Jumlah itu mewakili 82.32 peratus daripada 14,940,624 pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau hanya kira-kira 38 peratus daripada keseluruhan 32.2 juta rakyat Malaysia.

Boleh dikatakan majoriti pengundi adalah dalam kala­ngan tenaga kerja yang berdepan kesan secara langsung terhadap sebarang keputusan, polisi mahupun pendirian kerajaan di peringkat negeri mahupun pusat.

Saya harap golongan pekerja sektor awam dan swasta di negara ini terus dibela kepimpinan baharu negara.

Untuk itu, suka saya kupas kembali beberapa janji utama yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad, khususnya melibatkan golongan pekerja.

Janji untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan mengurang kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat adalah janji umum kepada seluruh warga Malaysia tidak kira majikan, usahawan, pekerja, penganggur, pelajar dan sebagainya.

Memang wajar janji ini menjadi perkara pertama dilaksanakan memandangkan aspek kos sara hidup menjejaskan semua peringkat, lebih-lebih lagi golongan pekerja berpendapatan rendah.

Saya harap Perdana Menteri dan menteri berwajib turut mengambil maklum bahawa berlaku peningkatan harga yang mendadak menjelang hari mengundi pada 9 Mei lalu, bukan sahaja untuk barang basah malah banyak kedai dan restoran makanan yang mengambil kesempatan menaikkan harga lebih 10 peratus.

Ini membawa kepada janji kedua iaitu menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar memandangkan harga petrol kerap digunakan sebagai alasan peniaga menaikkan harga.

Kenaikan harga minyak juga memberi kesan kepada kos harian pekerja khususnya yang perlu banyak berge­rak, menyebabkan begitu ramai rakyat Malaysia beralih kembali menggunakan motosikal bagi menjimatkan per­belanjaan.

Janji untuk menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum sesuatu yang sangat besar maknanya kepada golongan berpendapatan rendah.

Pemimpin negara dan negeri perlu faham mereka yang berpendapatan rendah ini bukan sahaja disebabkan tiada pendidikan tinggi malah orang kurang upaya (OKU) mahupun mereka yang berpendidikan tetapi tiada pilihan dan peluang kerja dalam bidang mereka, khususnya pekerja wanita.

Disebabkan itu, saya sangat menyokong janji untuk memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah kerana golongan wanita ini kadangkala bekerja lebih keras daripada golo­ngan profesional.

Namun, saya kurang menyokong janji untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua pe­minjam bergaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

Gaji RM4,000 untuk graduan baharu sangat tidak realistik dalam situasi semasa, mungkin dalam tempoh lima ke 10 tahun lebih sesuai, mengambil kira peningkatan gaji minimum. Mungkin kadar antara RM2,500 hingga RM3,000, mengikut sektor kerja, lebih sesuai buat masa ini.

Saya juga tiada masalah dengan rancangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji serta merombak semula struktur kepimpinan mereka di samping melancarkan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.

Jika tiada kepincangan maka tidak perlu ada rasa gentar asalkan nasib golongan pekerja tempatan dalam organisasi atau projek tersebut dibela sementara institusi Melayu dan Islam tidak digugat.

Mungkin ada yang masih terkedu dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 tetapi beri masa kepada kerajaan dan kepimpinan baharu melaksanakan tugas. Buat masa ini tunggu dan lihat serta berdoa agar nasib pekerja terus terbela.