Pertandingan agak mendebarkan. Setelah tamat empat pusingan pertandingan dan pada pusingan kelima kedua-dua peserta negara telah mempamerkan terjunan yang baik dan membolehkan mereka meraih pingat perak dengan memungut 344.5 mata.

Ini adalah suatu pencapaian terbaik kerana kali pertama mereka digandingkan bersama untuk acara ini. Sebelum ini Pandelela telah berganding dengan penerjun Mun Yee Leong.

Disebabkan ­prestasi Man Yee yang agak kurang konsisten sejak kebelakangan ini berbanding Jun Hoong, maka jurulatih negara Yang Zhuliang telah menggandingkan Pandelela dengan Jun Hoong.

Gandingan baharu ini benar-benar serasi dan hasil kerja keras kedua-dua penerjun ini dan juga tunjuk ajar jurulatih berwibawa dari negara China itu, maka ini telah menghasilkan keputusan cemerlang.

Pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London, gandingan Pandelela dan Mun Yee sekadar memperoleh pingat gangsa dalam acara yang sama. Mengikut rekod peribadi, Pandelela Rinong ialah atlet pertama wanita negara memenangi pingat di Sukan Olimpik.

Kemenangan kali ini lebih manis lagi buatnya yang bergandingan dengan Jun Hoong kerana berjaya memungut pingat perak. Dengan kemenangan terbaharu bersama Jun Hoong, kejayaan ke­dua-dua penerjun ini akan tercatat dalam sejarah sukan tanah air sebagai wanita pertama memenangi pingat perak di Sukan Olimpik.

Dengan umur Pandelela yang baru 23 tahun dan begitu juga Jun Hoong yang masih muda, gandingan ke­dua-dua ­penerjun ini amat perlu dikekalkan dan prestasi mereka perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Kita percaya dengan latihan keras dan sistematik di masa hadapan, tidak mustahil kedua-­duanya mampu meraih pingat emas Olimpik suatu hari nanti. Ia tidak harus terhenti di sini. Perjalanan kedua-duanya masih jauh dan negara masih lagi memerlukan khidmat mereka untuk mengangkat dunia sukan negara ini.

Kemenangan cemerlang yang ditunjukkan oleh Pandelela dan Jun Hoong, buat masa ini mengubat harapan rakyat Malaysia untuk melihat atlet negara memperoleh pingat setelah beberapa atlet negara gagal meraih sebarang pingat sebelumnya iaitu dalam acara perahu layar, memanah dan acara lain sebelum acara terjun 10 meter papan anjal berlangsung.

Syabas dan setinggi tahniah kepada Pandelela dan Jun Hoong atas kejayaan cemerlang yang dicapai. Ucapan ini juga ditujukan kepada jurulatih, Yang Zhuiang, pegawai dan staf Persatuan Renang Malaysia dan semua pihak lain yang turut menyumbang kepada kejayaan manis ini.

Apa yang dicapai oleh Pandelela dan Jun Hoong akan menjadi pembakar semangat kepada atlet lain seperti Datuk Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang dan lain-lain yang akan meneruskan cabaran negara dalam memburu pingat di Sukan Olimpik Rio 2016 kali ini. Kita berharap pungutan pingat kali ini akan bertukar warna kepada pingat emas yang sudah lama kita mimpikan.

Diharapkan atlet negara kita akan ­terus berjuang dan kuatkan semangat untuk merealisasikannya. Semangat mesti diselarikan dengan kata-kata hikmah berjuang yang berbunyi: ‘ Veni, Vidi, Vici - Aku datang, aku lihat dan aku tawan’. Selamat berjuang para atlet negara. Jangan berhenti dan terus mengibarkan Jalur Gemilang.

PENULIS ialah Pengarah Eksekutif MES Consulting Network.