Ia suatu yang telah dirancang dengan teliti dari semua segi, semua ukuran, semua sudut dan semua keadaan oleh Allah SWT.

Siapa sangka sebuah restoran di Shah Alam yang mendapat liputan meluas media ekoran insiden pekerjanya ditampar selepas menegur tiga pelanggannya yang merokok, telah mendatangkan hikmah yang lebih besar - didapati restoran itu mengelirukan pelanggan Islam kerana menggantung ayat suci al-Quran walaupun pemilik dan beberapa pekerjanya termasuk tukang masak tidak menganuti agama berkenaan.

Bahkan, pemeriksaan kebersihan di premis itu juga didapati terlalu kotor di bahagian pemprosesan. Kebanyakan peralatan di dapur berdaki dengan bahan mentah diletakkan di lantai.

Produk daging kambing yang didapati di premis itu juga diperoleh daripada pembekal yang tidak mempunyai sijil halal, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Ini seterusnya membawa rasa bimbang, prihatin orang Islam untuk lebih peka soal halal haram apabila menjamah makanan di restoran seumpamanya. Terutama sekali bab premis gantung ayat-ayat Al-Quran ini.

Siapa sangka bila mana seorang pemimpin parti dari Pakatan Harapan (PH) terperangkap semalaman di sebuah perkampungan Orang Asli terpencil di Kampung Semoi Lama ekoran jalan keluar yang becak sehingga tidak dapat dilalui.

Ekoran itu dia menyalahkan kerajaan Persekutuan pimpinan BN sebelum ini kerana tidak memajukan masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands, tetapi akhirnya memakan dirinya.

Rupa-rupanya apabila PH ambil alih tampuk pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU Ke-14), projek pembinaan jalan sepanjang 30 kilometer (melibatkan jalan keluar becak tadi) telah dihentikan.

Pemimpin PH itu pastinya tahu ‘angkara’ kementerian mana hentikan projek itu? Difahamkan, projek pembinaan Jalan Pos Betau-Pos Lenjang di Cameron Highlands itu diluluskan oleh kerajaan terdahulu demi manfaat penduduk khususnya kira-kira 4,000 Orang Asli di situ.

Siapa sangka pembatalan kemenangan BN di Cameron Highlands telah membuka laluan lebih jernih dan konkrit untuk kerjasama politik UMNO-Pas. Ia sehinggakan Tumpang dimaklumkan di kawasan DUN Jelai, muslimah Pas yang berganding bahu dengan Wanita UMNO untuk memenangkan BN, sudah menampal logo PRU-15 (bersedia mengharungi) di jubahnya.

Siapa sangka kerana PRK Cameron Highlands membuatkan BN terbuka idea menampilkan calon langsung atau Direct Candidate yang tidak lagi rigid berlandaskan calon kerusi tradisi parti-parti komponennya?

Siapa sangka sudah sekian lama berkecimpung dalam politik, seorang pemimpin PH boleh ‘tersadung’ terfikir idea ‘dangkal’ untuk memberikan Orang Asli kewarganegaraan penuh jika PH menang di pusat peranginan tanah tinggi itu? Bukankah Orang Asli warganegara Malaysia?

Siapa sangka baju kempen PRK dipakai orang parti boleh terpampang gambar Orang Asli menyumpit? Padahal Orang Asli sudahpun diangkat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Pengarah negeri seperti Pahang dan Perak juga datang dari masyarakat Orang Asli.

Siapa sangka ketika seorang senator yang pastinya cerdik lagi berhemah, boleh tiba-tiba ‘mengugut’ tok-tok batin tetapi kemudian menafikannya. Namun rakaman video berdurasi beberapa minit membuktikan percakapannya, menjadikan segalanya ‘nasi sudah jadi bubur’.

Siapa sangka ketika PH melaungkan penentangan terhadap gejala rasuah, seorang juru kempennya tiba-tiba dirakam menghulurkan ‘duit minyak’ yang terang-terang dalam peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyalahi etika dan peraturan.

Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia. Malah sehelai daun yang gugur ke atas muka bumi adalah dalam pengetahuan dan perkiraan-Nya.

Oleh itu manusia tidak perlulah sombong kerana keangkuhan itu akan lenyap apabila tiba masa ia lemah.

Kadang-kadang kita berasa benci suatu perkara itu berlaku ke atas diri kita kerana dalam perkiraan kita ia amat teruk, menyedihkan. Sedangkan terdapat banyak hikmah yang tidak diketahui.

Mengapa PH kalah di Cameron Highlands? Sedangkan kalau ‘ikut buku’ dalam ‘sindrom kehangatan dan keterujaan rakyat kepada PH’, tentu sekali mustahil boleh kecundang. Dibadai pula dari 597 ke 3,238 undi majoriti diraih BN.

Bukan suatu kebetulan dalam hidup ini. Segalanya...di bawah urusan, pengetahuan-Nya.