Di Malaysia, seseorang yang ditangkap atas kesalahan jenayah mempunyai hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan negara. Hak-hak ini adalah selaras dengan prinsip asas undang-undang jenayah iaitu tidak bersalah sehingga terbukti bersalah atau dalam bahasa Inggerisnya “innocent until proven guilty”. Prinsip ini menjadi teras kepada sistem keadilan di seluruh dunia. Tidak kira sebesar mana pun kesalahan yang dituduh, seseorang itu perlu diberi ruang membela diri di mahkamah.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut prinsip ini secara nyata tetapi mahkamah telah memutuskan bahawa prinsip ini terpakai di Malaysia dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Dalam kes PP v. Gan Boon Aun (2017) 4 CLJ 41, Mahkamah Persekutuan di muka surat 56 memutuskan:-

“In PP v. Yuvaraj (1968) 1 LNS 116; (1969) 2 MLJ 91, the Privy Council held that the principle that the prosecution must prove its case against an accused beyond reasonable doubt was fundamental to the administration of justice under the common law. This means that the presumption of innocence is a fundamental right at common law just as access to justice is a common law fundamental right. It is a right that falls within art. 5(1) of the Constitution, as the definition of “law” in art. 160(2) and s. 66 of the Interpretation Acts 1948 and 1967 includes written law and the common law of England.”

Di bawah prinsip ini, hak tertuduh yang dijamin di bawah Perlembagaan negara merujuk kepada tatacara layanan tertuduh sebelum dan semasa per­bicaraan. Antara contoh yang penulis boleh berikan berkenaan hak yang dijamin oleh Perlembagaan kepada tertuduh sebelum perbicaraan adalah hak tertuduh untuk dimaklumkan alasan penahanannya sejurus selepas ditahan oleh polis dan hak untuk dilepaskan sambil menunggu perbicaraan kes tertuduh.

Sementara itu, hak yang dijamin oleh Perlembagaan kepada tertuduh semasa perbicaraan merujuk kepada standard bukti yang perlu dilepasi oleh pihak pendakwa raya dalam kes-kes jenayah sebelum pihak tertuduh dipanggil untuk membela diri. Di bawah prinsip ini, pihak pendakwa raya mempunyai beban membuktikan kes melampaui keraguan munasabah selaras dengan ungkapan Latin “semper necessitas probandi incumbit ei qui agit” atau dalam bahasa Melayu keperluan membuktikan sentiasa terletak pada orang yang mendakwa.

Ini bermakna dalil yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan perlu dibuktikan setakat yang memang tidak ada keraguan munasabah dalam fikiran orang yang munasabah bahawa defendan adalah bersalah terhadap pertuduhannya. Ini tidak bermakna ketiadaan keraguan, tetapi hanya setakat yang ia tidak akan menjejaskan kepercayaan seseorang yang munasabah mengenai sama ada defendan bersalah atau tidak.

Mahkamah Persekutuan di dalam kes yang sama di muka surat 57 memutuskan: “As we see it, the presumption of innocence, sometimes referred to by the Latin expression Ei incumbit probatio qui dicit, non qui negat (the burden of proof is on the one who declares, not on one who denies), is the principle that one is considered innocent unless proven guilty, and that “the presumption of innocence, the privilege against self-incrimination and the right to silence are important elements of the “accusatorial system of justice” which generally prevails in the common law world” (Lee & Anor v. New South Wales Crime Commission (2013] 302 ALR 363 per French CJ). “The principle that there is a presumption of innocence in favor of the accused is the undoubted law, axiomatic and elementary, and its enforcement lies at the foundation of the Administration of our Criminal law” (Coffin v. United States 156 U.S. 432 (1895); 15 S Ct. 394). That burden of proof on the prosecution was famously referred to as the “golden thread” in the Criminal law by Lord Sankey LC in Woolmington v. DPP:

Throughout the web of the English Criminal law one golden thread is always to be seen - that it is the duty of the pro­secution to prove the prisoner’s guilt subject to what I have already said as to the defence of insanity and subject also to any statutory exception... No matter what the charge or where the trial, the principle that the prosecution must prove the guilt of the prisoner is part of the common law of England and no attempt to whittle it down can be entertained.”

Walau apa pun yang tersebut di atas, prinsip “innocent until proven guilty” ini tidak bererti masyarakat ditegah daripada menggunakan kekerasan jika terdapat salah laku jenayah di depan mata tetapi kekerasan yang digunakan perlulah setimpal dengan kesalahan jenayah dilakukan. Perlu diingatkan bahawa si pelaku jenayah belum lagi disabit ke atas kesalahan yang dilakukan.

Selain itu, pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan proaktif terhadap pelaku jenayah. Pada hemat penulis, masalah jenayah yang semakin berleluasa yang terjadi sejak akhir-akhir ini adalah disebabkan kurangnya kuatkuasa undang-undang oleh pihak berwajib. Penulis berpendapat sudah tiba masanya bagi pihak berkuasa untuk bertindak tegas terhadap pelaku jenayah. Undang-undang sedia ada perlu dipinda dengan meningkatkan lagi hukuman bagi kesalahan jenayah supaya dapat mencegah jenayah daripada berlaku lagi.

DATUK M REZA HASSAN ialah seorang peguam.