Sebuah terusan ura-ura digali di situ yang bakal menjadi pesaing Singapura. Sebuah dua kota pelabuhan yang berkemudahan akan diwujudkan. Kesan buruk akan menyinggahi Singapura.

Sebelum Burma merdeka dari British pada 1948, persefahaman British-Thailand telah dibuat bahawa Thailand-Burma mesti sama-sama bersetuju sebelum terusan digali. British mahu memastikan kepentingannya di Singapura tidak dijejaskan oleh Thailand.

Terusan itu mendekatkan perkapalan Eropah, bumi Arab dan India ke negara China, Jepun dan Korea. Begitulah juga sebaliknya. Pastinya ia menjadi popular sebab kos perkapalan menjadi jauh lebih murah.

Selain daripada kepentingan Singapura, British juga mahu melindungi Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Swettenham (kini Pelabuhan Klang) di Malaya yang di bawah jajahannya.

Apa yang dimaksudkan kepentingan itu ialah hasil yang sangat-sangat lumayan begitu lama dipungut dari bisnes lalu-lalang laut.

Bagaimanapun, tidaklah diketahui, malah tiada berita di media, begitu lama tentang apa yang terjadi dengan ura-ura Segenting Kra (bahasa Thai: Khokot Kra)sebagai bakal saingan Singapura itu.

Ada disebut-sebut pekan Kawthung di Burma dan pekan Ranong di Thailand akan menjadi dua kota sauhan segenting itu.

Selepas disebutkan semuanya itu, kita patut sedar bahawa asal Segenting Kra itu ialah sebahagian Semenanjung Tanah Melayu. Dari situ membawa ke selatan bumi Melayu.

Jadi tidaklah mengejutkan apabila disebut Thailand Selatan, ia merujuk kepada bahagian Thailand yang berpenduduk Melayu.

Nama-nama tempat seperti Phuket adalah pelat daripada Bukit, Songkhla dari Senggora, Surat Tani memberikan maksudnya tersendiri. Nama Melayu pun ditukar kepada nama Thai.

Seorang sahabat saya, bekas Menteri Luar Thailand dan mantan Setiausaha Agong ASEAN, Arwah Dr. Surin, ialah seorang Melayu. Nama asalnya ialah Shamsudin. Adik perempuannya pernah belajar di Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Sejarah mencatatkan kemasukan bumi Melayu ke Thailand adalah hasil permainan politik British dan Perancis di rantau ini.

Ia mengiktiraf kekuatan Thailand berasaskan pada amalan sesetengah Raja-Raja Melayu menghantar bunga emas dan perak kepada Raja Siam sebagai tanda naungan.

Menjelang abad ke 20, kira-kira 100 tahun dahulu, Thailand menyerahkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kepada British. Sebagai balasannya, British bersetuju tidak merodok Thailand dari Malaya.

Sebahagian bumi Thai pula diserahkan kepada Burma untuk memastikan British tidak memerangi Thailand.

Perancis bersetuju tidak melangkau ke barat Sungai Mekong, hanya bertumpu pada Vietnam, Kemboja dan Laos tanpa gangguan dari Thailand.

Amat menarik sekali Raja Chulalongkorn melawat Kelantan ketika di bawah Sultan Mohamad ke lV pada tahun 1909.

Raja Thai itu bersama-sama dengan beberapa orang puteranya berpakaian cara Inggeris genap. Maklumlah beliau pernah diasuh oleh Anna seperti dalam filem King and I dan Anna and the King of Siam.

Raja Siam itu berkunjung dan mendapat simpati Raja (Tsar) Russia agar Queen Victoria di England, nenek permaisurinya, memastikan British di Malaya tidak mengganggu-gugat selatan Thailand.

Itu sebabnya beberapa buah negeri Melayu diserahkan kepada British sedangkan yang lain-lain dipegang hingga sekarang.

Sebab tidak jadinya lagi terusan di Segenting Kra itu dikatakan Thailand bimbang kalau-kalau ia menjadi sempadan fizikal yang nyata antara Thailand dengan Semenanjung Tanah Melayu. Wallahualam.

TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas Ahli Kabinet dan Presiden Senat.