Kau suruh aku sabar, 
aku sabar kau injak tengkukku,

Aku harus bagaimana,

Aku kau suruh memilihmu sebagai wakilku,

Sudah ku pilih kau bertindak sendiri semahumu,

Kau bilang kau selalu memikirkanku,

Aku sapa saja kau merasa terganggu...

Artikel ini sengaja dimulakan dengan bingkasan puisi Gus Mus. Penulis coretkan sebahagiannya sebagai pedoman kerana puisi bertajuk, Kau ini bagaimana atau aku harus bagaimana, cukup malar hijau sifatnya dalam menegur kesombongan, keegoan dan rasa ketidakpedulian elit pemerintah terdapat rintihan rakyat.

Kebetulan, di Selangor sehingga ke hari ini, kemarahan rakyat terhadap caj 20 sen bagi setiap helai beg plastik yang dikuatkuasakan Kerajaan PKR Se­langor membadai ke seluruh pelosok negeri. Harapan mereka cuma satu - hapuskan caj 20 sen yang membebankan pengguna. Dalam tempoh itulah juga mereka merayu dan menggesa agar Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendengar tiap keluhan, rintihan dan suara hati rakyat. Itu bukanlah bermaksud mereka menolak Kempen Bebas Plastik, cuma apa yang diminta hanyalah hapuskan caj 20 sen.

Seketika, harapan rakyat Se­langor yang terbeban ekoran caj itu sedikit berbunga, apabila dua Exco kanan kerajaan negeri iaitu Amirudin Shari dan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi sendiri tampil mengkritik pelaksanaan kempen bebas beg plastik di Selangor yang disifatkan mereka perlu dikaji semula.

Amirudin dan Ahmad Yunus mengakui caj 20 sen menambahkan beban. Malah Amirudin tanpa berselindung mahu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Elizabeth Wong, melihat bagaimana pelaksanaan kempen sama di Melaka atau negara-negara lain, yang tidak pun menimbulkan keributan dalam kalangan rakyatnya.

Keberanian Amirudin dan Ahmad Yunus bersuara itu dilihat satu tamparan hebat kepada pentadbiran Mohamed Azmin kerana inilah buat pertama kali sejak beliau mengambil alih kepemimpinan negeri daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dasar yang dilaksanakan dikritik secara terbuka oleh Exconya sendiri.

Bahkan, Abdul Khalid tampil mempersoal hala tuju kempen itu. Bagi bekas Menteri Besar Selangor itu, apa rasionalnya Kempen Bebas Plastik kalau beg plastik sendiri masih ‘dijual’ pada kadar 20 sen, walhal kosnya ha­nya 2 sen.

Namun, semua itu tidak berbekas pada Mohamed Azmin, ternyata hatinya keras. Suara Exco dan rintihan rakyat langsung tidak diendah. Makanya, Menteri Besar tersebut tegas mahu caj 20 sen diteruskan. Keputusan yang me­nguburkan sama sekali harapan rakyat.

Kata Mohamed Azmin: “Kita (Kerajaan PKR Selangor) membuat rangsangan kepada rakyat (mengenakan caj 20 sen) supaya jangan menggunakan beg plastik.”

Soalnya berjayakah kempen bebas plastik di Selangor? Jika ‘denda’ 20 sen menjadi dorongan kepada Timbalan Presiden PKR itu untuk berfikir orang ramai tidak akan menggunakan beg plastik, rasanya elok Mohamed Azmin turun padang dan lihat sendiri apa berlaku di Pasar Seksyen 16, Shah Alam.

Di pasar itu, beg plastik tetap digunakan secara meluas kerana bukan sahaja pembeli malah peniaga sendiri tidak selesa untuk meletakkan barangan basah se­perti ikan dan ayam dalam beg selain plastik. Cuma apa yang membezakan peniaga di situ mereka tidak mengenakan sebarang caj terhadap beg plastik.

Mereka memilih untuk ‘ingkar’ arahan Kerajaan PKR Sela­ngor itu kerana terbit rasa kasihan kepada pengguna. Mereka tidak mahu lagi menambah beban kos sara hidup yang sedia tinggi menyebabkan semua peniaga sepakat memberi beg plastik secara percuma, ketika pasar raya besar berlumba-lumba mengenakan caj.

Jika peniaga di Pasar Seksyen 16 memiliki hati semulia itu, pastinya rakyat Selangor menagih kemuliaan serupa daripada kerajaan negeri tetapi Mohamed Azmin sudah bersuara. Suara yang seharusnya dinilai rakyat Selangor sebagaimana Gus Mus titipkan di sebalik bait-bait kata puisinya.

Suara yang patut rakyat Sela­ngor bertanya kepada diri sendiri, Mohamed Azmin, kau ini bagaimana? Atau aku (rakyat) yang harus bagaimana?