Kawasan ini menjadi tanggungjawab penuh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam menentukan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan perairan itu terjamin. Selain Laut China Selatan, Selat Melaka dan Laut Sulu di Pantai Timur Sabah tidak kurang pentingnya dari sudut geostrategik negara.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia yang menginjak usia 12 tahun pada tahun ini pastinya mempunyai banyak cabaran dan isu perlu ditangani bagi memastikan visi, misi dan objektif agensi tersebut terlaksana.
Ke arah itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, DATUK SERI AHMAD PUZI AB. KAHAR memberitahu wartawan Utusan Malaysia, SOFIAN BAHAROM bahawa agensi tersebut akan terus menongkah cabaran mendatang dalam usaha menjamin perairan negara selamat daripada diganggu gugat sebarang ancaman.

 

UTUSAN: Bagaimana Datuk Seri melihat perkembangan peranan Maritim Malaysia kini berbanding dahulu?

AHMAD PUZI: Peranan Ma­ritim Malaysia tidak terhad kepada perairan negara sahaja, ia merangkumi tugas-tugas mendaulatkan undang-undang antarabangsa yang menentukan keharmonian dan kesejahteraan aktiviti maritim seluruh dunia. Sebagai Ketua Pengarah, saya bersyukur kerana tahun ini kita berjaya mengekalkan indeks jenayah maritim di bawah tiga peratus berturut-turut. Ini satu pencapaian yang membanggakan.

Hal ini kerana pada 10 tahun lalu, indeks tersebut yang antaranya merangkumi perompakan, perlanunan, penyeludupan manusia dan pencerobohan nelayan asing pada peringkat awal adalah 48.08 peratus.

Kecemerlangan itu menarik minat masyarakat dunia lain untuk mendekati kita dengan dijemput ke persidangan-persidangan antarabangsa seperti Persidangan Ketua-ketua Polis Dunia di Chicago, Amerika Syarikat untuk berkongsi pengalaman.

Bagaimana persepsi masya­rakat antarabangsa terhadap Maritim Malaysia yang baru menginjak 12 tahun?

Pada pandangan mereka, kita adalah agensi yang boleh dicontohi kerana penubuhan kita bukan sahaja dilihat ekonomikal tetapi juga berkesan dalam menangani pertindihan-pertindihan tugas di lapangan. Walaupun umum mengetahui Maritim Malaysia hanya berusia 12 tahun, tetapi kewujudan kita ini adalah satu penggemblengan pe­ngalaman tidak kurang 10 agensi ­kerajaan lain yang secara keseluruhan berusia lebih 500 tahun.

Sememangnya kita bermula dengan serba sederhana dari segi keanggotaan dan aset tetapi selepas fasa 12 tahun ini, kita telah berkembang pesat. Maritim Malaysia juga berjaya mewujudkan Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di Kuantan, Pahang yang merupakan akademi pengawal pantai kedua terbesar di dunia.

Di akademi tersebut, banyak negara menghantar pegawai mereka bukan sahaja dari rantau ASEAN tetapi juga negara-negara Asia, Afrika dan Asia Barat selain memperoleh pembangunan kapasiti menerusi perkongsian kepakaran daripada penglibatan jurulatih dari AS, Jepun, Australia dan United Kingdom (UK).

Dari segi penguatkuasaan, apa yang dilakukan Maritim Malaysia ketika ini dalam menjamin keselamatan perairan negara dan memberi manfaat kepada rakyat?

Kita boleh lihat bahawa Selat Melaka sifar kegiatan perlanunan sejak 2010. Sehingga kini, kita dapat mematahkan cubaan-cubaan mengganggu gugat kapal-kapal di perairan itu selain di Laut China Selatan. Ini menunjukkan bahawa kerjasama kukuh antara negara dan negara-negara jiran yang dilaksanakan ketika ini adalah efektif dalam menangani ­kegiatan jenayah.

Selain itu, hubungan baik kita dengan negara-negara jiran telah dibuktikan dengan pemberian ekstradisi perompak kapal MT Orkim Harmony dari Hanoi, ­Vietnam walaupun perjanjian seumpama itu tidak pernah wujud antara kedua-dua negara.

Kita juga selama ini telah melucut hak sebanyak 960 bot nelayan asing serta banyak lagi bot yang telah dilelong. Semua ini berjaya meraih kira-kira RM300 juta. Sebanyak 196 tukun juga telah diwujudkan daripada kapal-kapal ini menyebabkan kadar tangkapan ikan meningkat sekali ganda berbanding 10 tahun lalu. Menerusi langkah ini juga, kita dapat menarik lebih banyak pelancong asing ke negara ini dengan ada­nya aktiviti-aktiviti seperti sukan meman­cing dan aktiviti air.

Bagaimana dengan penguatkuasaan terhadap pendatang asing­ tanpa izin (PATI)?

Maritim Malaysia juga berjaya menangani lebih 700 kes PATI melibatkan penahanan kira-kira 5,542 orang. Harta benda yang dapat diselamatkan adalah sebanyak RM527 juta dan nyawa yang diselamatkan adalah seba­nyak 3,658 orang.

Antara elemen terpenting dalam penguatkuasaan adalah aset. Apakah perkembangan inventori aset Maritim Malaysia?

Dalam perancangan kita untuk menempuhi cabaran yang getir pada masa depan, kerajaan sebelum ini memutuskan untuk membina enam buah kapal generasi baharu yang kita akan terima dua daripadanya pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA'17).

Negara-negara lain turut menyumbang kepada inventori aset kita sebelum ini dengan penerimaan tiga buah kapal dari Jepun, dua kapal serta lima bot dari Australia, dua dari Kanada serta beberapa daripada pihak swasta.

Pemberian ini adalah kerana sumbangan kita di Selat Melaka yang menjadi laluan dunia yang menghubungi Lautan Pasifik dan Hindi serta Laut Arab. Laluan ini selamat dan tidak diganggu. Jumlah kapal yang melalui Selat Melaka kini lebih 70,000 setahun dan dijangka meningkatkan 100,000 setahun pada masa depan.

Bagi mengukuhkan operasi, kerajaan juga bersetuju untuk memperuntukkan tiga radar lagi di antara Kudat dan Sandakan di Sabah. Kita juga akan ­meningkatkan keupayaan cawang­an udara di Sabah bagi menangani ancaman-ancaman terutama di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Bagaimana Datuk Seri melihat motivasi warga Maritim Malaysia dalam mendepani cabaran yang mendatang?

Salah satu cabaran besar kita adalah untuk memperbaiki pencapaian yang telah dicapai kini terutama dari segi penambahan sumber manusia.

Alhamdulillah, kita berjaya menangani cabaran-cabaran yang kita tempuhi setakat ini. Saya nampak anggota kita telah ­menunjukkan komitmen tinggi dalam tugasan yang diamanahkan kepada mereka.

Buktinya, pada tahun lepas sahaja kita telah menjalankan lebih 34,000 pemeriksaan di seluruh perairan negara dalam memastikan sebarang ancaman atau potensi-potensi berkaitan dineutralkan.