Bagi insan yang juga dikenali dengan Cikgu Yahaya ini, tiada istilah bersara dalam hidup­nya. Selagi masih bernyawa dan kudratnya mengizinkan beliau akan terus memberi sumbangan dalam apa jua bentuk sekali pun. Justeru tidak hairanlah, Cikgu Yahaya masih dijemput untuk memberi syarahan khususnya di pentas-pentas universiti untuk berkongsi pandangan berkaitan bidang pendidikan meskipun umur sudah menghampiri 90 tahun.

Sebagai contoh Isnin lalu, beliau dijemput ke Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pe­ngurusan (Inpuma) Universiti Malaya (UM) untuk menyampaikan syarahan umum di institut berkenaan. Dalam siri syarahan tersebut beliau diminta untuk berkongsi pandangannya tentang kepentingan membangunkan identiti rakyat Malaysia.

Memang tidak dinafikan bekas Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mempunyai pengalaman lebih 65 tahun dalam bidang pendidikan ini tidak lokek dengan setiap ilmu yang ada padanya. Baginya, ilmu yang ada dalam dirinya itu adalah harta tidak ternilai dan perlu disebarkan untuk dikongsi bersama demi kelangsungan anak bangsa.

Dengan menjadikan Rasulu­llah SAW dan perjuangan baginda sebagai idola serta inspirasi, beliau menggunakan sebahagian besar usianya untuk berbakti kepada masyarakat melalui bidang pendidikan yang amat dicintai­nya selama ini.

“Tiada istilah bersara dalam hidup saya. Tiada istilah penat, letih dan jemu. Saya memang minat untuk terus bekerja sehinggalah sekarang. Atas sebab itu saya mengambil keputusan untuk terus bekerja meskipun telah bersara daripada perkhidmatan kerajaan 34 tahun lalu.

“Minat ini akan saya teruskan selagi diizinkan oleh Allah SWT. Apa yang lebih penting, saya mahu melihat anak bangsa saya maju dalam bidang pendidikan,” katanya dalam pertemuan di ke­diamannya di Bandar Utama, Pe­taling Jaya, baru-baru ini.

Beliau juga sering beranggapan usia itu sekadar nombor, tidak lebih daripada itu. Yang lebih utama adalah bentuk sumbangan yang boleh diberikan untuk manfaat anak bangsa selagi hayat dikandung badan.

Dalam pada itu, Cikgu Yahaya secara peribadi menyanjung tinggi pengiktirafan yang telah diterimanya sebagai Ikon Pendidikan Negara tahun lalu yang mana penyampaian anugerah ikon tersebut disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

“Selepas 65 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan saya telah diberikan anugerah yang cukup tinggi ini dan saya amat-amat menghargainya,” katanya lagi.

Sementara itu, antara perkara yang menjadi topik tumpuan Cikgu Yahaya dalam pertemuan kami ini adalah tentang kepen­tingan melahirkan pelajar-pe­lajar yang seimbang dari segi fizikal, mental mahupun rohani.

Tidak terkecuali hasratnya untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berpandangan jauh, be­kerjasama, amanah, jujur, bertanggungjawab, mahir menyelesaikan masalah, patuh dengan arahan dan berbudi bahasa.

Katanya, kumpulan manusia yang seperti ini amat diperlukan dalam sebuah negara seperti Malaysia. Oleh itu guru-guru tadika, sekolah rendah dan menengah atau mereka yang bercadang untuk menjadi guru mesti menumpukan perhatian terhadap usaha ini selain mengajar subjek secara formal.

Sehubungan itu, sudah sampai masanya sistem pendidikan negara ini memberi fokus terhadap usaha melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dan serba boleh. Usaha itu hendaklah bermula di peringkat tadika yang kemudian diteruskan di peringkat sekolah rendah dan menengah, katanya lagi.

Penulis turut tertarik dengan penekanan Cikgu Yahaya tentang kepentingan elemen kerohanian dalam melahirkan seorang pelajar yang dikatakan seimbang. Katanya, elemen kerohanian tidak boleh dipinggirkan sebaliknya menjadi satu elemen yang amat penting apatah lagi kaitannya dengan kewajipan menunaikan tuntutan agama.

“Sebagai contoh kewajipan menunaikan solat lima kali sehari semalam yang mana kita memulakannya dengan solat subuh dan kemudian diikuti dengan solat-solat wajib lain. Sebagai orang Islam inilah antara elemen kerohanian yang perlu ada khususnya dalam kalangan diri pelajar kita,” jelasnya.

Tidak terkecuali kebimba­ngannya tentang bebanan sebahagian besar guru memikul tugas-tugas perkeranian sehingga hari ini. Isu tersebut, katanya, perlu ditangani dengan berkesan kerana beliau khuatir kualiti pembelajaran dan pengajaran (P&P) akan terjejas sekiranya isu berkenaan dibiarkan berlarutan tanpa sebarang tindakan.

“Cuba kita lihat skop tugas guru di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat (AS). Mereka hanya ditugaskan untuk mengajar manakala tugas-tugas lain seperti tugas-tugas perkeranian diuruskan oleh guru pembantu atau kerani. Dengan skop kerja yang sebegitu guru-guru pasti dapat memberikan tumpuan terhadap tugas hakikinya iaitu mengajar.

Dengan kata lain, katanya, 80 peratus skop tugas perlu dihabiskan untuk mengajar manakala baki 20 peratus lagi peruntukan bagi guru-guru menghadiri kursus-kursus tertentu yang akhirnya memberi manfaat kepada pelajar secara keseluruhan.