Pagar-pagar sempadan berhampiran dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Perlis dengan sewenangwenangnya dibuat lubang atau dipotong untuk dijadikan akses penyeludupan.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAI C), Datuk Yaacob Md. Sam, yang tempoh perkhidmatannya akan tamat pada 14 Oktober ini menjelaskan, satu kajian terperinci telah dijalankan pihaknya selama empat bulan untuk mengesan
kelemahan-kelemahan kawalan keselamatan sempadan negara.

Bersama wartawan, KAMI L MAS LIH dan jurugambar, RAS HID MA HFOF, Yaacob juga menjelaskan langkahlangkah yang perlu diambil oleh kerajaan untuk menstruktur, mengatur dan mencorak semula kaedah kawalan sempadan negara agar seiring dengan peredaran masa serta cabaran global.

MINGGUAN: Boleh Datuk kongsikan sejauh mana serius kebocoran dan kelemahan kawalan keselamatan di negara ini?

YAACOB: Sebenarnya, hasil pendedahan Mingguan Malaysia yang bertajuk ‘Sempadan dikuasai gengster’ itu, Ketua Setiauasaha Negara (Tan Sri Dr. Ali Hamsa) telah mengarahkan EAIC untuk menyiapkan kertas dasar bagi pengukuhan integriti penguatkuasan yang dijalankan di sempadan. Kami telah menghantar pegawai kami untuk membuat pemeriksaan terhadap sempadan negara. Pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara) juga telah menyerahkan kepada kami rakaman CCTV (kamera litar tertutup) selama dua bulan di kawasan kompleks ICQS Padang Besar.

Daripada rakaman CCTV itu, kita dapat lihat pergerakan kumpulan penyeludup melakukan penyeludupan dari Malaysia ke Thailand berlaku terang-terangan pada siang dan malam. Dan semasa penyeludupan itu berlaku, terdapat anggota penguat kuasa di situ yang beruniform tetapi mereka pejam sebelah mata. Kita dapat lihat kumpulan penyeludup ini menyeludup berguni-guni daun ketum. Mereka menyerahkan dari pagar di kawasan Malaysia dan ada yang menyambut di kawasan Thailand.

Persoalan di sini, ketum ini banyak ditanam di utara dan untuk mengangkutnya berguni-guni memerlukan pengangkutan, adakah ia berjaya melepasi Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem)? Ia juga melepasi kawalan sempadan sebab ia tidak menggunakan ICQS, ia menggunakan pagar sempadan untuk hantar barang ke Thailand. Sindiket yang menyeludup daun ketum ini melepasi pondok kawalan keselamatan dan walaupun pondok kawalan keselamatan mempunyai anggota, penyeludupan berlaku secara besar-besaran.

Bagaimanakah penilaian Datuk mengenai tahap integriti agensi-agensi yang bertanggungjawab terhadap kawalan sempadan?

YAACOB: Jika sempadan itu bocor terang-terangan, apakah maksudnya? Maksudnya tiada penguatkuasaan undang-undang, mengapa tiada? Adakah sengaja tidak dibuat penguatkuasaan atau tidak cukup orang? Tetapi jika ia berlaku terang-terangan di hadapan mata penguat kuasa, itu bukan isu tidak cukup anggota, itu adalah isu integriti.

Begitu juga agensi penguatkuasaan terlibat, mereka ini dianggotai pegawai-pegawai berpengalaman, mereka orang terlatih, mereka adalah orang mengetahui kawasan dan tahu modus operandi dan lokasi penyeludupan tetapi mengapa ia (penyeludupan) masih berlaku? Ia menunjukkan mungkin ada yang bersengkongkol dengan penyeludup, itu juga isu integriti.

Bolehkah Datuk kongsikan apa antara penemuan-penemuan penting dalam kajian dijalankan EAIC untuk tempoh empat bulan berkenaan?

YAACOB: Penemuan yang kita dapat kesan, khususnya di Semenanjung, adalah ketiadaan koordinasi kuat antara agensi-agensi yang bertanggungjawab terhadap kawalan sempadan. Bagi sempadan di Kedah, yang mengawalnya adalah ATM (Angkatan Tentera Malaysia). Sempadan di Kelantan, Perak dan Perlis pula dikawal oleh PGA PDRM (Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia). Aksem pula ditugaskan untuk kawalan bagi kawasan selepas 1 kilometer dari garis sempadan. Kastam beri laporan kepada pihak atasan Kastam. Imigresen beri laporan kepada pihak atasan Imigresen.

Kita tidak melihat adanya satu jawatankuasa yang boleh memberi fokus untuk koordinasi aktiviti antara agensi-agensi yang terbabit dalam kawalan sempadan. Akibatnya, kita tiada sistem command (perintah) yang khusus dan spesifik yang mana seorang ketua boleh arahkan kepada semua agensi dalam kawalan sempadan.

Seorang Ketua Polis Negeri di utara tanah air pernah menjawab soalan saya mengenai skala keseriusan masalah kawalan sempadan. Skala 1 untuk terburuk manakala skala 10 terbaik. Dia memberikan penilaian negara kita adalah pada skala 1. Adakah kita hendak sentiasa dalam penafian sempadan negara kita tidak bocor, padahal, sempadan kita bocor. Kerajaan perlu mengkaji semula sistem kawalan sempadan negara dan ini tidak hanya bagi sempadan darat tetapi juga sempadan laut yang melibatkan pelabuhan dan sempadan udara yang melibatkan lapangan terbang.

Katakan kita mengambil kawasan sempadan di utara tanah air sebagai kajian kes, pihak mana yang patut mengetuai perintah kawalan sempadan?

YAACOB: Sewajarnya tidak boleh dibiarkan kepada satu agensi sahaja yang menanggung beban, ia perlu dikawal secara bersama oleh agensi-agensi penguatkuasaan bagi mengelakkan salah guna kuasa dan rasuah. Saya berpendapat perlu ada bentuk sistem command seperti pihak Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur), kita letakkan satu pasukan kawalan sempadan yang terdiri daripada pelbagai agensi.

Kuasa perintah ini, bagi saya, kita boleh berikan kepada sesiapa yang layak. Tidak kira sama Ketua Pengarah Aksem atau kita beri kepada polis atau tentera. Tidak ada masalah tetapi kita perlu ada satu command, tidak kisah dari agensi mana pun. Dengan ada satu pihak yang pegang kuasa menjadi pegawai memerintah di satu tempat, ini memudahkan koordinasi antara agensi-agensi terlibat, ia memudahkan cara bekerja operasi serta memudahkan pertukaran dan perkongsian maklumat.

Mungkin dalam kajian berkenaan terdapat lagi penemuan-penemuan yang Datuk dapat kongsi untuk langkah yang boleh dipertimbang oleh kerajaan?

YAACOB: Sebagai langkah jangka panjang, kita juga berharap kerajaan menstrukturkan kembali sempadan negara dan ditentukan kawasan mana yang sesuai diletakkan tembok, pagar kawat duri atau pagar biasa. Buat ketika ini, hanya kira-kira 35 peratus sahaja sempadan negara dari Perlis sehingga Kelantan yang berpagar. Kita berharap kerajaan akan dapat teruskan projek pagar sempadan dan sudah tentu perkara ini juga memerlukan persefahaman dengan kerajaan Thailand.