Jika sekali pandang, betullah pandangan sesetengah pihak mempertikai tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Kenapa Finas mewujudkan dua kategori untuk Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia kali ini, iaitu kategori Anugerah Filem Terbaik Bukan Bahasa Malaysia dan Anugerah Filem Terbaik.

Pengkritik Finas bagaikan tidak dapat menerima pengasingan kategori itu. Mereka tidak menoleh ke belakang dan cuba memahami kewujudan FFM itu sendiri adalah untuk melindungi penggiat seni filem bahasa Malaysia sejak daripada dahulu lagi.

Dua kategori itu pun sebenarnya mengiktiraf filem bukan bahasa Malaysia, dan ia adalah satu nilai tolak ansur, selain penghargaan tertinggi buat penggiat filem tempatan dalam bahasa lain. Isu ini mula timbul bila filem-filem bukan bahasa Malaysia seperti Ola Bola dan Jagat yang sudah ditayangkan di luar negara tidak dicalonkan dalam Filem Terbaik? Ada pihak mempertikaikannya. Kenapa diwujudkan kategori baharu pula untuk filem seperti dalam FFM28?

Bermula dengan polemik yang dicetuskan apabila filem Sepet arahan Yasmin Ahmad, yang memenangi Anugerah Filem Terbaik FFM ke-18 dipertikaikan kemenangannya kerana tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, malah mencampur adukkan pelbagai bahasa termasuk bahasa Cina dan bahasa Inggeris, kemudian pada FFM-27 Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) memperkenalkan pula pengasingan dua kategori dalam FFM, iaitu Filem Terbaik dan Filem Terbaik Bukan Bahasa Malaysia.

Konsep dua kategori ini diteruskan lagi pada FFM-28 tahun ini, dengan ditambah dua lagi anugerah baru iaitu Pengarah Terbaik Filem Bukan Bahasa Malaysia dan Lakon Layar Terbaik Filem Bukan Bahasa Malaysia.

Terpaksa akur

Setelah berlaku ancaman dan ugutan berupa penarikan diri dan boikot daripada pengarah filem, akhirnya dengan campur tangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Finas yang berada di bawahnya terpaksa akur dengan memansuhkan tiga kate­­gori filem dan mewujudkan kategori Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan bagi FFM-28. Kategori yang dimansuhkan ialah Filem Terbaik (Bukan dalam Bahasa Kebangsaan), Pengarah Terbaik (Bukan Dalam Bahasa Kebangsaan) dan Lakon Layar Terbaik (Bukan Dalam Bahasa Kebangsaan).

Dari segi pertandingan, soal latar belakang bahasa – tidak kira bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, bahasa Tamil atau bahasa campur-campur, mereka mahu diletak dalam satu kategori yang sama. Bertandinglah, siapa yang hebat dan bermutu filemnya layak untuk menang. Tiada soal untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan. Ada apa dengan bahasa rasmi negara kalau pada hakikatnya masyarakat kita pun bercakap bahasa rojak. Dalam filem, kedudukan bahasa adalah sama asalkan penonton faham mesej filem.

Sebagai penganjur FFM, tanggungjawab Finas sebagai agensi kerajaan turut ada peranan mendaulatkan dan mengutamakan bahasa Melayu berbanding dengan kedudukan bahasa kaum lain sudah dinafikan.

Janganlah penggiat filem kita, Melayu, Cina dan India, kerana terlalu memikirkan keuntungan dan prestij anugerah, maka soal bahasa kebangsaan bukan menjadi keutamaan. Atau perasaan sekurang-kurangnya menghormati bahasa rasmi negara ini sudah lama luput dalam ingatan. Atau mereka tidak ambil peduli.

Ada masyarakat Melayu sendiri yang masih kuat untuk pertahankan martabat bahasa kebangsaan ini dalam penggiat filem. Ada juga orang Melayu sudah hilang jati diri serta sikap patriotik terhadap bahasa Melayu. Mereka anggap sebagai bangsa Malaysia, apalah tinggi sangat kedudukan bahasa Melayu ini. Inilah bangsa Malaysia yang bebas guna apa bahasa yang mereka mahu. Sedih juga setelah hampir 59 tahun negara kita merdeka, inilah nasib bahasa kebangsaan kita.

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu sebelum namanya menjadi Malaysia ini nampaknya terus mendapat rintangan tanpa kita sedar. Untuk sekian kalinya, orang Melayu sendiri menunjukkan kerendahan jiwa dan semangat apabila secara terbuka membiarkan usaha menyamaratakan kedudukan bahasa Melayu dengan bahasa kaum lain di negara ini.

Siapa peduli dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini. Siapa yang menghormati pandangan pejuang bahasa. Siapa yang mahu mendengar teguran daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku badan yang diberikan amanah untuk memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan.

Kadang-kadang kita lupa tanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan sahaja terletak di atas bahu DBP, tetapi juga semua pihak, termasuk penggiat industri perfileman negara. Filem juga mempunyai peranan tersendiri dalam menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu yang betul kepada para penonton. Penggunaan bahasa dalam filem boleh mempengaruhi dan menjadi ikutan kepada para penonton yang akan diwarisi oleh generasi akan datang.

Oleh itu, karyawan filem perlu menitikberatkan hal penggunaan bahasa Melayu untuk diketengahkan dalam karya mereka. Penggunaan bahasa yang tidak murni boleh memberi kesan dari sudut jati diri serta keaslian karya seni tempatan. Kita tidak mahu industri perfileman negara menjadi perosak dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlulah diteruskan supaya bahasa ini dapat dijiwai oleh para penonton yang berbilang bangsa di negara ini.