan pembangkang. Mereka lebih awal melakukannya di Parlimen Permatang Pauh. Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail melakukannya demi Anwar.

Di Kajang, yang mereka popularkan sebagai Langkah Kajang dibuat untuk menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada kerusi Menteri Besar Selangor. Rancangan asalnya jawatan itu digantikan dengan Anwar kononnya untuk mendekatkan jangkauan ke Putrajaya.

Sudah tentu sebagaimana projek-projek gila lainnya, Langkah Kajang gagal mencapai matlamatnya apabila Anwar terlebih dahulu disabitkan dengan kesalahan liwat.

Atas kertas, Langkah Kajang sebagaimana gerakan 16 September, memang menakjubkan. Otak di sebalik konspirasi ini ialah Rafizi Ramli.

Realitinya Langkah Kajang telah melebarkan perpecahan dalam PKR dan Pas sehingga membawa kepada terkuburnya Pakatan Rakyat. Pas paling terasa yang kemudian bertindak tegas menggagalkan keserakahan PKR ini. Pas berjaya memintas di hujung selekoh pada akhir perlumbaan.

Wan Azizah walaupun memenangi kerusi DUN Kajang yang dikosongkan oleh Lee Chin Cheh itu hanya sekadar menjadi ADUN biasa. Atas pengaruh Pas dan kuasa Sultan Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipilih sebagai Menteri Besar.

Azmin yang mempunyai kem sendiri memang bukan susuk yang menjadi keutamaan dalam PKR mahupun dalam gabungan Pakatan Harapan sekarang. Bukan rahsia beliau tidak disukai oleh kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapzn. Azmin jarang muncul dalam mesyuarat-mesyuarat penting Pakatan Harapan. Pimpinan tertinggi Pakatan Harapan di peringkat pusat dan Selangor malah berpakat menolak Azmin sebagai calon Perdana Menteri.

Dr. Mahathir 
calon PM sementara

Tahun 2018 menyaksikan politik pakatan pembangkang berlari ke belakang. Pakatan pembangkang menjadi tunggang terbalik. Anwar bukan lagi keutamaan sehinggakan sebilangan politikus PKR terpaksa bekerja ekstra keras untuk menjadikan Anwar kekal relevan.

Bermula tahun lalu, keutamaan pakatan ini ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ya, pemimpin dari perut UMNO juga yang telah melepaskan jawatan Perdana Menteri 15 tahun lalu. Sudah tentu banyak tentangan dari dalam kerana Dr. Mahathir yang atas restu DAP, menjadi begitu dominan sekarang. Kehadiran PPBM yang juga mendapat agihan lebih banyak kerusi pilihan raya seperti tidak dialu-alukan.

Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang terkubur sebenanya dalam keadaan lemah. Tempat berpijak mereka sangat rapuh. Sesama mereka akan terus bertelingkah dalam hal-hal kecil pun.

Kali ini, kegilaan kali ini lagi teruk. Tidak lebih ia sekali lagi akan menenggelamkan Pakatan Harapan. Dan, kegagalan untuk melahirkan pemimpin sendiri sekelas Perdana Menteri akan berterusan sejalan dengan kegilaan yang bersambungan.