Cerita sebenar tentang Mahdzir pula adalah, meja berkenaan yang disusun di pekarangan sekolah itu turut digunakan guru dan pelajar ketika mereka dipindahkan dari kenderaan ke dewan peperiksaan. Dengan kata lain, ia bukan disusun khas untuk ‘menyambut’ menteri berkenaan yang melawat calon-calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Demikian pantas maklumat beredar dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekarang. Sebab itu, Islam menganjurkan umatnya agar memeriksa (tabayyun) dahulu kesahihan sebarang maklumat sebelum ia ditularkan. (rujuk al-Hujurat ayat 6)

Dalam zaman majoriti rakyat memiliki telefon pintar, maklumat sebegini memang cepat tersebar dan disebarkan. Masalah timbul apabila maklumat tersebut tidak tepat dan tidak benar. Sebabnya, ia membawa kepada berleluasanya fitnah dan mengumpat ke atas orang lain.

Mengumpat adalah perbuatan mengeji atau mengutuk orang lain di luar pengetahuan orang tersebut. Fitnah pula adalah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada atau mengaitkan diri seseorang dengan sesuatu yang tidak benar. Ia terhasil daripada persepsi atau gambaran dan bukannya berdasarkan realiti.

Rasulullah SAW bersabda: Tahukah kamu apa itu memfitnah? Para sahabat berkata: Allah dan Rasulnya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Memfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (Muslim) ketika dia tidak ada dan yang dia tidak suka. Ditanya: Wahai Rasulullah jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang muslim, maka apa yang harus aku dikatakan? Baginda menjawab: Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat. (riwayat Muslim)

Yang dibimbangi, jika sudah berlaku kerosakan (damage), bagaimana kita mahu memohon kemaafan agar dosa tersebut tidak menjadikan kita muflis di akhirat kelak. Kalau berdosa dengan Allah, kita hanya perlu mohon ampun kepada-Nya, menyesali perbuatan itu dan berazam tidak mengulanginya. Ini dalam taubat nasuha.

Namun, apabila melibatkan dosa dengan manusia, syarat taubat itu ditambah satu lagi iaitu mendapat kemaafan daripada orang yang kita umpat atau fitnah itu. Inilah yang sukar dilakukan oleh sebahagian besar kita.

Dalam al-Quran, Allah berfirman, ...dan ingatlah (angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh...(al-Baqarah: 191). Antara sebabnya adalah fitnah itu boleh diibaratkan sebagai pembunuh senyap yang boleh menjadikan sesiapa sahaja mangsanya. Mangsanya pula akan tertekan dan masyarakat jadi porak peranda.

Di akhirat, orang yang menabur fitnah akan diseksa kerana ia adalah dosa besar. Bagi Muslim, perbuatan tersebut akan menghilangkan status sebagai Muslim. Allah turut menjelaskan betapa buruknya perbuatan mengumpat dan fitnah itu menerusi firman-Nya: ...dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati?...(al-Hujurat: 12)

Jika benar pun seseorang melakukan kesalahan dan kesilapan, sifat orang Muslim adalah menutup keburukannya. Bukan menghebohkannya hingga satu dunia tahu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menutupi aib orang lain di dunia, Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat kelak”. (Riwayat Muslim)

Malangnya, orang kini lebih percaya kepada maklumat secara ‘curi’ yang dipaparkan di internet. Sehinggakan ramai yang tumpas dan gagal menyemak kesahihan maklumat tersebut sebelum menyebarkannya di laman-laman sosial. Lebih malang lagi, selama mana umpatan dan fitnah dalam internet itu kekal maka, selama itu jugalah orang yang menularkannya menerima ‘dosa’ siber itu.

Berhati-hatilah agar kita tidak terpedaya dan tidak muflis di akhirat. Sudahlah pahala yang kita ada tidak banyak, jangan pula nanti dibebankan dengan maksiat orang yang kita fitnah atau umpat itu. Jika ini berlaku, sengsaralah dalam azab neraka dan kita termasuk dalam orang yang rugi.