Pagi Jumaat lalu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman bersama isterinya baru pulang selepas menziarah beberapa orang penduduk kampung yang uzur ketika kami menunggunya untuk temu bual tentang isu yang semakin menekan kepemimpinannya.
 Kelihatan tenang dan bersahaja, semacam biasa, seolah-olah tiada apa yang menggusarkan ketika usia pentadbirannya makin singkat kerana persidangan Dewan Undangan Negeri pada 8 Ogos ini digambarkan  sebagai kemuncak kepada episod drama politik negeri.
  Tarikh itu yang bagi sesetengah pihak mahu dilihat sebagai penentu kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kepemimpinannya dengan desas-desus kemungkinan sekali lagi ada satu atau dua anggota Dewan berpaling tadah untuk memaksa beliau turun atau mengatur langkah membubar DUN.
 Wartawan Mingguan Malaysia, Wan Zulkifli Wan Yaacob dan Rosalinda Md.Said cuba menyorot pandangan Ahmad Razif berhubung kemelut berpanjangan - pastinya menjadi fokus penggemar kisah-kisah politik, juga bagi mereka yang mulai menghitung untung dan rugi setiap sokongan.
 Namun beliau lebih suka memperkatakan soal usaha untuk terus membangunkan negeri, memperbaiki sebarang kelemahan, mengembangkan lagi sebarang kebaikan agar tidak menghampakan rakyat.
“Biar remuk digenggaman, asal tak reput menyembah bumi," menggambarkan tekad dan ketegasan yang telah disuarakan beliau sebelum ini.

MINGGUAN: Yang Amat Berhormat (YAB) telah melalui perjalanan lebih dua tahun memikul amanah menerajui pentadbiran negeri dengan mencorak gagasan tersendiri. Bagaimana laluan sepanjang tempoh yang telah berlalu?

 AHMAD RAZIF: Saya menerima pelantikan ini sebagai suatu amanah. Ini semua ketentuan Allah. Sebagai seorang Muslim, Kita perlu terima ketentuan, qada' dan qadar Allah yang menetapkan segala sesuatu sepanjang kehidupan ini.
 Sejak awal, saya berazam untuk melaksanakan amanah ini sebaik-baik mungkin selaras dengan gelaran negeri Terengganu Darul Iman. Saya juga percaya bahawa sekiranya saya tunaikannya, maka ganjaran tentulah besar,dan sekiranya saya mengkhianati, maka balasan menanti juga tentulah besar.
 Saya telah membuat ketegasan sejak awal – mana kerja baik yang telah dilaksanakan oleh bekas menteri besar terdahulu akan saya teruskan. Saya juga tidak melakukan sebarang rombakan Exco sehinggalah selepas dua tahun pentadbiran saya. Ini bagi memastikan wujud kestabilan, meredakan keadaan dan mengelakkan ketidaktentuan yang mungkin timbul.

 Apa cabaran utama YAB hadapi di peringkat awal?
AHMAD RAZIF:
Saya mewarisi legasi, apa yang telah ditinggalkan sebelum ini. Sesiapa sahaja yang berada di tempat saya, mesti berhadapan dengan hakikat bahawa kerajaan ini ditegakkan dengan perbezaan hanya dua kerusi, mudah terdedah kepada sebarang ancaman dan ugutan dari dalam dan luar.
Belum pernah berlaku sebelum ini kita tadbir negeri dengan hanya 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Inilah yang saya maksudkan dengan ibu kepada segala masalah politik di Terengganu. Ini satu cabaran. Keadaan ini juga sedikit sebanyak menjatuhkan semangat orang parti.
 Suasana politik di peringkat nasional juga sangat mencabar. Kita di Terengganu turut merasa tempiasnya dan saya percaya, negeri ini sebenarnya cuba dijadikan tapak percaturan politik untuk menggugat kepemimpinan di peringkat Pusat yang mesti saya halang.
 Kedudukan ekonomi negara dan negeri juga perlukan suntikan. Harga minyak jatuh dan oleh kerana sebahagian sumber pendapatan negeri datangnya dari wang ihsan petroleum, maka ini sedikit sebanyak menjejaskan perancangan kita, justeru sumber lain perlu dipertingkatkan dan penekanan diberikan terutama kepada aspek pelancongan.
 Namun banyak juga yang positif. Antaranya ialah sokongan padu jentera pentadbiran awam. Mereka ini bersemangat untuk membangunkan negeri dan saya dapat banyak inspirasi melalui kesungguhan dan iltizam para penjawat awam yang menyumbang tenaga semata–mata kerana ingin melihat Terengganu lebih cemerlang. Terima kasih.

 Apakah keutamaan YAB sekarang?
AHMAD RAZIF:
Saya tidak ada banyak masa. Berikan saya dan rakan-rakan exco untuk menyelesaikan tugasan. Saya tegaskan yang saya akan terus memandang ke hadapan, mengatur strategi mengikut tahun dalam menterjemahkan Transformasi Terengganu Baharu (TTB), gagasan bagi membangunkan segenap potensi dan keupayaan yang ada untuk manfaat rakyat.
 Selain terus membela nasib mereka dengan pelbagai langkah baharu sebagai sebuah negeri berkebajikan, kita tanamkan semangat dan keyakinan supaya rakyat sentiasa berani mencabar kelaziman. Ini bukan retorik kerana semangat TTB inilah yang akhirnya berjaya mencatatkan lebih 50 cerita dalam pelbagai bidang sepanjang dua tahun saya menjadi menteri besar.
 Antara lain kita telah memacu rantaian sekolah Imtiaz ke arah pendidikan bertaraf dunia, melengkapkan penubuhannya di setiap daerah; mewujudkan Kolej -al-Quran Terengganu yang disasarkan menjadi universiti al-Quran yang ulung; pengukuhan Dana Darul Iman yang membela anak-anak negeri yang ditimpa bencana kesihatan.
 Kita juga mendominasikan pelbagai segmen sukan dan menggerakkan usaha untuk melengkapkan rantaian jalan pantai bertaraf lebuh raya kedua bagi negeri ini dengan memanfaatkan dana negeri dalam Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), di samping penubuhan bandar baharu Kuala Nerus.
 Dalam usaha mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak, kita membentuk MEN-T yang membantu merangka merubah struktur ekonomi daripada ekonomi yang berasaskan sumber alam kepada ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau K-economy (knowledge based economy). Tiga daripada lima sektor teras di bawah MEN-T adalah yang bersifat K-economy.
 Kita juga merancang supaya ekonomi negeri dapat dipacu oleh sektor swasta dan tidak lagi sektor awam. Sebab itu, daripada RM15.1 bilion jangkaan pelaburan, RM11.3 bilion adalah daripada pelaburan swasta manakala RM 2.02 bilion pelaburan awam.
 Ini usaha kita untuk mempelbagaikan ekonomi. Tumpuan kita kini ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ketika saya juga selaku Menteri Besar ke-14 . Kita telah dapat memberi keyakinan dan meningkatkan kepercayaan rakyat bahawa kita berusaha ke arah memastikan masa depan yang lebih baik dan insya-Allah akan lebih terjamin di bawah pentadbiran BN.

 YAB sebutkan tadi tentang legasi, dan Terengganu ada sejarah kepimpinan yang panjang dan penuh warna-warni. Bagaimana hubungan dengan bekas-bekas Menteri Besar?
 AHMAD RAZIF:
Saya anggap diri saya dan kepemimpinan saya selaku Menteri Besar sebagai satu kesinambungan kepada kepemimpinan mereka. Tiga mantan Menteri Besar daripada BN iaitu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said.  Saya meletakkan penghargaan yang tinggi buat mereka, legasi mereka yang baik akan tetap kekal. Segala apa yang baik, yang telah mereka tinggalkan, saya teruskan untuk dikembang dan diperkukuhkan manakala jika ada kelemahan dan terencat di sana-sini, kita berusaha mencari jalan untuk memulihnya walaupun terpaksa mengambil masa.
 Masing–masing telah menyumbang kepada pembangunan negeri. Saya bersyukur kerana Tan Sri Wan Mokhtar dan Datuk Seri Idris khasnya, sentiasa memberi semangat dan dorongan untuk saya terus berjaya. Malah Datuk Seri Abdul Hadi Awang pun ada membantu dalam bentuk nasihat dan buah fikiran.

Namun berlaku pertembungan dengan Ahmad Said yang berpaling dengan tidak memberi sokongan kepada YAB, dan apabila beliau menimbulkan keributan dengan cuba mengemukakan usul undi tidak percaya dalam sidang Dewan yang lalu dan ada yang cuba mengambil kesempatan,  YAB kelihatan tegas dan mula sedia berdepan dengan pelbagai kemungkinan. Tidakkah ini sudah terlewat?
 AHMAD RAZIF
: Saya terus berusaha berjiwa besar dengan harapan biarlah saya menjadi contoh kepada barisan kepemimpinan lain bahawa kita perlu mengutamakan parti daripada peribadi, tetap memberi tempat kepada yang masih sedia untuk berkhidmat.
 Kerana itu saya melihat apabila saya menggerakkan gagasan TTB yang bersifat inklusif ke arah Terengganu Terbaik, saya ingin melaksanakan dalam keadaan tidak ada tekanan yang kuat bagi melancarkan perjalanan, saya tetap memberikan mereka tempat (kalangan yang mungkin tidak menyebelahinya).
 Tidak ada diskriminasi termasuk dari segi peruntukan untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) malah kita bersetuju peruntukan beberapa projek yang dipohon oleh Ahmad Said bernilai lebih RM600 juta diluluskan sebelum ini.
 Tetapi kalau ada sebilangan kecil yang tidak menghargai apa yang saya laksanakan, dan masih menyerang kerajaan, kepemimpinan negeri dan Pusat, apa pilihan yang saya ada? Saya mesti meletakkan parti di hadapan dan dalam keadaan ini menuntut kepada ketegasan dalam tindakan dan sedia memikul segala tanggungjawab kelak.
 Perletakkan jawatan saya tidak akan menyelesaikan masalah kerana kedudukan kerajaan akan tetap goyah dengan jumlah kerusi yang tipis dan siapa yang boleh memberi jaminan bahawa tiada lagi yang akan memberikan ancaman.
 Sebab itu bagi saya hari ini, kita minta tidak berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) yang merugikan masa dan belanja tetapi dalam keadaan yang terpaksa dan untuk memastikan maruah parti tidak tercabar, bagi saya tidak ada masalah, saya bersedia.
 Saya berkeyakinan penuh dan telah memberikan janji kepada Perdana Menteri bahawa  majoriti dua pertiga jika berlaku PRN, dan saya akan ambil tanggungjawab sepenuhya. Bagi saya, kesetiaan pada parti adalah cukup mustahak ketika ini. Tentulah sangat tidak wajar kita menjaja segala tuduhan dan dakwaan terhadap kepemimpinan dengan terus memakai baju sama dan menggunakan pentas sama.
Adalah lebih baik duduk dalam kelompok lain  untuk senang dijawab tanpa dilihat bermusuh sesama sendiri. Dalam aspek begini ada perkara yang boleh diselesaikan dalam cara lembut dan ada juga secara keras. Ini merupakan gandingan dan gabungan yang perlu ada kepada setiap pemimpin. Saya yakin yang mustahak hari ini adalah kita kena ikhlas dan istiqamah untuk menuju kejayaan.
 
Adakah dengan cerita pergolakan yang tidak berkesudahan memberi kesan kepada usaha-usaha meneruskan pentadbiran membangunkan negeri?
 AHMAD RAZIF:
Tentu ada sedikit sebanyak. Ada pro dan kontra. Apa yang berlaku sebenarnya menjadikan negeri ini semena-mena kembali popular. Makin ramai yang cakap tentang Terengganu, atau mulai mahu mengenali negeri ini dengan lebih dekat. Tapi suasana yang cuba digembar-gemburkan tentang keadaan politik negeri yang turut meresahkan rakyat, juga meragukan kalangan pelabur yang bimbang komitmen akan terjejas bagi melakukan pelaburan atau mengembangkannya sehingga menarik diri. Ini akan memberikan kerugian kepada negeri selain menjejaskan dan merosakkan imej UMNO, BN dan pentadbiran saya yang memerlukan kesepaduan gerak untuk menterjemahkan gagasan negeri lebih berkesan.
 Alhamdulillah dalam keadaan sedemikian, saya nampak umumnya semua pihak termasuk pembangkang ingin melihat Terengganu maju dalam keadaan yang sejahtera dan saya tetap mengharapkan sokongan semua untuk berkerja bersama-sama.Saya masih percaya keadaan akan kembali pulih dengan sumpah dan janji yang dilafazkan semasa semua mula memikul tanggungjawab, dan janji itu ikhlas kepada Allah walaupun tidak tertulis.

Apa mesej YAB ingin sampaikan kepada rakyat?
AHMAD RAZIF:
Sekali lagi, dalam tempoh dua tahun, sudah banyak kita sama-sama catatkan cerita keja­yaan. Kita di landasan yang betul. Saya mahu terus memandang dan bergerak ke hadapan. Soal kedudukan saya kelak, wajib bagi saya terima ketentuan, qada' dan qadar Allah.