Yang selalu kita dengar jika tahun lalu dia mengeluh duit gaji tidak cukup, tahun-tahun sebelumnya juga kita pernah dengar dia mengeluh perkara itu dan tahun ini pun cerita yang sama. Tiada cerita lain. Lantas semua pihak hendak disalahkan. Dari soal gaji yang naik sedikit, kos sara hidup semakin tinggi, harga barang-barang mahal dan macam-macam lagi. Merungut dan terus merungut.

Jadi selain mengeluh, merungut dan menyalahkan pihak-pihak yang bersekongkol menaikkan harga barang, mengkritik keadaan, apa lagi yang boleh dilakukan untuk survival hidup? Terus mengeluh lagi dan lagi? Dan tahun depan, masih bercakap perkara yang sama, sekali lagi?

Kelmarin saya terbaca satu artikel mengenai seorang penyanyi yang menjadi pemandu perkhidmatan Uber untuk mencari pendapatan sambilan. Dia memberitahu, dalam sehari dia boleh mendapat RM200 dan seminggu sehingga RM1,000. Maka, ramailah netizen yang memberi komen-komen negatif. Penyanyi ini sudah tidak laku lagilah, sudah tidak ada joblah, tidak beringat ketika ­senanglah dan macam-macam lagi.

Walhal perkara asas yang sepatutnya dilihat di sini adalah dia sedang berusaha mencari duit lebih dengan melakukan kerja sampingan. Bukan setakat duduk merungut duit tidak cukup dan pada masa yang sama tidak melakukan apa-apa. Yang penting kerja yang dilakukannya itu halal. Dia bukan pergi merompak bank, menjadi peragut atau menipu orang ramai untuk mendapatkan duit.

Apa gunanya mempunyai nama besar dalam bidang itu dan ini, dikenali ramai, hidup bergaya, tetapi sebenarnya tiada duit simpanan dan jadi gelabah pada waktu-waktu kecemasan yang memerlukan duit manakala hutang pula keliling pinggang.

Sebenarnya, ramai juga dalam kalangan profesional yang menjadi pemandu Uber atau GrabCar. Mereka tidak mengharapkan gaji bulanan semata-mata untuk menyara kehidupan diri dan keluarga. Ada yang tidak cukup dengan gaji bulanan yang diterima dan ada juga sekadar cukup makan dan ingin mendapat wang lebih supaya dapat hidup selesa sedikit.

Dan ada juga memberitahu saya, dia menjadi pemandu Uber bukan kerana tidak cukup duit, tetapi mahu ‘menarik nafas lega’, dapat mengurangkan sedikit bebanan kewangan dan boleh berbelanja lebih untuk anak-anak dan isterinya tanpa perlu menunggu gaji bulanan masuk.

Selain itu, ramai juga yang telah menceburi perniagaan secara online. Ada yang menjual pakaian, kasut, tudung, minyak wangi, barangan kosmetik dan macam-macam lagi. Mereka ini bukan berniaga sepenuh masa tetapi me­lakukannya untuk mendapat duit sampingan. Ini adalah jauh lebih baik daripada menyertai mana-mana skim cepat kaya atau menipu dan memperdayakan orang ramai de­ngan pelbagai cara untuk memperoleh wang secara haram.

Dalam pada itu, ada juga yang menjadi ‘runner’ sambil­an. Selepas habis waktu bekerja, mengambil upah membeli atau menghantar barang-barang yang dipesan pe­langgan dengan menunggang motosikal atau memandu kereta. Mereka tidak pun malu melakukan kerja-kerja sebegini, asalkan dapat duit secara halal, tidak mengganggu dan menyusahkan orang lain, lain-lain hal tolak tepi.

Kata seorang rakan saya pula, dalam keadaan sekarang ini kalau tidak buat kerja-kerja sampingan memang susah sikit hendak survive. Sebab itu, dia mencari kerja samping­an yang sesuai dengan minat dan waktu kerja hakikinya.

“Ada juga kawan-kawan yang bertanya macam mana hendak dapat duit lebih sebab sentiasa ‘kering’ tidak sampai pertengahan bulan tetapi bila disyorkan buat kerja-kerja sampingan termasuk menjadi pemandu Uber atau GrabCar, mereka beri macam-macam alasan pula. Penatlah, tiada masa dan ada juga bercakap pasal malu tetapi tidak pula malu meminjam duit pada kawan-kawan setiap bulan,” katanya.

Yang penting, ia tidak mengganggu masa kerja hakiki de­ngan melakukan kerja-kerja sampingan itu pada waktu kerja.

Memang betul, kos sara hidup semakin tinggi. Ramai yang merasai keperitannya, apatah lagi yang berpendapatan rendah. Tetapi masalah tidak cukup duit ini tidak boleh selesai hanya dengan menyalahkan orang lain atau pihak-pihak menyebabkan kesusahan itu.

Walau apa pun penyebab kesempitan hidup itu, hakikatnya, merungut tidak dapat memberikan duit yang tiba-tiba saja kita akan terpijak duit itu setiap kali me­rungut. Semua orang pun tahu, duit tidak akan jatuh dari langit. Siapa saja yang mahu beri wang itu?

Maka, mengusahakan sesuatu adalah lebih baik daripada merungut dan meminta-minta. Dan yang lebih te­ruk, apabila kita memandang rendah orang yang membuat ­kerja sampingan, walhal diri sendiri pun sentiasa sesak duit tidak kira masa. Ini lagi entah apa-apa.