Begitu juga di Jalan Masjid India, 533 memohon 65 tapak undian dan 106 tender memohon untuk mengisi 51 tapak. Difahamkan kadar sewa mengikut lokasi dan saiz. Contohnya ada yang melibatkan kos RM150 hingga RM450 atau RM800 hingga RM900. Di lokasi utama, khabarnya sewa mencecah RM7,000 hingga RM55,000. Bagi peniaga yang yakin dengan lokasi dan perniagaan, sudah tentu kadar yang dikenakan bersesuaian dan mampu mencatat keuntungan. Bagaimanapun dalam meluluskan pemberian tapak ini sama ada secara undian atau tender, pihak berkuasa tempatan (PBT) diharap dapat memantau sebarang cubaan untuk menjual tapak kepada orang lain dengan harga berganda.

Kita tidak mahu orang yang benar-benar mahu berniaga terlepas peluang dan pihak yang cuba mengaut untung ‘atas angin’ mendapat tapak berkenaan. Biarlah pemohon itu sendiri menjalankan perniagaan. Cukuplah sabotaj ekonomi berlaku dalam aktiviti penjualan tender. Cukuplah kewujudan Ali Baba dalam projek besar. Menyelak kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abu Kassim Mohamed baru-baru ini, tindakan menjual tender oleh Bumiputera perlu dijadikan kesalahan jenayah memandangkan perbuatan tersebut menyebabkan dasar kerajaan untuk membangunkan ekonomi kaum itu gagal dicapai. Jika tidak dibendung, tindakan kontraktor tersebut yang dilabel sebagai musuh negara akan turut menjadi penghalang kepada peluang generasi muda yang berminat atau mahu belajar berniaga.

“Kalau seorang anak Melayu betul-betul menjalankan konsesi balak yang diterima, akan terbina kilang papan orang Melayu, akan lahir kilang perabot Melayu, namun dalam pengalaman saya, baru dapat kawasan balak sudah dapat cek sedangkan balak belum diusahakan,’’ kata Abu Kassim semasa Wacana Isu Rasuah dan Penyalahgunaan Kuasa-Ancaman terhadap Kesejahteraan Rakyat dan Kestabilan Negara. Wacana itu dianjurkan oleh Biro Pemantauan dan Integriti Perkasa. Sama ada mereka yang mensabotaj ekonomi ini `jerung atau bilis’, kesalahan menjual tender, kontrak atau tapak bazar tidak boleh dimaafkan. Lebih menyakit­kan hati apabila melihat mereka yang menguruskan perniagaan ini terdiri daripada orang `luar’ sama ada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Thailand, Pakistan atau Filipina.

Ketika ini pun, banyak premis perniagaan yang sepatutnya diisi oleh Bumiputera sudah beralih tangan. Mungkin lesen diberi kepada orang Melayu/Bumiputera tetapi yang benar-benar menjalankan perniagaan adalah orang asing. Ya, kita boleh anggap mereka itu sebagai pekerja tetapi sekiranya kelibat pengusaha sebenar langsung tidak kelihatan, sudah tentu ada yang tidak kena. Memang sukar untuk memastikan sama ada pemilik sesebuah premis itu adalah orang Melayu/Bumiputera yang mendapat permit atau tapak berkenaan kerana kebanyakan perniagaan di bumi Malaysia ini `pekerjanya’ adalah orang luar.

Di pasar malam pun, ada orang luar yang berniaga walaupun sekadar ikan atau udang di dalam pinggan. Itu rezeki mereka yang rajin berusaha untuk mencari rezeki dan peluang menambah pendapatan termasuk di pasar malam. Adalah diharapkan, pemberian tapak di bazar Ramadan ini dilakukan dengan teliti supaya orang yang mendapatkannya benar-benar mahu berniaga sebagai pendapatan utama atau untuk menambah pendapatan. Bukan membiarkan peluang itu jatuh kepada mereka yang masuk tender atau undian dengan niat mahu menjual semula kepada orang lain dengan harga yang lebih tinggi.

Satu perkara lagi, diharapkan kadar sewa yang dikenakan oleh PBT atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai penganjur tidak mempengaruhi harga jualan sama ada makanan atau pakaian. Jangan disebabkan kadar sewa yang tinggi dan melampau, pembeli pula menjadi mangsa untuk membayar lebih. Disebabkan sewa tapak terlalu mahal, peniaga memberi pelbagai alasan termasuk kos bahan mentah sehingga menyebabkan harga naik. Akhirnya pihak kerajaan juga dipersalahkan sehingga terbawa-bawa kepada cukai barang dan perkhidmatan (GST). Peniaga yang mendapat tapak dengan laluan yang salah (membeli daripada pihak lain) akan cuba mencari jalan untuk memastikan kos berkenaan diserapkan dalam jualan. Jika tidak untung yang diperoleh tidak seberapa.

Di luar tapak yang digazetkan sebagai bazar Ramadan dan sebagainya, PBT juga janganlah terlalu tegas sehingga menghalang mereka yang ingin menambah pendapatan pada bulan ini. Tidak payahlah kecoh-kecoh dengan rezeki sebulan yang datang setahun sekali ini sehingga peniaga memaki hamun dan membaling kasut ke arah pegawai penguat kuasa. Jangan disekat rezeki yang dicari asalkan peniaga mengutamakan kesihatan, kebersihan makanan dan tidak `mengganggu’ orang ramai. Pembeli pula perlu pandai memilih ketika berbelanja. Jangan terlalu ikut nafsu sehingga apa yang ada di bazar Ramadan mahu dibawa pulang ke rumah untuk berbuka. Ingatlah ketika kita sedang mewah dengan makanan, ada rakan seagama yang kelaparan dan berebut-rebut mendapatkan makanan untuk terus hidup.

Berkaitan dengan makanan juga, pihak berkuasa sudah memberi amaran supaya pemilik premis seperti kafe, restoran dan hotel tidak sewenang-wenangnya menggunakan perkataan Bufet Ramadan untuk mempromosikan juadah berbuka sehingga mengelirukan umat Islam. Sijil halal amat diperlukan dalam promosi ini. Menyelak kembali insiden sebelum ini, ada pihak yang sama ada secara sedar atau tidak mempromosikan hidangan arak dan babi panggang dalam promosi berbuka puasa. Diharapkan pihak berkenaan lebih sensitif dan berhati-hati supaya tidak menimbulkan kemarahan umat Islam. Seperti yang kita tahu, umat Islam amat sensitif dalam soal halal dan haram yang melibatkan makanan. Bab lain mengenai `haram’ mereka boleh bertolak ansur walaupun sudah ada fatwa mengenainya. Walaupun mungkin ada yang terminum minuman keras tetapi bab makan, mereka tetap berhati-hati supaya tidak termakan babi berbanding ayam, lembu, kambing yang tidak disembelih atau sembelihan yang diragui.

Umat Islam sentiasa diperintah supaya memakan hanya yang halal. Firman Allah SWT: Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu - Surah al-Baqarah ayat 168

Begitu juga dengan firman Allah yang bermaksud: Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepada mu, dan bertawaklah kepada Allah yang kamu beriman kepadaNya. - Surah al-Maidah, ayat 88

Di samping halal, peniaga juga tidak boleh mengabaikan kualiti dan mutu makanan. Jangan ‘menipu’ pembeli dengan makanan/minuman yang nampak `menyelerakan’ tetapi sampai waktu berbuka, semuanya terpaksa dihumban ke dalam bakul sampah kerana rosak sama ada basi atau tidak cukup masak. Jika keadaan ini berlaku, mereka boleh dianggap cuba menipu pembeli/pengguna. Bersikap jujurlah dalam perniagaan ketika mencari rezeki yang halal. Jangan untung secupak rugi segantang. Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak. Semoga kita dapat beribadah dengan sempurna.