Begitulah teruknya bencana banjir yang melanda negeri-negeri utara terutamanya Pulau Pinang. Bencana ini memerlukan kerjasama baik oleh semua pihak ter­utamanya antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan. Meskipun berlainan fahaman politik, namun dalam hal melibatkan kebajikan dan nasib rakyat, perbezaan tersebut perlu diketepikan. Malah, perlu sentiasa berbaik sangka dan tidak berbalah antara satu sama lain sehingga merugikan rakyat.

Inilah juga yang perlu dilakukan dalam hal melibatkan ekonomi negara. Tindakan Kerajaan Persekutuan me­ngadakan hubungan ekonomi dengan negara-negara kuasa besar ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat (AS) adalah bertujuan untuk mencapai kebaikan bersama. Mengukuh­kan hubungan baik dengan mana-mana negara di dunia pastinya akan memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

Analoginya cukup mudah. Jika seseorang itu memiliki hubungan yang baik dengan ramai orang, pas­tinya dia akan mendapat ba­nyak manfaat seperti mudah men­dapat kerjasama dan bantuan da­ripada sesiapa sahaja. Sebalik­nya, jika seseorang itu tidak memiliki hubungan yang baik dengan ramai orang, sukar bagi dia untuk mendapat kerjasama sepenuhnya daripada sesuatu pihak pada masa dia memerlukan bantuan.

Lebih teruk lagi, jika seseorang itu sengaja mencari masalah de­ngan ramai orang, hubungan yang baik pun boleh menjadi keruh. Dia pastinya tidak disukai oleh ramai pihak. Lebih-lebih lagi, jika sikapnya suka mencari salah orang, mengadu-domba dan memburuk-burukkan seseorang kepada orang lain. Akibatnya, tiada siapa pun ingin berkawan dengannya.

Begitulah dalam konteks kenegaraan. Malaysia tidak boleh lari daripada bersahabat dengan negara-negara lain di dunia. Terutamanya negara kuasa besar ekonomi dunia se­perti AS, China, Jepun dan negara-negara maju Eropah. Ba­yangkan majoriti negara di dunia berusaha untuk berbaik-baik dengan negara-negara tersebut, Malaysia pula mengambil langkah sebaliknya. Adakah ini langkah yang betul?

Bayangkan juga jika Malaysia tidak memiliki hubungan baik dengan China, adakah negara tersebut akan membuat pelaburan ke dalam Malaysia? Kini, negara tersebut adalah kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia, patutkah kita mengambil langkah ke belakang dengan tidak menghiraukan negara berkenaan? Tidakkah kita lupa bahawa sebelum ini, negara kita memiliki hubungan yang cukup rapat dengan negara Jepun yang mana ketika itu Jepun adalah kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia sebagaimana negara China pada masa kini?

Jadi, marilah kita fikir sejenak. Adakah tindakan me­ngadakan hubungan erat dengan Jepun telah menyebabkan kedaulatan negara kita terjejas? Tidak. Begitu juga adakah China yang memiliki pelan ekonomi yang cukup menarik melalui inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road) dengan banyak negara ingin mengadakan kerjasama de­ngan China telah menyebabkan kedaulatan negara-negara tersebut terjejas? Tepuk dada tanya selera.

Apa yang pasti, hubungan baik dengan China tidak akan menyebabkan Malaysia dijajah. Jika ini berlaku sudah tentu banyak negara tidak mahu bekerjasama dengan China dalam merealisasikan inisiatif Jalur dan Laluan China.

Tiada siapa dapat menafikan bahawa produk-produk China kini semakin dikenali di serata dunia. Keupayaan produk-produk negara China menembusi pasaran antarabangsa sedikit sebanyak membuktikan bahawa China ke hadapan dalam urusan perniagaan dan perdagangan semasa.

Tidak cukup dengan itu, China ke hadapan dari sudut ekonomi digital, maka hubungan yang baik akan me­ngukuhkan lagi kerjasama dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia. Usah sesekali meminggirkan kekuatan China dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Jika Malaysia ketinggalan dari sudut ekonomi digital dan tidak dapat menempuh era IR 4.0 dengan baik, maka negara-negara lain akan mengatasi Malaysia.

Setiap era ada peluang ekonomi yang tersendiri. Maka, rebutlah peluang tersebut dengan baik. Bayangkan sebuah negara seperti China pun yang dahulunya menutup pintu kepada dunia luar, kini membuka pintu tersebut seluas-luasnya buat negara lain. Sudah tentu, China mengetahui betapa besarnya manfaat yang akan diterima olehnya.

Penulis tidak dapat membayangkan apa akan terjadi kepada ekonomi Malaysia jika terlalu berfikiran jumud hanya kerana dikelilingi kebimbangan yang tidak munasabah dengan menyatakan bahawa hubungan baik de­ngan China bakal menjejaskan kedaulatan Malaysia.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).