KELIHATAN beberapa tebusan berjaya merangkak keluar semasa diselamatkan oleh pasukan keselamatan Peru.

Antara tetamunya termasuklah Duta Malaysia ke Peru, Datuk Ahmad Mokhtar Selat. Pada awalnya perjalanan majlis itu bergerak dengan lancar, para tetamu sambil menikmati hidangan turut bertukar-tukar pendapat mengenai isu-isu semasa termasuk politik dunia. Para pelayan yang semestinya tidak disangsikan latar belakang mereka tekun menjalankan tugasan masing-masing. Suasana tenang tetapi meriah.

Di luar kediaman rasmi itu, politik Peru sebenarnya sedang hangat. Militan Pergerakan Revolusi Tupac Amaru (MRTA) sema­kin terdesak kerana perjuangan politik bersenjata mereka menemui jalan buntu, malah ramai juga dalam kalangan anggota mereka yang terpaksa merengkok dalam penjara.

Kembali kepada majlis resepsi itu, tepat pukul 8.15 malam, majlis yang tenang pada mulanya itu bertukar menjadi sebaliknya. Mi­litan MRTA yang menyamar sebagai pelayan mengebom kediaman itu menyebabkan ramai panik dan terkepung. Mereka gagal lari keluar kerana tembok rumah itu tinggi dan teguh seolah-olah se­perti penjara.

Kumpulan militan yang terde­sak untuk mendapat perhatian dunia itu menjadikan tetamu majlis resepsi itu sebagai pertukaran kepada rakan-rakan mereka dalam penjara. Kesemua tebusan tidak mengetahui untung nasib masing-masing, entah hidup atau mati - nyawa diibaratkan seperti telur di hujung tanduk.

Namun selepas 11 hari, iaitu selepas beberapa siri rundingan, Ahmad Mokhtar, anak kelahiran Jemapoh, Negeri Sembilan dan mangsa-mangsa tebusan lain dibebaskan. Tepat pukul 5 petang, 28 Disember 1996, beliau keluar sebagai manusia bebas yang turut membawa bersamanya kenang­an yang begitu melekat dalam ingatan dan terlalu sukar untuk dilupakan.

Pengalaman bernilai kemudiannya telah diceritakan semula oleh beliau di dalam bukunya yang bertajuk ‘Tebusan Tupac Amaru: Pengalaman Duta Malaysia di Peru’. Setelah menamatkan per­khidmatan dengan Wisma Putra sejak Februari 2006, beliau menjadi pensyarah dalam bidang hubungan antarabangsa di Jabatan Pe­ngajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM).

Setiap manusia mempunyai ragamnya yang tersendiri, mungkin sesetengahnya amat berpuas hati apabila mampu mengira dan mengumpul kekayaan yang di­pe­r­oleh, ada yang juga yang suka menambah koleksi barangan antik atau berjenama. Bagi Ahmad Mokhtar, kepuasan utamanya ialah dengan membaca pelbagai genre buku dan menjadikannya sebagai koleksi paling disayangi.

Percaya atau tidak, semasa menjadi tebusan MRTA itu beliau sempat membaca sebanyak 30 buku dan semasa dibebaskan selepas 11 hari itu, beliau sedang tekun menelaah buku ekonomi yang dipinjamkan oleh Duta Jepun. Bagi beliau, membaca menjadikannya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Secara kebetulan­nya, antara topik yang diminati­nya ialah mengenai keganasan dan cara berhadapan dengan krisis-krisis tidak diduga.

Memetik wawancara beliau dengan Mingguan Malaysia pada 10 Jun 2007, Ahmad Mokhtar menceritakan secara panjang le­bar pengalamannya menjadi tebusan dan mengenai hobinya membaca serta mengumpul buku, sama ada yang baru atau antik.

“Saya mempunyai lebih daripada 3,000 naskhah buku, ada yang masih dalam simpanan saya, terutama yang bersangkutan de­ngan disiplin hubungan antarabangsa. Ada yang disimpan oleh anak-anak saya, yang rata-rata minat membaca.

“Jenis buku, macam-macam - dari yang akademik dan teoritikal kepada biografi dan sajak-sajak protes. Saya peminat Chairil Anwar. Buku lama beliau masih saya simpan sampai sekarang. Ada yang tidak tahu, saya menulis sajak pertama pun mengambil ilham sajak Chairil. Tajuknya, ‘Aku Juga Manusia’, sajak itu sajak protes tentunya.

“Semasa di bangku sekolah, saya suka membaca biografi. Ia memberi semangat untuk maju. Semua buku dalam koleksi saya sayang. Saya berasa amat puas walaupun dengan melihatnya saja,” katanya.

Kini semuanya menjadi sejarah. Insiden menjadi tebusan yang turut menarik perhatian dunia itu kekal dalam ingatan. Malam kelmarin, kira-kira pukul 7.30 malam, Ahmad Mokhtar, 66, menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur akibat penyakit kanser.

Jenazah Allahyarham disem­bahyangkan di Masjid Al Ehsan, Kelana Jaya, Selangor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 8, Kota Damansara, Selangor pada pukul 11 pagi semalam.