Beberapa penceramah unda­ngan termasuk Fariq, anak Dr. Zakir memulakan program itu. Selepas azan isyak, program bermula dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan kemudian pengenalan oleh penga­cara majlis. Dua jam diperuntukkan untuk ceramah dan dua jam untuk sesi soal jawab. Maknanya, empat jam. Jika itu perkiraannya, ceramah malam itu akan berakhir pada pukul 1 pagi. Jumlah kehadiran dianggarkan 30,000 orang yang memenuhi stadium terutama di tengah padang.

Mereka terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat umur. Timbul persoalan, berapa ramai yang akan bertahan dengan cera­mah itu? Adakah seperti ceramah politik? Adakah mereka yang hadir benar-benar mahu mendengar ce­ra­mah atau sekadar meramaikan atau memenuhi stadium seperti ceramah-ceramah lain terutama yang berkait dengan politik? Tentunya mereka yang hadir pada malam berkenaan tidak diupah atau dibayar untuk hadir. Disebabkan cera­mah menggunakan bahasa Inggeris, tanpa penterjemah, adakah kesemua me­reka yang hadir itu benar-benar faham? Faham atau tidak, sekurang-kurangnya mereka berani menghadirkan diri di majlis ilmu yang mungkin boleh mengubati dan merawat hati serta jiwa yang berkecamuk dengan suasana semasa. Separuh jalan mengikuti ce­ramahnya, jelaslah program itu satu ruang untuk meningkatkan budaya ilmu dan berfikir dalam kalangan masyarakat termasuk umat Islam.

Ini juga adalah ruang yang terbaik bagi perkembangan dialog antara agama serta membantu perkembangan intelek masyarakat pelbagai kaum dan anutan agama. Tidak salah kita berbincang untuk meluaskan minda dan pengetahuan agama dengan kehadiran intelektual seperti Dr. Zakir yang begitu hebat menggunakan fakta berdasarkan al-Quran serta merujuk kitab-kitab yang menjadi amalan atau pega­ngan penganut agama Kristian dan Hindu.

Amat malang jika label yang diberi oleh sesetengah pihak dalam masyarakat kita terhadap Dr. Zakir seperti pendakwah luar yang sesat dan fanatik. Padahal Malaysia telah mengiktirafnya sebagai Tokoh Maal Hijrah 2014. Begitu juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pernah menjemputnya untuk memberi ceramah. Ketika itu tidak timbul isu memburukkan agama lain. Bagi yang hadir malam kelmarin tentunya dapat mengenali lebih dekat bagaimana kemampuan Dr. Zakir berhujah daripada satu topik kepada satu topik bagi menjelaskan persoalan di bawah tajuk ceramahnya Is The Quran God’s Word? Beliau berjaya menarik perhatian hadirin dengan hujah-hujahnya berasaskan ayat-ayat berkaitan yang tentunya kebanyakan daripada kita mungkin tidak mengingatinya.

Beliau juga dengan tegas menjelaskan bahawa al-Quran bukan hasil karangan atau khayalan Nabi Muhammad SAW sebaliknya kalam Allah. Beliau mengambil contoh mengenai ayat al-Quran yang menceritakan kisah Nabi Nuh AS yang berlaku ribuan tahun sebelum Rasulullah SAW diutuskan.

Selepas dua jam, nyata mesej yang disampaikan oleh Dr. Zakir bukan bertujuan memecahbelahkan perpaduan masyarakat. Tidak juga menyebarkan fitnah atau mempersendakan agama lain sebaliknya berhujah sebagai pakar perbandingan agama. Sambil memegang al-Quran, beliau mengajak umat Islam untuk bersatu. Hanya al-Quran yang boleh menyatukan umat Islam. Bagi yang hadir tentunya dapat memahami serba-sedikit mengenai al-Quran. Begitu juga mereka yang sebelum ini memandang serong terhadap Dr. Zakir akibat mainan media sosial. Selepas dua jam, ternyata, ramai yang tidak berganjak meninggalkan kerusi masing-masing. Ketika itu jam sudah menunjukkan hampir 12 malam dan menimbulkan keresah­an juga dalam kalangan yang hadir terutama bagi pengguna pengangkutan awam LRT. Akhirnya mereka lega selepas diumumkan perkhidmatan itu dilanjutkan.

Sesi soal jawab juga menarik perhatian ramai. Peluang diberi kepada bukan Islam untuk bertanyakan soalan. Kebanyakannya orang muda. Mungkin itu satu pendekatan yang baik kerana jika diberi peluang kepada orang Islam tempatan, mungkin terbawa-bawa kepada isu-isu berkaitan politik dan semasa yang boleh terkeluar daripada tajuk. Orang kedua yang mengemukakan soalan, Hurender Bal Singh, lelaki Punjabi dari India akhirnya membuka ruang kepada pemuda itu untuk mengucapkan kalimah syahadah. Tiada sesiapa memaksanya untuk memeluk Islam selepas ditanya sama ada, ada pihak memaksanya memeluk Islam atau menggunakan wang untuk berbuat demikian. Ketika tiba giliran kaum wanita mengemukakan soalan, seorang wanita Roman Katolik, Euroshia tanpa mengemukakan soalan menyatakan kesediaannya untuk memeluk Islam .

“Saya tidak mahu bertanya soalan, tetapi mahu mengucapkan dua kalimah syahadah,” kata wanita berjubah dan bertudung hitam itu.

Dia diajar mengucapkan kalimah syahadah oleh Dr. Zakir. Ini diikuti Michelle beragama Buddha dan Joel Anak Along dari Sarawak. Setiap kali mereka mengucap kalimah syahadah, laungan Allahu Akbar bergema. Ada juga seorang pelajar yang belum bersedia untuk mengucapkan kalimah syahadah walaupun memahami segala persoalan yang dibangkitkan selepas dijelaskan oleh Dr. Zakir.

Begitulah kesan ceramah hebat seorang intelektual agama dari India itu. Tidak ramai yang berganjak meninggalkan stadium. Dan dalam perjalanan balik, ketika melalui le­buh raya Kuala Lumpur-Seremban selepas melewati Plaza Tol Sungai Besi, saya terpandang sekumpulan anak muda sedang bersiap sedia sama ada untuk menyertai atau menyaksikan aksi mat rempit. Jumlahnya agak ramai tetapi tidak seramai yang tertumpu di Bukit Jalil.