Bukan sahaja masih meminta wang bantuan untuk pen­da­hu­luan membeli kereta, sewa rumah malah majlis kenduri kahwin.

Wang yang diminta bukan sedikit. Kalau minta duit pen­dahuluan membeli kereta kecil pun sudah lebih RM4,500. Bagi yang bertemu jodoh waktu muda, belanja kenduri kahwinkan anak sekarang bukan macam dahulu cukup RM5,000 tidak terma­suk wang hantaran. Sekarang kalau duit tak ada RM20,000, alamat kena buat pinjaman peribadi daripada bank.

Sewa rumah pun perlu didahulukan dengan bayaran deposit dua bulan. Kalau sewa satu bulan RM800 bermakna kena sediakan RM1,600. Inilah hakikat yang dihadapi oleh anak-anak dan ibu bapa di seluruh Malaysia.

Duit gaji eksekutif muda yang berijazah, setakat RM3,000 tak cukup. Macam-macam perlu dibayar. Kena pula membantu keluarga di kampung.

Laporan HSBC Bank Malaysia Bhd. (HSBC Malaysia) menerusi kajian Kuasa Perlindungan baru-baru ini mendedahkan kira-kira 57 peratus ibu bapa di Malaysia masih memberi sokongan kewangan kepada anak-anak mereka berusia lebih 18 tahun.

Pada pandangan saya, kebanyakan golongan ibu bapa kate­gori ini membantu kerana anak belum bekerja atau masih menuntut pelajaran di kolej atau universiti. Bukan semua ibu bapa mahu anak-anak mereka terjerut dengan beban pinjaman PTPTN.

Sara hidup anak yang masih belajar perlu dibantu. Yuran pengajian, makan minum, kos pengangkutan dan penginapan perlu dibayar. Bagi ibu bapa yang masih bekerja dan berusia per­tengahan 40-an dan 50-an, bersesuaian dengan gaji besar, bantuan kewangan tersebut bukan menjadi masalah besar.

Jadi tidak hairan bagi saya apabila Ketua Negara, Perbankan Runcit dan Pengurusan Kekayaan HSBC Bank Malaysia, Lim Eng Seong berkata, tinjauan berjudul 'Mendepani Masa Depan' itu turut mendapati, ibu bapa di Malaysia berada pada kedudukan keempat peringkat global dalam menyokong kewangan anak-anak mereka yang dewasa, manakala Emiriah Arab Bersatu berada di tempat teratas.

Menurut Eng Seong, sebanyak 50 peratus ibu bapa masih memberi bantuan meskipun sebahagian besar (64 peratus) daripada mereka percaya bahawa anak-anak perlu berdikari apabila sudah dewasa.

“Pendidikan merupakan perkara paling banyak dibantu oleh ibu bapa (69 peratus), manakala 41 peratus menyokong dari segi kos kehidupan harian termasuk bil utiliti, barang keperluan dapur dan pembaikan kediaman. Selain itu, mereka turut membantu dari segi perubatan dan penjagaan pergigian (38 peratus) dan 27 peratus dalam kos kemudahan atau sewa,” katanya.

Hakikatnya tiada ibu ba­pa yang mahu melihat anak mere­ka hidup susah. Di sebaliknya, kebanyakan ibu bapa yang menyara anak de­­wasa akan berasa puas ke­ra­na dapat membantu ke­luarga mereka.

Memanglah trend anak yang bekerja tapi minta duit ibu bapa ini agak meri­sau­kan pakar sosial, Dr. Fatimah Daud.

Beliau menya­takan ke­­­­ba­­­­nyakan anak muda za­­man ini tidak berasa se­gan untuk me­minta duit tam­bahan dari­pada ibu bapa sedangkan mere­ka mam­pu untuk melan­cong ke luar negara setiap tahun.

Dalam sesetengah per­be­lan­jaan seperti perkahwinan dan mem­beli rumah, ada anak muda yang mahu kese­mua perbelanjaan itu ditang­gung oleh ibu bapa dengan memberi alasan tidak cukup duit kerana belum bekerja atau tiada tabungan.

Secara realiti, kata Dr. Fatimah, ibu bapa di Malaysia ketika ini sudah menjadi bank segera atau insurans kewangan kepada anak-anak yang sudah dewasa. Jika tidak cukup duit, mereka tidak risau kerana tahu ada ibu bapa akan tolong.

Tertekan

Sesungguhnya inilah hakikat yang kita perlu terima. Kos sara hidup sekarang tidak macam 30 tahun dahulu. Anak mu­da zaman itu, dengan gaji RM800 sebulan pun boleh ‘hidup selesa.’

Harga tambang pengangkutan ke tempat kerja secara kasar RM2 sehari. Minyak petrol di bawah RM1. Harga ikan, sayur dan keperluan harian lain pun murah. Kadar rumah sewa pun tak membebankan. Jauh sangat bezanya dengan kos sara hidup yang dihadapi oleh anak-anak muda sekarang.

Kalau dahulu beli kereta baru, lepas tiga tahun mahu dijual, kereta lama itu masih ada nilai yang baik, tak macam sekarang, lepas sebulan beli, dan mahu jual semula - terus jatuh nilainya – merugikan.

Harga rumah pula melambung tinggi. Macam-macam lagi yang berharga mahal sebab mungkin semua ahli perniagaan besar dan kecil ingin mencari keuntungan yang tinggi, konon menyahut seruan kerajaan supaya rakyat berpendapatan tinggi.

Namun hakikatnya tauke dan majikan yang dapat untung besar, pekerja masih dengan tangga gaji sama. Bayangkan ada majikan yang boleh beri bonus dua hingga empat bulan gaji tapi kenaikan gaji tahunan cuma RM16 setahun.

Apa yang dilalui dalam kehidupan anak-anak muda sekarang perlu dibantu oleh ibu bapa masing-masing. Tidak boleh lepas tangan. Jangan biar hidup anak-anak tertekan sedangkan ada ibu bapa yang masih bekerja dan sedia menghulur bantuan kewangan.

Tambahan lagi ibu bapa yang bekerja dengan pihak swasta yang sudah melepasi umur 55 tahun. Wang caruman KWSP yang ada boleh membantu anak-anak, di samping mereka masih terus bekerja hingga umur 60 tahun.

Saya bersimpati dengan anak-anak muda yang tidak mendapat bantuan kewangan kerana kekangan kehidupan dan keupayaan dari segi kewangan daripada ibu bapa mereka. Masa­lah kos sara hidup dan hutang-piutang ditanggung sendirian.

Jika kerajaan melihat masalah ibu bapa terpaksa ‘menanggung anak sampai mati’ adalah tidak wajar berlaku maka saya cadangkan kadar kenaikan gaji yang rendah dan tidak seimbang dengan kenaikan kos sara hidup yang jauh lebih tinggi serta sukar dijangkakan itu dikaji semula.

Kenaikan kos sara hidup bukan hanya dalam perkara besar sahaja tetapi harus dilihat secara holistik melibatkan perkara kecil yang bukan barang kawalan seperti upah penjagaan anak, susu, lampin pakai buang, sabun pencuci, wang saku anak sekolah, tambang bas sekolah hingga bil utiliti dan lain-lain semuanya mengalami kenaikan.

Sekiranya gaji permulaan dan kenaikan gaji tahunan dinaik­kan, sedikit sebanyak dapat membantu mengimbangi dan meringankan beban kenaikan kos sara hidup serta mewujud lebihan tunai sekali gus meningkatkan kuasa beli anak-anak muda yang baru bekerja.