Suasana gamat itu tercetus apabila Ahli Parlimen Shah Alam itu sering mencelah ketika timbalan menteri berkenaan sedang menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Raja, Siti Mariah Mahmud mengenai perkembangan Atheist Republic Consulate of Kuala Lumpur. Biarpun sedikit kecoh, namun Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berjaya mengawal keadaan menjadi kembali tenang.

Masalah fahaman ateis ini dilihat sebagai ancaman baharu yang mampu mengganggu gugat keharmonian beragama dalam negara majmuk ini. Mereka dikatakan satu kumpulan ateis (tidak percaya wujudnya tuhan) yang semakin berkembang dalam negara khususnya dalam kelompok orang Melayu beragama Islam seolah-olah sedang menyalah tafsir perkara 11 (1) tentang kebebasan beragama sepatutnya perlu dibaca sekali dengan perkara 11 (4) yang mana kerajaan negeri mahupun Persekutuan mempunyai kuasa untuk mewujudkan undang-undang bagi mengawal apa-apa agama atau kepercayaan lain terhadap orang Islam apatah lagi yang terlibatkan dengan fahaman ateis itu adalah dari kalangan orang Islam.

Perbincangan kepada permasalahan kumpulan yang tidak percaya wujudnya tuhan ini bermula apabila terdapat sekumpulan anak Melayu beragama Islam tanpa segan silu dengan tidak rasa bersalah memuat naik gambar majlis pertemuan Kumpulan Ateis Malaysia yang dijalankan di ibu kota melalui Facebook rasmi bernama Atheist Republic sekitar Ogos lalu.

Perkara ini menimbulkan sedikit ketegangan di media sosial termasuklah beberapa lontaran komen daripada netizen yang menyarankan agar kumpulan ini bukan sahaja disiasat dan dibanteras bahkan ada yang mengancam supaya mereka ini dibunuh. Reaksi balas berbentuk ekstrem seperti itu menjadi kerisauan pihak kerajaan kerana berkemungkinan boleh menimbulkan satu keadaan tidak selamat dalam negara yang berbilang agama ini.

Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan yang tercatat dalam perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan sudah pasti menjadi ikatan murni yang mewujudkan keharmonian dalam negara Malaysia. Namun, ia tidaklah memberi maksud fahaman berbentuk baru seperti Wahabi, Syiah, Ateis, Liberal, Sekularisme serta ajaran sesat lain boleh diwujudkan dalam negara yang akhirnya boleh menimbulkan pelbagai keraguan terhadap masyarakat khususnya orang Islam itu sendiri.

Melihat kepada isu yang sangat kompleks ini, tidak sepatutnya ahli parlimen sama ada daripada pembangkang mahupun kerajaan bertikam lidah untuk mencari salah siapa, sebaliknya semua pihak perlu mencari jalan terbaik untuk menangani gejala yang tidak sihat ini. Tindakan Ahli Parlimen Shah Alam yang cuba menyalahkan kerajaan kononnya telah menggunakan agama untuk kekal sebagai pemerintah kepada menularnya fahaman ateis ini sangatlah tidak wajar sama sekali.

Menurut pandangan segelintir ahli sarjana dan agamawan, terdapat banyak faktor yang telah menyebabkan ramai dalam kalangan orang Islam khususnya remaja yang mula sangsi kepada wujudnya tuhan. Kebanyakan daripada mereka yang terlibat dengan fahaman ateis adalah dalam kalangan remaja yang masih mencari identiti hidup mereka.

Faktor keluarga porak peranda seperti mangsa penceraian, ibu-bapa terlalu sibuk dengan kerjaya dan mengabaikan anak-anak, terikut dengan kehidupan cara barat, kurang didikan agama dan sejarah Islam serta pernah menjadi mangsa pencabulan oleh keluarga sendiri antara punca kepada terjadinya masalah ateis.

Selain itu, faktor keganasan atau peperangan yang berlaku antara kumpulan agama, perselisihan pendapat antara agamawan dalam sesuatu isu sehingga meragukan masyarakat dan kegiatan pelampau agama menyebabkan mereka tidak percaya tentang wujudnya tuhan. Faktor-faktor ini sekali gus menyanggah tuduhan liar Khalid sewaktu di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini.

Persoalannya, apakah langkah terbaik untuk menyekat fahaman ateis ini terus menular dalam negara kita? Apakah undang-undang serta penguatkuasaan terlalu longgar hingga membuka ruang kepada golongan tertentu untuk menyebarkan fahaman yang tidak sihat dalam negara yang berbilang kaum dan agama ini?

Kita bukan hanya bimbang tentang fahaman ateis yang disebarkan semata-mata tetapi pada masa sama reaksi balas daripada kumpulan yang membenci ateis ini juga harus difikirkan.

Kita tidak mahu akan berlaku pertembungan daripada dua puak yang akhirnya mengundang kepada perkara yang tidak diingini seperti pergaduhan dan sebagainya. Seharusnya, setiap daripada rakyat Malaysia perlulah berpegang kepada prinsip rukun negara serta perlembagaan persekutuan yang menjadi simbol keharmonian beragama sejak merdeka serta pasca 13 Mei 1969.

Konsep wasatiyyah diketengahkan kerajaan hari ini adalah kaedah dakwah yang sangat baik untuk mencegah daripada berlakunya isu-isu seperti ateis ini.

Wasatiyyah atau berimbang dalam segala aspek khususnya beragama adalah wajar diutamakan untuk memastikan kumpulan radikal atau ekstremis tidak wujud dalam negara yang menjadi punca mengapa Islam dilabelkan pengganas sekali gus menyebabkan segelintir umat Islam sendiri menjauhkan diri dari Islam dan cenderung kepada fahaman ateis.

PENULIS ialah Penolong Pengarah Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri Negeri Perak.