“Tsunami Melayu bermakna orang Melayu menolak UMNO. Saya tak nampak ia berlaku,” tegasnya. (“Malay tsunami at GE14 unlikely, says Najib.” - The Star, 15 Mac 2018).

Setelah melawat beberapa negeri kebelakangan ini, beliau menyatakan bahawa mood dan sentimen dalam kalangan rakyat adalah lebih baik berbanding pilihan raya lepas. “Saya tidak nampak mood untuk menukar kerajaan,” katanya.

Mengenai pengundi Cina, beliau berkata ia sukar diperkatakan. Bagaimana pun, beliau mengharap mereka akan kembali menyokong Barisan Nasional (BN). Kecenderungan pengundi Cina akan lebih jelas hanya pada saat-saat akhir.

Beliau menegaskan bahawa masyarakat Cina akan mendapat layanan lebih baik dengan BN andainya mereka mempunyai perwakilan yang lebih kuat dalam kerajaan. Beliau menambah, sukar baginya memberi empat atau lima jawatan menteri sekiranya masyarakat Cina enggan menyokong BN.

Mereka perlu membuat pilihan yang bijaksana. “Jika negara makmur, begitu juga orang Cina. Jika kita maju dengan lebih kukuh dari segi ekonomi, masyarakat Cina di negara ini akan mendapat manfaat,” jelasnya lagi.

Mengenai Parti Warisan Sabah yang dipimpin Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Najib berkata parti itu tidak cukup kuat untuk mewujudkan tsunami politik di Sabah.

Sewaktu bercakap dengan editor kanan (warga media tempatan) minggu lalu, Najib menyatakan bahawa apa yang beliau harapkan dalam PRU-14 ini adalah satu kemenangan besar agar sebuah kerajaan yang kuat dapat ditubuhkan bagi menyampaikan lebih banyak lagi kebaikan untuk rakyat.

Beliau mahu melihat Malaysia menjadi negara yang terkemuka di dunia dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh bagi memberi manfaat kepada lebih 30 juta penduduknya. “Saya mahu Malaysia menjadi negara tahap pertama dan saya berazam untuk kita dapat mencapainya,” katanya.

Peluang untuk menawan kembali Selangor juga tidak mustahil, katanya. “Kita mesti mewujudkan faktor wow dan mencari seseorang yang boleh memimpin Selangor,” tambahnya.

Ditanya mengenai Pas, Pe­ngerusi BN itu menyatakan bahawa parti itu ‘bukan musuh’ dan dalam masa sama juga ‘bukan kawan’. Ada perkara di mana ke­dua-dua parti itu boleh bersaing, dan ada perkara yang mana mereka boleh bekerjasama; segalanya bergantung kepada keadaan. Mi­salnya dalam hal undang-undang Antiberita Tidak Benar, Pas menyokong BN, katanya.

Pada Februari lalu, ketika ditanya sama ada tsunami orang Cina akan berlaku pada PRU-14 depan ini (yang disifatkan oleh beberapa pihak sebagai ‘ibu segala pilihan raya’), Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan bahawa masyarakat Cina kini sudah ‘celik’ untuk menilai yang mana satu kaca dan yang mana permata.

Tiong Lai mengakui MCA telah belajar daripada kesilapan silam dan sedar dengan kelemahan pada PRU lalu. “Kehilangan sokongan kaum Cina pada PRU lalu sedikit sebanyak berpunca daripada masalah dalaman dan luaran MCA sendiri,” katanya. Setelah dia mengambil alih ke­pimpinan parti pada 2013, pertama yang dilakukan olehnya adalah transformasi parti.

“Kita nak jelaskan kepada rakyat, MCA bukan hanya sekadar penumpang dalam ‘kapal’ BN. Sebaliknya kita mempunyai kekuatan tersendiri untuk menyumbang kepada kejayaan BN, katanya.

Tiong Lai berkata, MCA juga telah menjalin kerjasama erat dengan parti Gerakan dan ini menjadi faktor penting memulihkan kembali kepercayaan masyarakat Cina terhadap BN. Beliau yakin tsunami Cina yang berlaku dalam PRU-13 tidak akan berulang.

Istilah ‘tsunami politik’ muncul kali pertama pada PRU-12 (8 Mac 2008). Ia adalah satu peristiwa yang ramai tidak menduganya boleh berlaku – yang mana buat kali pertamanya kerajaan pimpinan BN hilang majoriti dua pertiga dan lima kerajaan negeri jatuh ke tangan parti pembangkang. Walaupun pada masa itu pembangkang hanya memperoleh 48 peratus undi popular, mereka berjaya pertama kali mengubah landskap politik tanah air.

Tsunami politik berlaku kali kedua dalam PRU-13 (5 Mei 2013), membabitkan pengundi Cina. Sokongan masyarakat Cina kepada Pakatan Rakyat memuncak sehingga ke paras 85 peratus. Peristiwa ini digelar oleh sesetengah pihak sebagai ‘tsunami Cina’.

Ada pemimpin parti pembangkang yang mendakwa wujud faktor trust deficit dalam kalangan orang Melayu terhadap UMNO disebabkan beberapa peristiwa dalam setahun dua kebelakangan ini. Soalnya apakah trust deficit ini (andainya ia benar wujud) boleh menghasilkan satu gelombang tsunami yang boleh me­numbangkan kerajaan BN?

Sebuah portal berita tempatan (malaysiagazette.com) baru-baru ini memetik Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai berkata bahawa keputusan Pakatan Harapan mencalonkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sementara (jika menang PRU-14) tidak akan menyebabkan tsunami Melayu seperti yang didakwa pembangkang sebelum ini.

“Saya tidak kata tiada gangguan. Sikit-sikit itu ada impact tetapi tidaklah seperti orang kata akan terjadi tsunami orang Melayu,” katanya dalam satu temubual dengan wakil Bernama.

Akhbar The Malay Mail (keluaran 11 Mac 2018 lalu) memetik Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai berkata bahawa tsunami Melayu tidak akan berlaku di Johor.

Menzahirkan keyakinannya bahawa negeri kubu kuat UMNO itu akan kekal milik BN selepas PRU-14, beliau berkata UMNO Johor mempunyai kekuatan sendiri untuk menghadapi sebarang cabaran daripada parti pembangkang.

Beliau menambah bahawa masyarakat bukan Melayu tidak perlu bimbang dan terpengaruh dengan dakwaan parti pembangkang yang kononnya tsunami Me­layu akan berlaku pada PRU-14 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Mohamed Khaled menambah, tsunami Melayu tidak akan berlaku di Johor kerana beliau tahu orang Melayu Johor bukannya orang yang tak berfikir dan tidak rasional. “Mereka rasional,” katanya.

Sebagai anak Johor (walaupun telah sekian lama tinggal di ne­geri Jelapang Padi ini) saya setuju.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.