Si ibu rupanya tidak menyusukan anak dengan susu badan kerana bekerja. Dia mengakui suaminya seorang penagih dadah dan tidak dapat memberikan nafkah anak-beranak. Suami juga kerap meminta wang daripada­nya, yang akhirnya memaksanya bekerja. Anak itu terpaksa dihantar ke penjaga, de­ngan bekalan susu krimer pekat manis, apabila susu formula biasa sudah habis.

Sebelum dia dan bayinya menaiki ambulans ke hospital, penulis bergegas ke kedai runcit di hadapan klinik bagi membeli setin susu formula dan diberikan kepadanya. Penulis tahu ia tidak mencukupi, dan keadaan akan kembali seperti asal sebaik dia dan bayi keluar dari hospital nanti, tetapi itulah yang termampu yang penulis lakukan sebagai seorang doktor yang baru di tahun kedua perkhidmatan ketika itu.

Oleh kerana itulah, ketika diundang sebagai salah seorang ahli panel Forum Seminar Antarabangsa Pencegahan Penyalahgunaan Dadah 2016 anjuran Pusat Penyelidikan Dalam Pe­nyalahgunaan Dadah Asia dan Mahasiswa Sarjana Kaunseling Penyalahgunaan Dadah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini, penulis mengulangi pendirian bahawa perang ke atas gejala penagihan dadah ini, baik dari sudut pencegahan, ­rawatan dan pemulihan perlu secara berterusan dan dalam skala yang lebih besar.

Pengharaman sebarang bahan yang mempunyai elemen ketagihan perlu sentiasa disokong semua pihak, walaupun ada gesaan untuk dilonggarkan pengharaman ini demi manfaat pengko­mersialan. Impak dadah ke atas faktor sosial, kesihatan penagih dan kesihatan keluarga penagih seperti yang penulis gambarkan di awal artikel ini, tidak dapat diukur dengan timbal-balik keuntungan dari pengkomersialan bahan-bahan ketagihan ini.

Dadah yang disalahgunakan secara umumnya terbahagi kepada opiate seperti opium, heroin, morfin, kodein; stimulant (dadah perangsang) seperti amphetamine (pil kuda, yaba), methamphetamine (syabu, ice), pil ekstasi; depressant (dadah penenang) seperti dormicum, valium, eramin 5; hallucinogen (dadah pengkha­yal) seperti LSD, ketamin dan marijuana (kanabis) seperti ganja.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan mendedahkan keputusan satu kajian yang melibatkan 35,755 responden merangkumi pelajar tingkatan satu hingga enam yang mendapati 1,457 daripada mereka mengambil dadah.

Sebanyak 74 peratus daripada mereka yang terlibat mengambil methamhetamine, 20 peratus kanabis dan selebihnya dadah jenis lain.

Pelajar tingkatan lima menca­tat peratusan tertinggi pengambilan dadah iaitu 40.6 peratus, diikuti tingkatan empat (32.5 peratus), tingkatan tiga (19.8 peratus), tingkatan dua (5.4 peratus) dan tingkatan satu (0.08 peratus).

Trend pengambilan dadah dalam kalangan pelajar ini membimbangkan kita. Kajian menunjukkan remaja mengambil dadah stimulant ini akibat faktor dalaman dan faktor luaran.

Bagi faktor dalaman, remaja mengambilnya kerana ingin menghilangkan masalah dan rasa kebosanan. Oleh itu, pen­ting bagi ibu bapa untuk menjadi tempat anak-anak merujuk permasalahan mereka dan mende­ngar luahan rasa remaja. Ibu bapa mesti meluangkan masa untuk anak-anak walau sesibuk mana pun mereka.

Meluangkan masa tidak semestinya memerlukan percutian keluarga yang mahal. Memadai memastikan ada aktiviti bersama keluarga walaupun hanya di rumah, agar anak-anak rasa diberi perhatian.

Remaja juga mengambil dadah kerana ingin tahu, tekanan rakan sebaya di mana mereka tidak berani mengatakan tidak kepada pelawaan rakan, tidak menge­tahui bahaya dadah dan terpe­ngaruh dengan rakan-rakan yang mengatakan dadah boleh memberi faedah seperti dapat menurunkan berat badan, bertenaga, lebih berkeyakinan dan sebagai­nya.

Oleh itu, ibu bapa harus menekankan aspek jati diri dengan memperkasakan anak-anak anda dari sudut membentuk mereka kuat dan yakin mempertahankan pendapat bila berhadapan de­ngan tekanan rakan-rakan.

Faktor luar adalah faktor persekitaran, tekanan daripada drug pushers atau pengedar dadah juga keldai dadah. Ibu bapa perlu mengawasi dengan siapa anak-anak kita berkawan.

Selain itu, dadah kini dijual dalam bentuk yang sama seperti ubat-ubatan lain dalam bentuk pil. Sebagai contoh dadah dalam kumpulan methylenedioxyamphetamine atau MDMA, lebih dikenali dengan nama ecstasy (pil ekstasi), MDM, XTC, E’s, ease, X, XTC, eccies, love drugs, hug drug, dan disco biscuits adalah lebih kuat daripada bahan kimia induknya iaitu methamphetamine.

Tidak lama dahulu ada beberapa pihak mencadangkan agar status pengharaman ganja di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dipinda. Ganja atau marijuana daripada tumbuhan cannabis sativa dikatakan sebagai penghilang tekanan dan mempunyai khasiat perubatan. Beberapa contoh negara Eropah se­perti Belanda yang membenarkan penggunaan ganja sebagai dadah rekreasi dijadikan contoh dalam menyokong gesaan ini. Penulis yang pernah ke Belanda melihat bagaimana cannabis (weed, hash dan marijuana) dijual secara terbuka di kedai kopi berlesen, bahkan tema ganja dijadikan barangan cenderahati seperti rantai kunci, cawan dan t-shirt.

Begitu juga dengan ketum, di mana timbul isu mengenai potensi untuk dikomersialkan dan dijual ke negara-negara maju sebagai ubat-ubatan. Pokok ketum, juga dikenali sebagai Kratom dalam sains herba. Ia tidak tersenarai dalam Akta Dadah Berbahaya namun penjualan atau pembelian air ketum boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, dengan denda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketum, walaupun dikatakan mempunyai khasiat tradisional memulihkan tenaga, namun se­jak akhir-akhir ini dilaporkan berlaku penjualan air ketum berle­luasa yang menyebabkan ketagihan kepada remaja dan pelajar, ter­utamanya di bahagian utara ta­nah air.

Kajian Darshan Singh dan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Dadah, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2014 menunjukkan lebih 50 peratus daripada 293 res­ponden kajian yang mengambil air ketum secara konsisten lebih dari enam bulan menunjukkan ketagihan serius. Mereka ­melaporkan tanda-tanda withdrawal fizikal apabila berhenti mengambil air ketum seperti demam, kejang dan kesakitan otot, susah tidur, mata dan hidung berair, kurang selera makan dan cirit birit. Tanda withdrawal psikologi ialah tidak keruan, tertekan dan mudah marah serta gementar. Ini menunjukkan air ketum mempunyai kesan ­ketagihan.

Peranan masyarakat adalah amat penting dalam memberi mesej kepada pihak pembuat dasar bahawa kita menolak elemen yang akan memudaratkan anak bangsa, walaupun terdapat unsur keuntungan di sudut ekonomi. Episod si ibu memberi bayi susu krimer pekat manis, kerana suami penagih, biarlah tidak berulang lagi!

PROFESOR MADYA DR. ­RAFIDAH HANIM MOKHTAR ialah Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.