Yang pertama, pendapat peribadi saya adalah tidak bersetuju untuk UiTM dibuka kepada semua kaum buat masa ini. Mungkin selepas dua atau tiga pilihan raya umum dari sekarang bolehlah membawa kembali usul untuk membuka program pascasiswazah kepada semua kaum. Selepas itu boleh buat perancangan untuk program undergraduate dalam masa 10 atau 20 tahun lagi.

Keputusan adalah di tangan rakyat khususnya orang Melayu dan bumiputera Sabah, Sarawak dan bukan orang politik. Walaupun orang politik membuat keputusan berdasarkan apa yang difikirkan adalah kehendak rakyat, ada kalanya ia bukanlah keputusan terbaik untuk jangka masa panjang. Ada kalanya keputusan berdasarkan apa yang difikir popular dan tidak melihat kepada long-term consequence.

Pada pendapat saya, majoriti orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak tidak akan bersetuju untuk UiTM dibuka kepada semua kaum.

Mungkin hanya sedikit golongan Melayu dan bumiputera yang bersetuju. Golongan minoriti ini sangat kecil. Daripada 800,000 alumni graduan UiTM, majoriti tidak akan bersetuju.

Yang hendak UiTM dibuka kepada semua kaum ini siapa sebenarnya? Mereka adalah ahli-ahli politik. Politik negara adalah mengikut pecahan kaum yang ada. Ahli-ahli politik di bawah parti dan kaum tertentu akan terus bersuara untuk UiTM dibuka kepada semua kaum. Orang politik daripada golongan Melayu akan swing mengikut lebih suara. Bukankah itu politik? Poly ethics atau pun pelbagai. Sebab itu ia dinamakan poli etiks.

Sebenarnya isu masalah keharmonian kaum tidak ada. Lihatlah negara ini aman dan tenteram. Semuanya baik dan bertoleransi tinggi di antara kaum. Tidak kelihatan racism dalam kalangan rakyat. Yang timbulkan isu rasis ini adalah orang politik. Yang bawa perpecahan dalam kalangan pelbagai bangsa di negara kita puncanya daripada orang politik dan bukan rakyat biasa.

Saya berpendapat tidaklah bertambah harmoni di negara ini jika UiTM dibuka kepada semua kaum. Banyak negara di Asia menjadi kucar-kacir kerana isu agama, bangsa dan warna kulit berbeza yang sengaja ditimbulkan atau dipermainkan oleh orang politik untuk meraih undi dan sokongan.

Kalau orang politik diam dalam isu ini tidak akan menjadi masalah dalam kalangan rakyat. Yang mengapi-apikan keadaan ada kalanya adalah orang politik. Orang Melayu dan bumiputera adalah bangsa yang sangat sabar, penuh toleransi dan sangat baik budi pekerti. Sebab itu negara kita sangat harmoni. Begitu juga orang Cina dan India di Malaysia yang sangat baik.

Berkenaan isu persaingan kononnya pelajar-pelajar Melayu bumiputera akan lebih terbuka fikiran dan berdaya saing jika UiTM dibuka kepada semua kaum adalah tidak benar. Lihat Jepun dan Jerman di mana 99% daripada pelajar universiti di peringkat siswazah adalah bangsa masing-masing. Tidak ada masalah pun.

Masalah sebenar akan berlaku selepas UiTM dibuka kepada semua kaum. Orang Melayu bumiputera akan tidak puas hati dan keharmonian di antara kaum akan terjejas. Kita sepatutnya berfikir panjang dan melihat apa kemungkinan akan berlaku dengan keputusan yang bakal dibuat oleh orang politik untuk rakyat.

Kita kena fikir masa depan orang Melayu dan bumiputera Sabah, Sarawak yang masih memerlukan UiTM dan khidmat UiTM sepenuhnya.

PROF. EMERITUS TAN SRI SAHOL HAMID ABU BAKAR ialah bekas Naib Canselor UiTM.