Kita ketepikan seketika polemik yang sedang memalit TH. Soalan yang perlu diajukan (semula) kepada para pendeposit ialah apakah jenis kontrak yang ditandatangani dan dipersetujui mereka?

Untuk makluman, kontrak digunapakai TH pada ketika ini ialah wadiah yad dhamanah iaitu simpanan pendeposit TH yang dijamin kerajaan tetapi tidak menjanji apa-apa pulangan.

Implikasi terbesar kontrak sebegini ialah sebarang bentuk keuntungan merupakan milik mutlak TH dan sebarang pemberian hibah tertakluk kepada budi bicara mereka.

Kendati pun begitu, pemberian hibah pada kadar yang tinggi telah menanam dan mengukuhkan lagi persepsi para pe­nyimpan bahawa simpanan TH merupakan instrumen pelaburan lumayan dan bukannya sekadar suatu instrumen simpanan.

Umum mengetahui risiko dan pelaburan ialah dua konsep yang saling berkait dalam dunia pelaburan. Secara umumnya, lebih tinggi risiko, lebih tinggilah peluang untuk menerima keuntungan atau kerugian. Konsep ini juga selari dengan kaedah Syariah al ghurm bil ghunm atau untung berserta risiko.

Persoalan (atau refleksi) berikutnya kepada para pendeposit TH ialah meneruskan pengharapan simpanan di TH memberikan pulangan bak instrumen pelaburan atau pun adakah mereka bersedia menanggung kerugian seperti instrumen pelaburan?

TH mempunyai 9.3 juta pendeposit dengan jumlah deposit RM74 bilion. Namun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, separuh atau RM37 bilion itu dimiliki 1.3 % pendeposit sahaja. Bermakna 98.7 % pendepo­sit merupakan sekadar penyimpan runcit atau menyimpan bagi tujuan mengerjakan haji sahaja.

Tidak seperti simpanan di bank yang hanya dijamin oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) setakat RM500,000 sahaja, jaminan simpanan di TH tidak mempunyai had dan para penyimpan boleh memasuk dan mengeluarkan simpanan mereka tanpa sebarang had.

Malah, simpanan (atau pelaburan) di TH merupakan suatu bentuk pelaburan bebas zakat kerana pihak TH telah membayar zakat bagi pihak pendeposit.

Oleh sebab yang demikian, simpanan TH bukanlah suatu bentuk simpanan. Malah, ia merupakan suatu bentuk pelaburan patuh Syariah, selamat serta menguntungkan para pendeposit selama ini.

Salah satu hikmah yang boleh dituai daripada kemelut yang melanda TH ini ialah penganjakan paradigma dalam kalangan para pendeposit bahawa simpanan TH merupakan instrumen simpanan dan bukannya pelaburan.

Menurut disiplin fikah muamalat, contoh kontrak yang bersesuaian dengan instrumen pelaburan sebegini ialah wakalahbilistithmar atau akad perwakilan bagi tujuan pelaburan di mana TH bertindak sebagai ejen untuk melaburkan wang pendeposit ke dalam aktiviti pelaburan patuh Syariah.

Justeru itu, saya mencadangkan kepada pihak pengurusan TH untuk menyediakan sekurang-kurangnya dua jenis akaun kepada para pendeposit TH iaitu wadiah yad dhamanah dan wakalah bil istithmar untuk memenuhi kehendak kedua-dua kelas deposit.

DR. MOHD. ZAIDI MD. ZABRI ialah Pensyarah Kanan Seksyen Kewangan Islam, Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia (USM).