Satu lagi ‘hadis’ yang biasa dikaitkan dengan puasa Rejab adalah seperti berikut: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa berpuasa sehari dari bulan Rejab disamakan dengan puasa sebulan. Barang siapa berpuasa tujuh hari dari bulan Rejab nescaya ditutup ba­ginya pintu-pintu neraka Jahim yang tujuh. Barang siapa berpuasa lapan hari dari bulan Rejab nescaya dibukakan baginya pintu-pintu syurga yang lapan itu. Barang siapa berpuasa 10 hari dalam bulan Rejab maka Allah menukarkan kejahatannya dengan kebaikan, dan barang siapa berpuasa 18 hari dari bulan Rejab nescaya berserulah seorang penyeru bahawasanya telah diampunkan apa yang telah lalu dan mulakanlah amalan”.

Menurut Ibnul-Jauzi, hadis ini adalah tidak sah. Kata Al-Bukhari dan Ad-Daruquthni: Ia adalah matruk. Dalam sanad juga terdapat Risydin Abu Abdullah yang juga seorang yang matruk. (Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu’ (Jld 1)- Drs. Abdul Ghani Azmi)

Hadis matruk adalah hadis yang pada sanadnya terdapat perawi yang tertuduh berdusta. Kedudukannya adalah paling daif selepas hadis maudhu’ (palsu).

Selain itu, solat al-Raghaib juga dikaitkan dengan kedatangan bulan Rejab. Ia dikatakan adalah solat sunat yang dilakukan pada awal malam Rejab. Didirikan antara waktu maghrib dan isyak sebanyak 12 rakaat serta juga dilakukan pada malam nisfu Syaaban sebanyak 100 rakaat.

Ia dikaitkan dengan ‘hadis’, “Sesiapa yang sembah­yang maghrib pada malam pertama di bulan Rejab kemudian bersembahyang 20 rakaat selepasnya, dia membaca di setiap rakaat surah al-Fatihah dan al-Ikhlas sekali de­ngan 10 kali salam, nescaya Allah menjaga dirinya, keluarganya, hartanya dan anaknya, dan diselamatkan daripada azab kubur, dan dia akan melalui titian sirat seperti kilat tanpa dikenakan hisab dan azab”.

Antara pendapat para ulama berkaitan solat sunat al-Raghaib adalah:

• Menurut Ibn Hajar al-Haithami: “Adapun solat sunat al-Raghaib adalah seperti solat yang biasa pada malam nisfu Syaaban dan kedua-dua ini (solat pada awal malam dalam bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban) adalah bidaah yang buruk dan dikeji. Hadis berkaitannya pula adalah palsu maka ia dibenci kepada pelakunya sama ada secara sendirian atau berjemaah”. (al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra)

• Menurut Imam al-Nawawi: “Solat yang dikenali de­ngan solat al-Raghaib adalah solat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat antara waktu maghrib dan isyak dan juga solat pada malam nisfu Syaaban sebanyak 100 rakaat. Kedua-dua solat ini adalah bidaah yang mungkar lagi buruk”. (al-Majmu’, 3:548)

Sebenarnya, tiada hadis yang sahih mengatakan fadilat amalan khusus dalam bulan Rejab. Namun, ini bukan penghalang untuk kita beramal dengan ibadah sunat biasa seperti puasa Isnin dan Khamis, qiamullail, membaca al-Quran dan wirid yang tsabit daripada Nabi SAW. Syaratnya tidak beriktikad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu.

Al-Quran ada menyebut bulan ini sebagai termasuk dalam empat bulan suci dan mulia yang diharamkan berperang atau bersengketa dalam Islam. Bulan ini adalah bulan aman, damai dan selamat. (rujuk at-Taubah ayat 36)

Lebih penting, Rejab sepatutnya mengingatkan kita kepada hampirnya kedatangan Ramadan, bulan mulia yang di dalamnya terdapat lailatul qadr, 1,001 rahmat dan maghfirah (keampunan) daripada Allah SWT.