Editor Eksekutif Bob Gabordi, selaku ketua pengarang akhbar tersebut menyambut saya dan rakan dari Romania dengan begitu mesra. Selain menunjuk ajar dan mengatur pelbagai sesi pertemuan dengan pihak berkepentingan di bandar Tallahassee, Bob juga berbesar hati membawa kami ke rumahnya untuk makan malam.

Semasa mula memasuki rumah, dapat kedengaran salakan dari belakang rumah. Rakan Romania, Paul bertanya hal itu. Bob memandang saya. “Saya difahamkan Johardy alah pada anjing, jadi malam ini saya tambat mereka (ada dua ekor)’’.

Saya beri alasan kesihatan, dan bukan agama kerana tidak mahu menambah sulitkan imej agama yang sememangnya haru-biru di AS, walaupun Bob ada membaca fail peribadi saya yang dikemukakan oleh Pusat Antarabangsa untuk Wartawan (ICFJ).

Kata-kata Bob itu tidak dipersoalkan oleh Paul lagi. Bob sememangnya sentiasa membuka pintu pejabatnya kepada siapa sahaja wartawan antarabangsa yang berkunjung ke Tallahassee. Seminggu sebelum kami tiba, sekumpulan wartawan Iran datang melawat beliau.

Pada Ahad, Bob sekali lagi mempelawa kami makan di rumahnya. Hendak dijadikan cerita, saya kena migrain setelah kemaruk berbasikal mengelilingi Pulau St. George seorang diri pada tengah hari. Jadi sesampai di rumah Bob, saya minta izin untuk tidur sejam di sofa selepas menelan dua biji aspirin.

Lena saya terhenti bila terasa kaki digerak. Rupa-rupanya dua ekor anjing Bob 'melanggar-langgar’ kaki saya suruh bangun. Apa lagi, terpekik dibuatnya! “Don’t worry Jo. They won’t bite,’’ kata isteri Bob. Dua biji aspirin dicampur darah menyirap, menjadi antidot kepada migrain saya.

Kepala saya pantas mengingat ajaran agama, selagi tidak kena jilat anjing, tidak mengapa. Tetapi saya samak juga. Satu badan, seluar dan baju.

Bob serba-salah. Hendak masukkan balik anjing-anjingnya ke bilik sebelah, haiwan tersebut pandai berlakon. Mulalah menyalak dalam nada syahdu. Saya beri isyarat kepada Bob, biarkan sahaja. Balik hotel nanti, saya samak.

Mesej cerita di atas ialah seorang Katolik seperti Bob, sanggup bersusah payah memastikan keselesaan tetamu, termasuk mengurung haiwan kesayangannya. Di pihak saya pula, tidaklah saya berkelakuan seperti Taliban 'sebelum, semasa dan selepas’ diterpa anjing-anjing besar yang kepalanya mencecah paras perut saya. Tidak diketahui apa bakanya. Saya teka baka Scooby Doo.

Secara peribadinya, saya tidak ada masalah dengan anjing, selagi ia tidak menyalak saya, mengejar dan menggigit. Tidak timbul soal benci anjing. Malah, pernah terdetik dalam hati terasa'sedikit rugi’ kerana tidak dibenarkan membela anjing. Ini kerana haiwan ini terbukti pintar, berani dan setia.

Namun ajaran agama wajib dipatuhi. Tidak dibolehkan membelanya sebagai haiwan peliharaan di dalam rumah. Yang dibolehkan hanya sebagai haiwan pemburu dan pengawal ladang atau harta.

Keintiman

Jadi apa yang berlaku sekarang ini? Segelintir orang kita sendiri tanpa segan-silu mempamerkan keintiman mereka terhadap anjing. Kemudian menjadi tular. Kemudian mendapat ulasan. Yang suka, memuji. Yang tidak suka, mencela.

Apa pendirian Merrepak dalam anjing ini? Sebagaimana dinyatakan di atas, tiada soal saya membenci anjing, apalagi jijik. Kepintaran anjing cukup dimaklumi. Sifat setia kepada tuannya, begitu banyak didokumentasikan.

Malah dalam Islam sendiri, anjing juga menjadi pasport keampunan terhadap pelacur yang memberi minum anjing yang kehausan.

Maka, bila ada orang kita sendiri membela dan membenarkan anjing menjilat muka, tentulah ia menimbulkan keresahan. Satu pihak mahu orang terbabit bertaubat kerana kekhilafannya membela anjing sedemikian rupa.

Satu pihak pula mahu dibiarkan sahaja orang itu dengan alasan, 'itu urusan dia dengan Tuhan’. Bab ini, saya pernah dinasihatkan sahabat. Jika jiran sebelah rumah melakukan maksiat, anda harus bertindak mencegahnya.

Bukankah itu hak asasi dan hal peribadi jiran? Dalam Islam, jiran yang buat tidak tahu dianggap bersengkongkol dengan pendosa.Kita boleh menegur. Tetapi tidak perlu ke tahap mengecam. Asal mula niat itu murni tetapi bila guna taktik kecam, anda pula tanggung dosa.

Inilah yang jadi serabut. Yang anti-Islam pantas ambil kesempatan untuk memperlihatkan seolah-olah Islam ini agama serba serbi sulit. “Haiwan sepintar anjing pun jadi isu Islam,’’ kata mereka yang nyata bernada memperlekeh.

Yang kaki politik pun terbabit sama. Apa sibuk-sibuk hal pegang anjing, dibandingkan dengan hal rasuah yang berleluasa di negara ini. Jangan anda tercengang. Faham-faham sahajalah kumpulan ini. Segala-gala dikait politik. Hal akidah Islam didakwa mereka hanya suatu cubaan memesongkan isu negara yang tengah panas. Sakit.

Dalam nada perlahan dan semanis boleh, saya ingin mengesyorkan sesiapa sahaja yang menekankan soal logik manusia, kononnya Islam yang wujud hari ini tidak betul, agar melakukan kesukaan anda itu senyap-senyap saja. Tidak mahu ikut ajaran, suka hatilah. Anda lebih arif hukum-hakam berbanding guru agama.

Cuma, satu sahaja anda diminta. Mahu bela anjing, jangan sembang dalam media. Sorok-soroklah. Tidak payah tayang-tayang. Tidak payah promosi. Begitu juga anda yang mahu dilukis tatu pada badan. Teruskan.

Jangan peduli apa orang kata. Jangan hirau apa larangan agama. Tatukan seluruh badan sampai tengkuk dan tapak kaki. Mana tahu boleh jadi ahli Yakuza betul-betul.