Namun begitu, ada anak generasi pertama rakyat Malaysia masih juga dikira sebagai generasi pertama. Ini berlaku apabila bapa dan anak masing-masing menjadi rakyat Malaysia ketika negara ini ditubuhkan pada 16 September 1963.

Seperti penulis ini sendiri. Ketika Malaysia ditubuhkan, usia penulis adalah empat tahun. Maka penulis menjadi rakyat Malaysia ketika berusia empat tahun. Sebelum itu penulis adalah rakyat Tanah Melayu, atau dalam bahasa Inggerisnya Malaya.

Begitu juga dengan bapa penulis yang juga rakyat Tanah Melayu sebelum Malaysia ditubuhkan. Pada 16 September 1963, semua rakyat Tanah Melayu menjadi rakyat Malaysia.

Maka kedua-dua bapa penulis dan anaknya menjadi rakyat Malaysia generasi pertama.

Selain rakyat Tanah Melayu yang berubah menjadi rakyat Malaysia pada 16 September 1963, rakyat Britain yang menetap di Singapura, Sarawak dan Sabah pada tarikh itu turut menjadi rakyat Malaysia.

Di sini wajar dijelaskan mengenai istilah rakyat supaya tidak berlaku kekeliruan dalam tulisan ini apabila dibandingkan dengan penggunaan biasa.

Umumnya orang menggunakan istilah rakyat dan warga negara dalam maksud yang sama. Apabila diterjemahkan ke bahasa Inggeris, maka rakyat menjadi subject dan people sementara warga negara ialah citizen. Tetapi people juga bermakna orang. Dengan itu ia boleh mengelirukan.

Sebelum wujudnya negara moden, rakyat dirujuk sebagai orang ramai yang diperintah oleh raja. Jika ada raja, mestilah ada rakyat. Maka begitulah sebaliknya.

Jadi, negara yang tidak mempunyai raja, penduduknya tidak patut dipanggil rakyat. Istilah yang digunakan oleh mereka ialah warga negara. Iaitu warga kepada negara. Dalam bahasa Inggeris mereka disebut citizen.

Konsep ini mula jelas digunakan semasa Revolusi Perancis yang mengubah negaranya daripada sistem beraja kepada republik. Oleh kerana tidak ada raja, maka rakyatnya disebut citizen atau warga negara.

Apabila kemudian dunia sudah menggunakan sistem Demokrasi Berparlimen dan sebahagiannya Raja Berperlembagaan, maka istilah rakyat dan warga negara dipakai secara sama erti.

Taraf

Sedangkan ada masanya rakyat sesebuah negara beraja tidak mempunyai taraf warga negara. Ini kerana penduduk tanah-tanah jajahan adalah rakyat tetapi bukan warga negara penjajah.

Oleh kerana Britain ialah sebuah negara beraja, maka ia mempunyai rakyat. Termasuk yang menjadi rakyatnya ketika negara itu adalah penjajah adalah penduduk tanah-tanah jajahannya, walaupun mereka tidak bertaraf warga negara.

Menjelang penubuhan Malaysia pada tahun 16 September 1963, penduduk Singapura, sarawak dan Sabah adalah rakyat Britain kerana raja bagi wilayah-wilayah ini ialah Queen Elizabeth II walaupun mereka bukan warga negara Britain.

Di Tanah Melayu, warganegaranya adalah rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja masing-masing mengikut peringkat negeri dan persekutuan. Perkataan rakyat dan bukannya warganegara sesuai digunakan kerana Tanah Melayu mempunyai raja. Apabila Malaysia ditubuhkan, penduduk Singapura, Sarawak dan Sabah berubah daripada menjadi rakyat Queen Elizabeth II kepada rakyat Yang di-Pertuan Agong.

Tetapi apabila Singapura dikeluarkan daripada Malaysia, penduduknya tidak lagi menjadi rakyat Yang di-Pertuan Agong, mereka berubah menjadi warganegara republik itu. Istilah yang sesuai adalah warganegara kerana negara itu tidak mempunyai raja. Ketua negaranya adalah Presiden. Presiden tidak mempunyai rakyat. Yang ada hanyalah warga negara.

Rakyat Tanah Melayu ada di muka bumi hanya enam tahun iaitu dari 31 Ogos 1957 hingga 15 September 1963. Selepas itu mereka menjadi rakyat Malaysia.

Sebelum Perang Dunia Kedua, penduduk Negeri-negeri Selat adalah rakyat kepada raja Britain.

Sementara penduduk negeri-negeri Melayu adalah rakyat kepada raja mengikut negeri masing-masing. Masa itu belum ada Yang di-Pertuan Agong sebagai mewakili raja-raja Melayu di peringkat persekutuan.

Di Sarawak, pada masa itu, penduduknya adalah rakyat kepada Raja Brooke. Sementara Borneo Utara adalah tanah jajahan di bawah raja Britain.

Masa zaman pendudukan Jepun, semuanya menjadi rakyat Maharaja Hirohito sebagai anak-anak jajahannya.

Ketika Malayan Union, semua penduduknya menjadi rakyat kepada Britain dan kedudukan pulih bagi penduduk negeri-negeri Melayu sebagai rakyat kepada raja masing-masing berlaku apabila ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada 1955.

Pada tahun itu juga telah diadakan Pilihan Raya Umum Pertama. Pilihan raya kedua diadakan pada 1959 iaitu selepas merdeka, maka dinamakannya sebagai pilihan raya pertama.

Namun pilihan raya pertama setelah Malaysia ditubuhkan ialah pada 1964. Jika dikira Malaysia, maka pilihan raya tahun ini ialah yang ke-12, bukan 13.

Dalam Pilihan Raya 2008, buat pertama kali anak penulis mengundi. Adiknya akan mengundi buat pertama kalinya tahun ini. Mereka adalah generasi kedua Malaysia.

Generasi pertama berusaha memberikan yang terbaik kepada mereka. Tetapi terpulanglah kepada mereka menentukan masa depan sendiri.

Separuh abad telah mengubah dunia.