Terus-terang, saya bukanlah tergolong dalam kala­ngan mereka yang romantik ketika bercinta, apatah lagi mahu menyambut Hari Valentine seperti mana kelaziman dilakukan oleh pasangan kekasih lain.

Entah mengapa tiada perasaan teruja langsung untuk meraikan hari istimewa itu bersama kenalan lelaki sebelum ini. Disebabkan itu, ada yang melabel saya sebagai kolot dan dingin dalam menjalin hubungan. Begitupun saya tidak kisah.

Pendirian saya, setiap hubungan yang terjalin dibiar mengikut arus, kata orang ‘putih’ go with the flow dan tidak perlu terlalu bekerja keras untuk menjayakannya. Ada jodoh pasti hubungan ke jenjang pelamin, insya-Allah.

Berbalik kepada topik, kewujudan Hari Valentine di­sedari saya ketika di sekolah menengah. Itu pun secara tidak sengaja setelah saya mencuri dengar perbualan sekumpulan rakan sekelas yang menyebut perkataan Va­lentine.

Umum maklum, Hari Valentine atau dikenali Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta dan membuktikan kasih dan sayang yang tidak ternilai harganya kepada pasangan masing-masing.

Justeru, tidak keterlaluan jika mengatakan hari berkenaan adalah ‘lesen’ bagi pasangan kekasih membuat maksiat atau me­lakukan perbuatan se­perti berpeluk dan bercium secara terbuka selepas mereka bertukar hadiah.

Biarpun ada menyanggah gejala seks bebas bukan semata-mata kerana Hari Valentine, namun kita tidak dapat menolak hakikat sambutan Hari Va­lentine menyumbang pe­ningkatan masalah sosial khusus­nya kelahiran anak tidak sah taraf serta penyakit HIV.

Laporan sebuah agensi antarabangsa di Indonesia dua tahun lepas mendedahkan hasil tinjauan Kementerian Kebudayaan Thailand bahawa, sebanyak 83 peratus remaja negara itu melakukan hubungan seks pada Hari Valentine.

Selain kini menjadi antara negara yang mencatatkan kehamilan remaja tertinggi di Asia Tenggara, Thailand juga dibelenggu peningkatan kes jangkitan HIV, dan berpotensi ‘menyaingi’ negara-negara di Afrika sebagai pusat penyebaran AIDS!

Perkembangan itu telah memaksa pihak berkuasa Bangkok melaksanakan beberapa pendekatan yang agak drastik bagi membendung masalah termasuk melarang golongan belia melakukan hubungan seks pada Hari Va­lentine. Malah, bilangan anggota polis juga ditambah bagi memastikan golongan muda terus pulang ke rumah setelah menikmati makan malam pada Hari Valentine serta arahan tidak membenarkan pelanggan di bawah usia memasuki kelab malam dan pusat hiburan.

Walaupun ditentang oleh banyak pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan itu, setidak-tidaknya ada usaha berani dilakukan oleh pihak berkuasa Thailand untuk menangani gejala seks bebas pada Hari Valentine.

Dalam perkembangan berkaitan, kita tentu ­terta­nya-tanya jika pendekatan sama dilakukan oleh pihak berkuasa di negara ini memandangkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2015 mendedahkan sebanyak 3,980 atau 28.8 peratus daripada 13,831 remaja berusia 10 hingga 19 tahun mengandung anak luar nikah.

Jika Thailand sebuah negara bukan Islam berani me­laksanakannya, kenapa Malaysia tidak?