Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melorongkan bola itu walaupun dalam keadaan terluka tetapi tetap mahu membawa timbalannya itu mengharungi cabaran dalam satu pasukan.

Di depan khalayak beliau secara terbuka menyatakan “I am a gentleman, apa-apa kekusutan pun, marilah berjumpa, duduk berbincang, kita selesaikan melalui saluran yang betul.”

Tetapi malangnya apa yang diharapkan para pembahas, perwakilan dan orang UMNO bahkan rakyat umumnya tidak menjadi kenyataan.

Yang diharap biduk lalu, kiambang bertaut rupanya hanya mimpi. Yang diharap berkelahi di hujung, berbaik di pangkal batang tidak menjadi nyata.

Tiada aksi saling berpelukan di pentas perhimpunan ini walaupun Najib telah menghulurkan silaturahim seluas-luasnya.

Tiada kata maaf-memaafkan walaupun Najib telah membuka pintu jendela supaya seterunya kembali bersatu, bersama saf yang dipimpinnya.

Orang begitu mengharap kedua-dua pemimpin itu bersama semula sehinggakan pembahas dari Perak, Senator Datuk Hamzah Mohd. Kassim yang cuba mengungkit cerita buruk Muhyiddin 'diboo’ oleh perwakilan.

Terdahulu, semasa Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri kedatangan Muhyiddin juga disambut mesra dan penuh adab. Begitulah orang Melayu.

Tiada cemuhan walaupun malam sebelumnya, di luar pentas UMNO, Muhyiddin berperilaku songsang dengan semangat perhimpunan.

Begitu sekali sayangnya mereka kepada hubungan antara Najib–Muhyiddin walaupun pemimpin setinggi itu wajib mengurus emosi dengan sebaik-baik mungkin.

Begitu sekali kasihnya mereka kepada kedua-dua pemimpin itu walaupun pemimpin setingkat itu seharusnya tidak mudah digoda amarah.

Seruan, rayuan, pujukan atau apa sahaja yang boleh menautkan semula dua pemimpin tertinggi itu kedengaran di segenap sudut, di dalam mahupun di luar dewan perhimpunan.

Pertemuan secara terbuka dan sulit diatur tetapi jawapannya tidak seperti diharapkan.

Nyatanya, bersaksikan pentas Perhimpunan Agung UMNO 2015, hubungan yang didambakan itu terlerai jua. Perhimpunan kali ini menjadi saksi bahawa Muhyiddin kian menjauh daripada UMNO.

Sindiran daripada Facebook beliau: “Pemimpin yang wajib ditaati ialah pemimpin yang taat kepada Allah, amanah, jujur, berintegriti dan bersih serta menjauhi perkara-perkara mungkar," menterbalikkan suasana.

Kepada banyak orang, sukar untuk meninggalkan Muhyiddin yang sudah sebati dalam perjuangan UMNO. Tetapi, perjuangan perlu diteruskan. Bahtera harus terus meluncur menuju pelabuhan kesejahteraan.

Sayanglah, perhimpunan kali ini, dua setengah tahun menjelang pilihan raya umum dibayangi dengan isu dalaman.

Perpecahan dalam kalangan pemimpin sedikit sebanyak telah menjejaskan kerja baik dan prestasi UMNO dan kerajaan yang dipimpin parti ini.

Parti ini bukan milik ahli UMNO semata-mata. Parti ini tempat orang Melayu dan bumiputera bergantung nasib. Parti ini malah menjadi tunjang pemerintahan negara.

Sebab itu, parti ini tidak boleh hanya bercakap untuk pihak UMNO sahaja tetapi umat Melayu dan rakyat lainnya.

UMNO banyak musuh tetapi semua parti mahu menjadi seperti UMNO. Dulu, Pas beria-ia mahu menjadi seperti UMNO dalam Pakatan Rakyat. Pas gagal mencapai cita-citanya itu bahkan kini terpelanting dihalau DAP. Hal yang demikian kerana DAP tidak akan merelakan Pas menjadi dominan dalam pakatan yang dinobat alternatif kepada gabungan BN.

Kini, DAP pula mahu dominan ala UMNO dalam Pakatan Harapan. Hasrat itu nyata telah dicapai kerana PKR dan Amanah, tidak lebih hanya pelengkap nafsu DAP. Tanpa hadangan Pas, DAP boleh berbuat apa sahaja.

Realitinya, seperti ditegaskan oleh Najib, rakyat Malaysia hanya mempunyai dua pilihan. BN, yang ditunjangi UMNO atau Pakatan Harapan, yang dikuasai oleh DAP.

Ternyata, sejarah mencatat apa juga gabungan yang cuba dibangunkan oleh parti-parti lain kecundang sebelum waktunya.

Tentu sekali, ada sebab mengapa BN yang ditunjangi UMNO itu masih kekal manakala gabungan parti lain tersungkur di tengah jalan.

Sebenarnya, di sebalik bayangan isu perpecahan yang dikemudi Tun Dr. Mahathir Mohamad, perhimpunan umat Melayu terbesar ini tetap berjalan seperti kebiasaannya.

Irama dan ritma tetap konsisten. Isu-isu yang dibangkitkan tetap dekat di hati sanubari rakyat.

Ada jenaka dan ada sindiran. Ada teguran dan ada cadangan serta gagasan besar untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

Isu utama yang membelanggu rakyat – kos sara hidup dan ekonomi bumiputera diakhiri dengan ikrar Najib untuk memperbetulkan keadaan yang terhasil daripada legasi keputusan terdahulu.

Begitulah keramatnya UMNO ini. Inilah keistimewaan UMNO. Dihina, dicemuh dan dicurigai dari luar dan dalam tetapi hari ini, seperti selalunya parti ini dapat keluar daripada masalah yang membelenggu.

Selagi UMNO diutamakan, selagi asas perjuangan didahulukan, parti ini akan terus terpelihara daripada bencana dan kemusnahan.

Dan, hari ini, di pentas Dewan Merdeka dengan rela dan reda, Muhyiddin terpaksa UMNO tinggalkan jika terus-terusan mengambil sikap bertentangan. UMNO hanya perlukan satu nakhoda.

Dalam kepedihan, Muhyiddin dianggap 'musuh bersama’ jika terus mengabaikan salam perdamaian perhimpunan agung ini.

Terlepaslah beban UMNO. Terleraikan tanggungan Najib. Terhapuslah kesangsian ahli-ahli UMNO untuk terus bekerja meyakinkan rakyat.

Ternyata kebijaksanaan dan kewarasan masih mengakar dalam UMNO. Dalam sabar dan istiqamah, lahirlah negarawan bangsa di pentas UMNO ini.

Dan, akhirnya pihak yang menguasai padang juga yang menang. Di perhimpunan ini, UMNOlah pihak yang menang. Akhirnya, perpaduan mengalahkan perpecahan.

Kumpulan yang bersatu menewaskan kumpulan serpihan yang memilih untuk menentang arus.