“Tidak dinafikan gaji yang diterima sangat lumayan, selain banyak kemudahan disediakan kepada kami.

“Anggaran gaji kira-kira RM10,000 mengikut pangkat diberikan termasuk kemudahan penginapan dan pengangkutan pekerja.

“Selain itu, tiket penerbangan pergi dan balik ke Malaysia ditanggung majikan serta kos perubatan disediakan. Selain itu, kami hanya perlu bekerja selama 15 hari dalam sebulan,” katanya ketika dihubungi S2.

Fatin Nabila yang sebelum ini pernah bertugas di dua buah hospital swasta di Selangor memberitahu, tawaran gaji dan kemudahan yang disediakan menariknya untuk menimba pengalaman di luar negara.

“Saya juga mempunyai impian bekerja di beberapa negara lain untuk mendapat pengalaman. Jadi, saya mahu menimba pengalaman di Riyadh dahulu untuk tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Jelasnya, selain dapat membantu mengukuhkan kewangan keluarga, Fatin Nabila turut menyimpan gaji bagi keperluan akan datang.

“Saya mampu menyelesaikan hutang belajar dahulu dan mengirim wang kepada keluarga di Malaysia. Saya juga menggunakan duit gaji secara berhemah kerana risau berlaku perkara yang tidak diingini kelak,” katanya yang sudah kira-kira tiga tahun bekerja di sana.

Selain itu, dia juga berpeluang menunaikan umrah kerana tinggal berdekatan iaitu Riyadh ke Jeddah dengan menaiki kereta atau bas hanya mengambil masa lapan hingga sembilan jam manakala jika menaiki kapal terbang hanya satu jam 45 minit sahaja.