ABDUL AZIZ ABDUL RAHMAN
ABDUL AZIZ ABDUL RAHMAN

Pakar ekonomi dari Norway, Tan Sri Just Faaland ialah individu penting yang terlibat merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu strategi serampang dua mata untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Sepanjang forum yang dianjurkan secara bersama oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kumpulan Utusan, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan Insititut Chr. Michelsen (CMI), kebanyakan ahli panel dan peserta meluahkan harapan supaya elemen DEB dimasukkan dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50) iaitu satu dasar baharu pembangunan negara yang akan dilaksanakan dari 2020 hingga 2050.

Harapan itu diluahkan kerana mereka mempunyai persepsi bahawa DEB hanya dilaksanakan selama 20 tahun dari 1971 hingga 1990.

Kerajaan selepas itu telah memperkenalkan dasar-dasar baharu lain seperti Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dari 1991 hingga 2000 yang turut mengandungi beberapa objektif bagi membantu bumiputera walaupun tidak menyeluruh seperti DEB.

DEB tidak disentuh secara terbuka dalam DPN dan dasar-dasar lain selepas itu seperti Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan pada 2004 dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada 2009.

Ini diikuti pula dengan kerajaan memperkenalkan Model Baru Ekonomi pada 2010 dan Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada 2013.

Bagaimanapun, bagi pengamal undang-undang, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, persepsi salah ahli panel dan peserta forum perlu diperbetulkan kerana DEB sebenarnya tidak boleh dianggap telah dibatalkan.

Menurut Abdul Aziz, beliau tidak menyalahkan ahli panel dan peserta forum kerana mempu­nyai tanggapan sedemikian kerana itulah persepsi umum terhadap DEB. Tidak pula kedengaran mana-mana pihak yang secara terbuka membincangkan ­pelaksanaan dan pembatalan dasar itu dari sudut perundangan.

Beliau berkata, semua pihak khususnya ahli-ahli Parlimen bumiputera harus sedar bahawa langkah mewujudkan DEB mempunyai kaitan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 mempunyai peruntukan menyebut Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera dengan menentukan perizaban kepada mereka melibatkan jawatan dalam perkhidmatan awam, permit dan lesen perniagaan, biasiswa serta keistimewaan pendidikan atau latihan.

Seri Paduka juga boleh memberi arahan kepada mana-mana pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk melaksanakan perkara itu termasuk menolong orang ­Melayu dan bumiputera melibatkan diri dalam bidang perdagangan dan perindustrian memandangkan selama ini golongan itu ketinggalan dalam bidang ekonomi.

“DEB memang telah diaturkan dan dilaksanakan mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu berkaitan melin­dungi hak istimewa orang Melayu.

“Dalam Perlembagaan juga terdapat Perkara 38(5) yang me­nyatakan bahawa Majlis Raja-Raja hendaklah dirunding sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153.

“Oleh kerana pembatalan DEB ini tidak dirundingkan dengan Majlis Raja-Raja, maka pembatalan ini adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan. Diminta perkara ini diambil perhatian dan diperbaiki dengan menghidupkan semula DEB,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, kelmarin.

Tambah Abdul Aziz, beliau sehingga sekarang masih belum mendapat jawapan kenapa dasar yang cukup penting kepada ekonomi negara dan mempunyai kaitan dengan Perkara 153 dibatalkan tanpa berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Beliau juga hairan kerana pelanggaran prosedur itu tidak dibantah oleh pihak-pihak yang lebih arif mengenai undang-undang negara.

“Segala apa yang ditulis dalam Perlembagaan ini mempunyai sebab-sebab tertentu dan bukan nak tulis macam buku biasa. Peruntukan ini tidak boleh ‘dilanggar’ begitu sahaja,” tegasnya.

Pendedahan oleh Abdul Aziz ini perlu dipandang serius oleh semua pihak khususnya ahli-ahli Parlimen bumiputera. Mereka seharusnya mendesak diadakan siasatan menyeluruh kenapa dasar yang penting untuk memastikan golongan majoriti negara ini tidak dipinggirkan dibatalkan tanpa mengikut prosedur betul.

Jika benar pembatalan DEB dibuat secara tidak sah, sudah sampai masanya semua bumiputera bangkit menyokong Abdul Aziz yang menuntut dasar itu dihidupkan semula.

Walaupun lebih dikenali sebagai bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines System Berhad (MAS), beliau sebenarnya cukup berpengetahuan berkenaan undang-undang kerana pernah berkhidmat di pejabat Peguam Negara dan bertugas sebagai pegawai undang-undang Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Mageran yang ditubuhkan ekoran tercetusnya tragedi 13 Mei 1969 diketuai oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein sebagai Pengarah.

Badan itu berperanan mengawal ketenteraman, memastikan kelicinan pentadbiran negara dan mewujudkan perasaan saling mempercayai dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

Dua permasalahan utama yang perlu diselesaikan oleh Mageran adalah isu keretakan hubungan antara kaum dan ketidakseimbangan ekonomi apabila bumiputera tertinggal jauh di belakang.

Antara yang dilaksanakan oleh Mageran adalah memperkenalkan DEB pada Januari 1971 yang boleh dikatakan berjaya membasmi kemiskinan tetapi belum mencapai banyak objektif lain yang ditetapkan.

Mageran kemudiannya dibubarkan pada tahun berkenaan dan Parlimen dipulihkan.