Usaha harus dipertingkatkan lagi bagi menekan Israel supaya menghentikan segala kekejaman dan penindasan serta mematuhi resolusi yang telah dikeluarkan oleh pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap mereka.

Israel boleh ditundukkan melalui kerjasama serta semangat padu semua pihak. Ini jelas ditunjukkan pada penghujung 2016 apabila PBB berjaya meluluskan satu resolusi yang mengecam serta menggesa Israel menghentikan segala aktiviti pembinaan penempatan haramnya di tanah milik Palestin.

Resolusi 2334 berkenaan telah mendapat kelulusan daripada 14 negara yang menganggotai Majlis Keselamatan berkenaan termasuk Malaysia. Amerika Syarikat pula pada ketika itu telah mengambil langkah berkecuali.

Ini jelas menunjukkan kesepakatan semua pihak dalam berdepan dengan Israel boleh dicapai jika mereka menghentikan perbezaan pendapat serta memberi fokus untuk mewujudkan keamanan sejagat dan berkekalan di rantau Asia Barat.

Walaupun Israel terlihat diberi perlindungan oleh sekutu kuatnya Amerika Syarikat lebih-lebih lagi di bawah pentadbiran Presiden Donald J. Trump, namun ini tidak seharus­nya mematahkan semangat negara dunia yang lain untuk meneruskan usaha memberi tekanan kepada Israel menghormati usaha majoriti negara dunia terma­suk Malaysia.

Pelbagai langkah boleh diambil oleh masyarakat antarabangsa terhadap Israel seperti memutuskan hubungan diplomatik, mengenakan sekatan ekonomi serta mengusahakan satu langkah drastik bagi menyingkirkan Israel terus daripada PBB. Israel perlu diingatkan bahawa penubuhan negaranya banyak terhutang budi kepada PBB itu sendiri.

Pada 1947, PBB telah memutuskan untuk membahagikan daerah mandat British, Palestin. Keputusan ini ditentang keras oleh negara Asia Barat dan banyak negara Islam. Kaum Yahudi mendapat 55% dari seluruh wilayah tanah meskipun hanya 30% menduduki daerah ini. Manakala Baitulmuqaddis, bandar suci Yahudi, Muslim dan Kristian, akan dijadikan bandar antarabangsa.

Semenjak penubuhan Israel pada 14 Mei 1948 pelbagai masalah ditimbulkannya yang jelas bertentangan dengan tujuan dan matlamat asal PBB - untuk mengelakkan pengulangan pertikaian yang hebat serta memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia. Perkara 6 Piagam PBB 1945 menyatakan dengan jelas bahawa; “Ahli yang telah berterusan melanggar prinsip yang terkandung dalam Piagam boleh dibuang daripada pertubuhan melalui Perhimpunan Agung atas syor Majlis Ke­selamatan.”

Dengan segala tindakan keganasan rejim Israel, sudah sampai masanya semua negara dunia bersatu bagi menyokong usaha menyingkirkan Israel daripada PBB.

Walaupun perkara ini sukar dilaksanakan terutamanya tanpa sokongan sesetengah anggota Majlis Keselamatan PBB yang menjadi proksi serta penyokong kuat Israel namun langkah ini sekurang-kurangnya dapat memberi isyarat jelas kepada Israel bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan hanya duduk diam terhadap segala tindakan keganasan yang dilakukan mereka.

Negara-negara Islam pula harus kekal bersatu dalam menghadapi isu ini. Mereka tidak boleh bertelagah sesama sendiri sehingga menjejaskan segala usaha untuk memberi tekanan terhadap Israel. OIC yang mempunyai keanggotaan hampir 60 negara Islam harus memainkan peranan aktif dalam meningkatkan tekanan terhadap Israel. Hanya dengan kerjasama erat serta usaha bersepadu semua pihak boleh menundukkan Israel dan menghentikan segala kekejaman dan penindasan yang telah mereka lakukan selama ini.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).