SABIN SAMITAH
SABIN SAMITAH

Berdasarkan respon yang diterima daripada orang ramai berikutan laporan tersebut, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui Ketua Pegawai Eksekutif, DATUK SABIN SAMITAH menegaskan, agensi itu tidak akan berkompromi dengan syarikat yang berbuat demikian.

Lanjutan itu tindakan tegas telah diambil ke atas syarikat terlibat, bagaimanapun perbuatan mengelak cukai masih berlaku. Wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM mendapatkan jawapan dan penjelasan daripada Sabin berhubung masalah ini.


 

 

MINGGUAN: Apabila pendedahan mengenai tindakan syarikat gergasi memanipulasi cukai khususnya melalui perbuatan pengelakan cukai melampau, ramai tertanya-tanya jumlah sebenar syarikat terlibat dan apa tindakan LHDN?

SABIN: Oleh sebab modus operandi pengelakan cukai melampau adalah berbeza bagi setiap syarikat, jumlah syarikat berisiko tinggi pastinya berubah dari semasa ke semasa. Apa yang pasti LHDN akan memastikan tindakan sewajarnya diambil ke atas pesalah cukai yang menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan.

Apakah kesan daripada tindakan tersebut kepada kerajaan jika ia dibiarkan berlaku?

SABIN: Jika amalan manipulasi cukai tidak dibendung, negara kita akan mengalami kerugian cukai yang sepatutnya dapat digunakan untuk pembangunan negara. Di samping itu, ia melebarkan jurang ketidaksamaan (inequality) dalam kalangan rakyat yang secara tidak langsung mengganggu sistem ekonomi negara dan pasti mewujudkan tidak puas hati dalam kalangan pembayar cukai yang patuh.

Persoalannya kenapakah syarikat-syarikat itu berani berbuat demikian. Apakah terdapat kelemahan dari segi kutipan cukai LHDN?

SABIN: Secara amnya kita memahami fokus sesebuah perniagaan adalah untuk memperolehi keuntungan. Ini dapat dilakukan sama ada dengan cara kawalan kos ataupun strategi perniagaan berfokuskan harga jualan atau apa sahaja yang bersesuaian. Mungkin dalam keinginan untuk memaksimumkan keuntungan inilah ada pembayar cukai yang melihat cukai sebagai sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat kepada perniagaan mereka, lalu mula mencari ruang untuk mengalihkan pendapatan yang diperolehi agar kekal dalam genggaman sendiri.

LHDN sebenarnya telah lama menangani isu ini, cuma tidak kami uar-uarkan, namun perubahan modul perniagaan yang menjurus kepada perniagaan tanpa sempadan telah mempertingkatkan lagi peluang dan ruang untuk pembayar cukai merancang pengelakan cukai. Dan pada masa ini, ia merupakan masalah global yang perlu ditangani oleh pentadbir cukai seluruh dunia.

Adakah LHDN bercadang untuk melaksanakan pembekuan akaun terhadap syarikat-syarikat terlibat bagi memastikan mereka membayar cukai yang sepatutnya?

SABIN: Tindakan membekukan akaun merupakan salah satu peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang digunakan oleh LHDN di mana berkenaan.

Siapa lagi diburu oleh LHDN? Khabarnya ada 2,000 doktor antara kelompok terlibat dan apakah tindakan LHDN dalam hal ini. Boleh perincikan kumpulan doktor pakar ini dalam sektor awam atau swasta. Difahamkan mereka ditawarkan perkhidmatan elak cukai oleh ejen-ejen cukai?

SABIN: Kes yang dimaksudkan ini adalah kes doktor pakar, daripada hasil penelitian isu ini, LHDN memutuskan fi konsultan yang diterima oleh doktor pakar daripada kontrak perkhidmatan dengan hospital pakar swasta merupakan pendapatan perniagaan individu dan bukannya pendapatan syarikat Sdn. Bhd. Sedikit penjelasan, apabila pendapatan tersebut dilaporkan sebagai pendapatan syarikat Sdn. Bhd., doktor berkenaan menikmati cukai yang lebih rendah berbanding apabila dilaporkan sebagai perniagaan individu kerana mereka membuat tuntutan yang tidak dibenarkan.

Oleh itu tindakan LHDN dalam kes ini ialah mengabaikan pendapatan yang diterima oleh doktor pakar melalui syarikat Sdn. Bhd., dan membangkitkan taksiran atas pendapatan individu doktor berkenaan. Bilangan doktor pakar yang telah dikesan terlibat dalam isu ini adalah seramai 3,001 orang.

Bagi memudahkan proses membetulkan pelaporan pendapatan, LHDN telah menawarkan konsesi kepada kelompok ini menerusi Persatuan Perubatan Malaysia. Konsesi yang telah bermula sejak September 2016 dan berakhir pada 30 Disember 2016, ditawarkan bagi memberi peluang kepada doktor pakar tampil membuat pengakuan secara sukarela bagi membetulkan layanan cukai bagi Tahun Taksiran 2013, 2014 dan 2015.

Berdasarkan kes-kes yang telah dikendalikan, memang diakui terdapat ejen cukai yang memberi nasihat yang salah kepada kumpulan doktor pakar ini berhubung cara-cara mengurang cukai yang perlu dibayar.

Berapa nilai anggaran cukai yang sepatutnya dibayar oleh doktor-doktor pakar ini. Apakah trend elak cukai ini seolah-olah menjadi budaya pada golongan profesional sejak beberapa tahun lalu?

SABIN: Dalam kes yang dibincangkan ini, doktor pakar yang terlibat bukanlah tidak melaporkan pendapatan mereka langsung, cuma mereka sepatutnya melaporkan pendapatan tersebut sebagai pendapatan individu dan bukannya pendapatan syarikat.

Apabila mereka tampil untuk pengakuan sukarela, LHDN telah membuat taksiran kurangan ke atas cukai syarikat dan membangkitkan taksiran tambahan atas pendapatan individu. Seramai 2,229 doktor pakar telah tampil membuat pengakuan sukarela dengan amaun cukai dan penalti bersih sekitar RM400 juta. Jumlah bersih ini setelah mengambil kira amaun taksiran kurangan ke atas cukai syarikat bagi pendapatan sama.

Tidak dinafikan memang terdapat golongan profesional yang dikesan mengelak cukai, namun untuk mengatakan ia menjadi budaya mungkin kurang adil kepada kelompok profesional yang sentiasa patuh kepada perundangan percukaian negara.

Apakah pendekatan yang dilakukan oleh LHDN dalam memastikan agensi itu tidak terperdaya dengan perbuatan manipulasi cukai oleh syarikat-syarikat berkenaan?

SABIN: LHDN mengambil manfaat daripada hubungan dan kolaborasi strategik dengan pelbagai agensi untuk memastikan sentiasa memperolehi sumber maklumat yang cepat, tepat dan bernilai. Bagi tujuan ini LHDN mengambil manfaat daripada perkembangan teknologi terkini untuk membangunkan keupayaan data raya dan analitik data dalaman agar maklumat yang diperolehi daripada pelbagai sumber luaran dan dalaman dapat dicerna dan digunakan dalam mengenal pasti pembayar cukai yang ingkar dan juga trend amalan pengelakan cukai.

Adakah LHDN bercadang menyenaraihitam syarikat tertentu kerana telah mempunyai rekod buruk memanipulasi cukai?

SABIN: Kami sememangnya mempunyai satu daftar Pemantauan Pembayar Cukai Gagal Patuh, atau dalam Bahasa Inggerisnya Monitoring Deliberate Tax Defaulters Programme (MDTD) yang antara lain menyenaraikan pembayar cukai yang telah diaudit.

Pembayar cukai yang disenaraikan dalam daftar ini akan dikenakan penalti yang lebih tinggi seandainya dikesan gagal patuh sekali lagi. Perlu dinyatakan, dalam kes doktor pakar tersebut, mereka yang telah tampil membuat laporan sukarela semasa tawaran konsesi tidak didaftarkan dalam PPGP.

Bagaimanapun, baki seramai 772 orang yang tidak tampil semasa tawaran konsesi tersebut akan diaudit dalam masa terdekat dan didaftarkan dalam senarai PPGP jika penemuan audit menunjukkan mereka tidak mematuhi layanan cukai yang sepatutnya.

Adakah LHDN mengesan mana-mana syarikat yang menghantar keuntungan mereka ke luar negara bagi mengelakkan dikenakan cukai Apa tindakan LHDN dalam soal ini?

SABIN: Tindakan menghantar keuntungan ke luar negara merupakan salah satu isu yang memang sedang ditangani oleh LHDN khususnya dalam kes-kes melibatkan Kumpulan Syarikat Multinasional. Transaksi dengan syarikat berkait di luar negara dalam kes pindahan harga yang tidak mematuhi amalan prinsip selengan menyebabkan keuntungan yang tinggal di Malaysia sedikit dan setelah ditolak dengan tuntutan insentif, syarikat langsung tidak ada pendapatan dikenakan cukai.

LHDN akan terus mempertingkatkan tahap kemahiran pegawai agar sentiasa terkini dalam pemahaman isu-isu sebegini termasuklah usaha penempatan pegawai ke pentadbir cukai negara maju agar mendapat pendedahan kepada cara-cara mereka menangani isu pengelakan cukai peringkat antarabangsa.

Adakah LHDN bercadang mewujudkan kerjasama dengan mana-mana agensi bagi membasmi kegiatan elak cukai pihak tertentu?

SABIN: Selain daripada terlibat sebagai agensi di bawah National Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET), LHDN juga telah mengukuhkan rangkaian strategik secara individu dengan pelbagai agensi seperti Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan lain-lain lagi. LHDN akan terus memastikan jalinan hubungan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan ketirisan cukai dapat dibendung.

Apa nasihat Datuk kepada orang ramai mengenai pembayaran cukai?

SABIN: Setiap tahun LHDN menyumbang kepada lebih 50 peratus hasil kerajaan yang digunakan bagi menjana pembangunan negara Malaysia yang dicintai. Selain itu, sumbangan cukai juga membolehkan kemudahan dan perkhidmatan disediakan pada kos yang paling minimum kepada rakyat, di samping menyumbang kepada agihan Bantuan Rakyat 1 Malaysia untuk golongan yang memerlukan.

Pendek kata, sumbangan cukai anda merupakan sesuatu yang amat bernilai kepada negara dan hasilnya dapat dilihat dalam pembangunan dan kemudahan di sekeliling kita. LHDN akan terus memastikan bahawa perkhidmatan diberikan secara mesra, profesional dan pada tahap integriti yang paling tinggi. LHDN mengalu-alukan maklum balas pembayar cukai agar tahap perkhidmatan kami sentiasa pada tahap yang terbaik. Tumpuan kami adalah untuk memudahkan pematuhan cukai dengan sentiasa memperbaiki perkhidmatan kami.

Pada masa yang sama LHDN tidak akan berkompromi dengan pihak yang tidak patuh sama ada dalam urusan melaporkan pendapatan mahupun menjelaskan bayaran cukai kerana memahami kita perlu mewujudkan keadilan kepada pembayar cukai yang setia dan tanpa gagal menyumbang kepada pembangunan negara.

Kepada pembayar cukai, tidak ada istilah “sudah terlambat” dalam melaporkan pendapatan. Anda sentiasa dialu-alukan untuk tampil ke mana-mana pejabat LHDN untuk melaporkan pendapatan yang belum anda laporkan.Ejen cukai pula diingatkan agar tidak menasihat atau membantu pembayar cukai mengelak cukai kerana perbuatan membantu dan menasihat pembayar cukai untuk melakukan perbuatan ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 114(1A), Akta Cukai Pendapatan 1967 dan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.