Para pemilih dikatakan perlu memohon cuti yang panjang untuk balik menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi lebih-lebih lagi yang tinggal di Sabah, Sarawak, Singapura, Hong Kong, Australia atau negara-negara lain.

Suruhanjaya itu dituduh bersekongkol dengan kerajaan cuba ‘bermain kotor’ bagi memastikan peratusan keluar mengundi rendah dan seterusnya memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN). Sejauh mana kebenaran teori berkenaan tidak dapat dipastikan. Sedangkan sejarah pilihan raya umum di negara ini menyaksikan tidak kurang daripada tiga kali pilihan raya diadakan pada hari bekerja iaitu pada 1959, 1982 dan 1999. Ketika itu tidak pula timbul polemik dan menjadi isu hangat sebagaimana sekarang.

Bagaimanapun pemilihan ta­rikh 9 Mei tidak wajar menjadi isu lagi apabila kerajaan mengisytiharkan tarikh berkenaan sebagai cuti umum. Langkah itu bertujuan memudahkan semua rakyat Malaysia balik mengundi dengan selesa dan selamat. Pada masa yang sama ada sesetengah majikan memberi cuti tambahan kepada kakitangan masing-masing bagi memboleh­kan mereka balik mengundi. Be­berapa buah ke­rajaan ne­geri juga dikhabarkan turut me­rancang memberi cuti tambahan bagi tujuan yang sama. Tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran khabar angin itu.

Apa yang menarik dalam era media sosial ini, sebaik sahaja tarikh hari mengundi diumumkan jatuh pada hari bekerja, pengguna media sosial mula menggerakkan pelbagai kempen bagi menggalakkan rakyat balik mengundi khusus bagi yang tinggal di luar kawasan.

Antara kempen yang menjadi trending dalam media sosial ter­utama Twitter pada masa ini ialah #CarpoolGE14 dan #PulangMengundi. Kempen ini berkonsepkan perkongsian kenderaan dari kawasan yang sama ke destinasi yang sama. Individu yang bercadang balik mengundi bersendirian menjemput netizen lain untuk berkongsi satu kenderaan. Mereka hanya perlu menekan kedua-dua tanda pagar ber­kenaan dan mencari rakan kongsi kenderaan mengikut kesesuaian tarikh, tempat, masa bertolak balik serta masa kembali.

Menerusi konsep perkongsian kenderaan tersebut, mereka juga akan berkongsi kos petrol dan kalau perlu bergilir memandu bagi mengurangkan rasa letih. Langkah ini dapat menjimatkan kos balik mengundi sekali gus dapat menjamin satu bentuk perjalanan pulang yang selesa dan selamat. Perjalanan balik sudah tentu menyeronokkan lebih-lebih lagi, rakan satu kenderaan adalah orang baharu yang mungkin tidak dikenali pun sebelum ini!

Selain itu, ada juga kempen mengumpul dana digerakkan bagi membantu para pengundi balik kampung mengundi dan berjumpa dengan keluarga masing-masing. Tumpuan diberikan kepada pengundi muda yang pertama kali mengundi. Mereka membayar sebahagian daripada harga tiket bas atau tiket penerbangan terutama yang tinggal di Sabah dan Sarawak atau yang tinggal di semenanjung untuk balik melaksanakan tanggungjawab yang sama di kedua-dua buah negeri itu.

Berdasarkan kepada pemerhatian penulis sehingga rencana ini ditulis, kempen tersebut mendapat sambutan hangat daripada para penuntut universiti. Keba­nyakan mereka memohon diberi wang tambang bas bagi perjalanan pergi-balik sahaja.

Selain warga media sosial, parti-parti politik bertanding, kelab atau pertubuhan sosial serta orang perseorangan sebagaimana dalam pilihan raya umum yang lepas-lepas turut mengambil bahagian dalam kempen membawa balik pengundi luar kawasan. Mereka menyediakan kemudahan pengangkutan pergi-balik bagi pengundi yang tinggal di luar kawasan. Terdapat juga individu yang bermurah hati mahu memberi sumbangan wang kepada mereka yang memerlukan bagi perbelanjaan balik mengundi.

Kempen balik mengundi menerusi media sosial dijangka terus rancak sehingga menje­lang hari pengundian nanti. Melihat kepada sambutan hangat ini tidak ada sebab lagi bagi mereka yang tinggal di luar kawasan untuk tidak pulang menunaikan tanggungjawab besar pada 9 Mei depan.

Para pengundi tidak perlu lagi untuk memohon cuti khas pada hari tersebut. Sesetengah majikan bermurah hati memberi sehari dua lagi cuti selain duit petrol. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, setiap pengundi perlu mengambil peluang ini untuk melaksanakan tugas yang datang lima tahun sekali bagi menentukan kepe­mimpinan negara.

Kempen ini juga secara tidak langsung membayangi kempen jangan keluar mengundi dan undi rosak yang digerakkan oleh segelintir individu sebelum ini.

Kempen itu meminta para pengundi yang bosan dengan kemelut politik negara agar ja­ngan keluar mengundi dan kalaupun perlu mengundi kertas undi perlu dirosakkan sebagai tanda protes. Tindakan itu mendapat kecaman ramai yang disifatkan sebagai tidak demokratik.

Melihat kepada sambutan dan ‘keghairahan’ rakyat terhadap tarikh 9 Mei ini dan begitu ba­nyak kelonggaran dan kemudahan yang diberikan bagi rakyat negara ini melaksanakan proses tersebut, tidak ada sebab atau alasan lagi kepada sesiapa pun yang layak untuk tidak balik mengundi pada pilihan raya umum kali ini. Tuduhan tertentu parti-parti politik bertanding ke atas SPR juga tidak lagi relevan.