Gunung Ledang menjadi tumpuan pendaki gunung yang terpukau dengan keindahan alam sekitarnya.

Menurut pengkaji sejarah alam Melayu yang juga penulis, Mohd. Radzi Sapiee, kisah percintaan kedua-dua individu itu tidak mungkin benar-benar berlaku seperti yang dipercayai kebanyakan masyarakat Melayu kini.

“Jika dikira logik pada fakta sejarah, Hang Tuah sudah pun terlalu tua pada ketika Puteri Gunung Ledang berada di Melaka dan Gunung Ledang. Apa yang diceritakan di dalam filem tempatan mengenai kisah puteri ini hanya fiksyen semata-mata. Tetapi ada masyarakat kita yang percaya dengan kisah itu,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai Puteri Gunung Ledang, Mohd. Radzi turut mengutarakan pandangannya yang tersendiri.

Katanya, berdasarkan Hikayat Hang Tuah ada disebut mengenai Puteri Gunung Ledang yang merupakan anak kepada Sultan Melaka.

Melalui hikayat itu di dalam bab ke-25, Sultan Melaka pernah menyebut mahu mengutuskan Laksamananya ke Rom untuk membeli meriam bedil bagi digunakan untuk pertahanan Negeri Melaka.

Sultan Melaka ketika itu memanggil mengadap beberapa orang besarnya untuk bertanya perihal hasrat baginda itu.

Maka baginda bertitah: “Hai Adinda dan laksamana, apa bicara kita kerana kita hendak mengutus ke benua Rom hendak membeli bedil meriam itu kerana anak kita yang laki-laki itu sudah masing-masing habis dengan negerinya.

“Di Melaka ini kita hendak rajakan anak kita yang perempuan, Puteri Gunung Ledang itu akan gantikan kita kerana kita sudah tualah. Kita hendak bersetia berbuat amal besar-besaran. Pada bicara kita, kita hendak kotai (kotakan) dengan bedilan Negeri Melaka kerana anak kita perempuan”.

Jadi Mohd. Radzi berkata, jika berdasarkan apa yang tercatat di dalam Hikayat Hang Tuah itu, beliau percaya Puteri Gunung Ledang yang mungkin mempunyai nama asal lain namun digelar sedemikian merupakan salah seorang anakanda kepada Sultan Melaka ketika itu.