SYARIFAH KHASIF kini sebagai Duta al-Quran mewakili negara ke serata dunia.
SYARIFAH KHASIF kini sebagai Duta al-Quran mewakili negara ke serata dunia.

Sebenarnya, bukan sahaja ramai netizen di media sosial yang teruja dengan video tersebut yang tersebar di Facebook dan Youtube, malah tidak kurang juga dengan VVIP di negara ini yang merasa kagum dengan kebolehan Sharifah Khasif berqasidah dengan suara yang lemak merdu di peringkat antarabangsa.

Berdasarkan video itu yang mengayakan aksi tarian sufi atau whirling Darwish yang dikaitkan dengan penyair dan sufi terkenal Jalaluddin ar-Rumi, maka ramailah meneka, malah menyangka majlis yang dihadiri Syarifah Khasif itu diadakan di Turki.

“Subhanallah, sebenarnya saya tak sangka sambutan terhadap video itu sangat luar biasa sehinggakan ada beberapa orang menteri dan VIP menelefon saya secara peribadi untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaan saya membawa nama Malaysia di mata dunia.

“Saya bersyukur kerana Allah memberikan satu anugerah di mana kalau bukan kerana al-Quran, takkan kita bersatu di sini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sharifah Khasif, 36, atau nama sebenarnya Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman Al-Yahya mengakui beliau mendapat undangan khas ke Bosnia Herzegovina dan itu amat mengharukannya.

Sebagai Duta al-Quran Khas Negara, Syarifah Khasim dijemput selama dua minggu ke negara Balkan itu sebagai qariah jemputan untuk mengalunkan bacaan al-Quran dan Qasidah bersama lapan orang qari antarabangsa dengan gaya tersendiri.

Jemputan

“Jadi malam itu, barisan qari dan qariah yang dijemput untuk membaca al-Quran, hanya saya seorang yang diminta untuk turut mengalunkan bacaan selawat (qasidah) di majlis Moj Ummete,” akui Syarifah Khasif yang telah menghasilkan album qasidah burdah sulung bertajuk Al-Husna.

Bosnia adalah negara ke-16 yang telah menjemput Syarifah Khasif sebagai qariah untuk persembahan bacaan al-Quran dan juga berqasidah selepas mendapat undangan khas sebelum ini daripada beberapa negara seperti Singapura, Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Austria, Indonesia, Thailand, Iran dan Mauritius.

Sebagai Duta al-Quran, Sharifah Khasif sentiasa mendapat jemputan khas ke majlis-majlis rasmi di Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan majlis rasmi anjuran kerajaan di seluruh negara. Kala ditanya, bagaimana Syarifah Khasif menjalani kehidupan sebagai seorang selebriti yang dikenali ramai, beliau sejujurnya memberitahu segala-galanya yang berlaku itu tidak pernah terfikir dalam kamus hidupnya.

“Saya juga tak pernah terfikir akan menjadi seorang yang dikenali ramai hanya kerana gelaran qariah. Sebab saya tahu, bidang ini bukan bidang yang popular seperti selebriti-selebriti yang lain, tetapi hari ini saya yakin, walau jalan apa yang kita lalui, betulkan niat Insya-Allah, Tuhan sahaja yang boleh mengangkat darjat seseorang dan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya

“Hari ini, di mana saja saya pergi orang menegur dan mengenali sebagai qariah negara dan saya amat berterima kasih kerana mereka sentiasa melemparkan senyuman dan mengambil peluang untuk bergambar. Kadang-kadang saya tengah beli sarapan pun sempat lagi kami bergambar,” jelas Syarifah Khasif seronok.

Beliau mengakui pengiktirafan yang diperolehi sebagai Johan Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa (2009) dan Naib Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa (2008) ternyata telah melonjakkan lagi kehebatan namanya ke seluruh pelosok dunia.

Apabila ditanya, siapakah tokoh pemimpin di Malaysia yang paling dihormati dan dikagumi di matanya, secara berterus terang Syarifah Khasif menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya hormat Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebab apa? Sebab zaman Datuk Seri Najiblah, kami qari dan qariah merasa pencen sebanyak RM2,000 sebulan, seumur hidup sebaik sahaja saya memenangi Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009.

“Alhamdulillah, ini menunjukkan Datuk Seri Najib tidak mengetepikan qari dan qariah, semestinya perjuangan dalam memartabatkan al-Quran ini adalah tanggungjawab bersama yang harus kita perjuangkan sehingga ke akhir hayat,” katanya terharu.

Sharifah Khasif mengakui kejayaan yang diraihnya pada hari ini adalah berkat didikan ibunya Zauyah Ahmad dan bapanya, Syed Mohd. Badiuzzaman Al-Yahya yang menitikberatkan pengajaran al-Quran sebagai panduan hidup dalam keluarganya.

Kehidupannya di zaman kanak-kanak amat berbeza daripada anak-anak jiran yang lain yang boleh bermain dan berbuat sesuka hati tanpa sebarang aktiviti berfaedah.

“Waktu itu rutin kami tak ada lain, selepas balik sekolah, quran quran, quran. Kemudian solat berjemaah, baca Yasin dan menghidupkan bulan Ramadan. Saya mula mengaji usia empat tahun, jadi usia saya banyak habis dengan al-Quran.

"Itulah saat yang saya paling ingat dan rindu. Ayah saya garang. Tiap-tiap kali Ramadan, dua kali khatam al-Quran. Bila ada masa terluang, kami mengaji, kemudian menghafal.

“Selepas itu barulah kami boleh menikmati warna-warni pelita dan bunga api di luar rumah. Kalau tidak pun, memang kami duduk dalam rumah sajalah sambil intai-intai dekat tingkap.

“Saya tak boleh nak gambarkan betapa saya juga pernah terfikir seronoknya jadi anak-anak jiran yang tak payah susah-susah mengaji dan kena masuk tilawah. Tetapi, akhirnya saya sedar, nasib baiklah saya lalui semua itu di zaman kanak-kanak saya. Kalau tidak, saya tidak menjadi seperti hari ini,” imbau Syarifah Khasif mengingati nostalgia silam.

Ketika ditanya apakah rahsia beliau menjaga suara merdunya bak buluh perindu itu, Syarifah Khasif mengakui beliau amat berdisiplin soal makanan dan minuman.

“Untuk jaga suara, saya tak minum ais dan tak makan makanan berminyak. Saya juga berpantang durian dan buahan-buahan yang panaskan badan, sebab nanti tekak jadi kering,” jelasnya.