Namun penternak lembu tempatan hanya mampu menyediakan bekalan sebanyak 2,000 ekor atau 20 peratus daripada jumlah keperluan setiap tahun.

Selebihnya sebanyak 8,000 ekor lembu atau 80 peratus daripada jumlah permintaan terpaksa diimport dari negara jiran terutama Thailand. Kerajaan mahu meningkatkan kadar itu kepada 30 ke 70 peratus tetapi sehingga kini penggiat industri terbabit masih gagal mencapainya.

Walaupun harga jualannya semakin meningkat, namun permintaan lembu tetap tinggi terutama ketika musim Hari Raya Aidiladha. Harga seekor lembu seberat 240 kilogram hanya RM2,800, kira-kira 10 tahun lalu.

Kini harganya meningkat kepada RM4,200 mengikut berat sama di samping RM4,800 seekor mengikut lembu yang mempunyai berat 260 kilogram dan berusia lebih dua tahun sejak empat tahun lalu.

Pada tahun lalu, penternak negara ini menjual seekor lembu kategori C seberat antara 170 hingga 200 kilogram dengan harga RM3,500; kategori B (201-230 kilogram) RM4,000; kategori A (31-270 kilogram) RM4,500 dan kategori AA (271-300 kilogram) RM5,000.

Permintaan lembu semakin meningkat setiap tahun terutama ketika keadaan ekonomi mantap, namun bekalan ternakan lembu pula semakin berkurangan. Sehubungan itu, bagi menampung kekurangan bekalan berkenaan, pembekal dan penternak lembu tempatan terpaksa mengimportnya dengan harga agak mahal disebabkan faktor tukaran ringgit terlalu rendah.

Kebanyakan penternak tidak mahu mengimport lembu dari Myanmar dan Kemboja kerana kos pengangkutan melalui jalan laut terlalu mahal. Sehubungan itu, Thailand mengimport lembu dari Myanmar dan Kemboja melalui jalan darat dengan kos lebih murah dan akhirnya menjual semula kepada penternak di negara ini menggunakan jalan darat di sempadan.

Secara tidak langsung kos pembelian penternak tempatan menjadi lebih mahal. Bagaimanapun, cara ini membolehkan penternak mengurangkan kos import berbanding membeli sendiri di Myanmar dan Kemboja melalui jalan laut. Pengimport tidak mampu membeli ternakan atau baka lembu dari Vietnam kerana harganya terlalu mahal.

Permintaan tinggi lembu dari Indonesia dan Filipina menyebabkan harga eksport lembu Australia di negara-negara ASEAN lain turut menjadi lebih mahal selain menghadapi masalah tukaran wang asing di sana.

Penulis bersetuju dengan usaha kerajaan mahu menggalakkan petani mengusahakan ternakan lembu di negara ini.

Ia bagi mengurangkan kadar jumlah import lembu dan menyekat pengaliran wang ke luar negara di samping dapat mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar di negara ini.

Namun begitu, pengusaha mesti diberi latihan secukup­nya tentang penjagaan kesihatan dan proses menggemukkan haiwan berkenaan sebelum dijual di pasaran.

DATUK DR. AZMI ABDUL MALEK ialah perunding media dan penyelidikan sains politik tanah air.