Jika gagal memikul tanggungjawab ini, akibatnya keselamatan akan tergugat dan kehidupan rakyat juga menjadi ‘huru-hara’.

Sebaik sahaja memegang jawatan PTD, Ahmad Hasbullah menggunakan pendekatan berbeza untuk memberi kesedaran kepada diri sendiri dan anggota-anggota dalam pasukan.

Melalui aplikasi Whatsapp yang dihantar kepada pegawai kanan TD dan menerusi 40 siri nukilan, beliau menulis pelbagai isu. Antara isu penting ialah memberi kesedaran kepada pasukan mengenai peranan sebenar serta tanggungjawab yang perlu dipikul.

“Nukilan-nukilan ‘Dari Meja PTD’ ini bagi memberi kesedaran mengenai peranan anggota tentera. Ia lebih kepada ingatan kerana kita bukan sekadar makan gaji, sebaliknya mempunyai amanah besar kepada rakyat, pemimpin dan keselamatan negara,” katanya.

Apa yang menarik nukilan itu termasuk mengenai Ikrar Kesatria, Wasiat Raja-Raja Melayu, Rukun Negara, Kepemimpinan, Ketuhanan, Latihan dan peringatan terhadap gejala negatif seperti merokok dan rasuah.

“Sebagai anggota tentera, setiap individu diingatkan mengenai tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negara. Ini ada kaitan dengan Ikrar Kesatria, Wasiat Raja-Raja Melayu, Rukun Negara dan banyak lagi,” katanya.

Sebagai pasukan tentera yang menjaga kedaulatan dan keselamatan negara, Wasiat Raja-Raja Melayu serta kandungan yang terdapat di dalam wasiat itu adalah satu amanah yang perlu dipikul bukan sahaja setiap anggota, malah rakyat negara ini.

Dari nukilan-nukilan PTD itu juga, ia membuka ruang serta mengalu-alukan kepada setiap anggota untuk memberi pandangan balas serta pendapat bagi memantapkan lagi perkhidmatan TD.

Turut disentuh dalam nukilan tersebut ialah peranan serta tanggungjawab anggota wanita.

“Setiap nukilan mendapat maklum balas daripada pelbagai peringkat anggota termasuk isu berkaitan anggota wanita,” jelas beliau.

Menurut Ahmad Hasbullah, pada 2019, TD juga memberi fokus kepada empat konsep yang ditekankan dalam Perintah Ulung yang dipanggil ASAS iaitu Amal, Sistem Pemerintahan Rejimental (SPR), Adaptasi dan Siap siaga.

“Amal membawa maksud mempraktikkan ilmu pengetahuan serta kepakaran diperoleh untuk menghasil tugas berkualiti bertujuan untuk kekal terlatih selagi berkhidmat,” katanya.

SPR merupakan tingkah laku dan pegangan warga TD berpandu peraturan dan tradisi tentera bagi menjamin kepatuhan kepada arahan dan disiplin serta mengamalkan budaya dalam membina jati diri dan personaliti sebagai warga tentera.

Manakala adaptasi pula mahukan warga TD bergerak seiring peredaran dan perubahan semasa serta harus peka mengadaptasi perubahan untuk terus berdaya saing.

“Kesiagaan menekankan aspek latihan anggota dan pasukan mengikut tempoh kitaran 24 bulan dan harus dicapai mengikut piawaian telah ditetapkan,” katanya.

Mengenai Belanjawan 2019 yang diberikan kepada pasukan, beliau berkata, kesiagaan TD tidak sekali-kali terjejas walaupun peruntukan kali ini agak terhad.

Beliau yakin kerajaan juga memahami keperluan TD dalam memikul amanah menjaga keselamatan negara.

Sehubungan itu, rakyat tidak perlu risau kerana TD tetap memastikan keselamatan negara terpelihara dari sebarang ancaman dan pencerobohan.

“Apabila ada keperluan mendesak melibatkan peruntukan tambahan, pasukan akan memohon dan saya yakin kerajaan faham pentingnya keutamaan dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.

Ahmad Hasbullan berkata, TD akan menggunakan sepenuhnya aset sedia ada dan yang diperuntukkan sehingga tamat tempoh.

“Aset-aset yang ada tidak menunjukkan kita ketinggalan dari segi teknologi, malah kepakaran pasukan juga selaras dengan perkembangan semasa. Aset dan modal insan pasukan adalah selari serta seimbang dengan kehendak dan keperluan keselamatan negara,” katanya.

Sebelum mengakhiri wawancara berkenaan, Ahmad Hasbullah berkata, perubahan kerajaan bukan bermakna pasukan TD turut goyah. Jelasnya, TD menjalankan peranan menjaga kedaulatan negara sentiasa profesional menjalankan tanggungjawabnya kerana itulah ikrar kesatria.

“Kerajaan yang silih berganti sentiasa mengutamakan isu keselamatan negara. Dalam hal ini, rakyat tidak perlu gusar kerana TD sentiasa profesional serta berwibawa memainkan peranannya sebagai pasukan pertahanan,” katanya.

AMIR SARIFUDIN MANSOR