Ia adalah minggu terakhir saya bersama Utusan Malaysia, sebuah akhbar arus perdana; bukan akhbar organ parti seperti Harakah, Roket mahupun Merdeka yang dimiliki oleh UMNO satu ketika dulu.

Utusan Malaysia adalah akhbar yang pernah menjadi rebutan para pelajar kewartawanan di zaman saya untuk bekerja, sama dengan akhbar The New Straits Times, The Star mahupun Berita Harian.

Saya dihantar oleh pensyarah saya di ITM, Murad Marican (kini Prof. Datuk Dr.) untuk membuat latihan amali selama satu semester di Utusan pada 1988. Jika saya dihantar ke NST maka mungkin di situlah kehidupan saya.

Tetapi Allah telah meletakkan saya di Utusan. Satu tempat yang cukup panjang sejarahnya dalam pembentukan negara. Pejabat Utusan Melayu di No. 46M Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin tidak mungkin dapat saya lupakan.

• Jari-jemari di mesin taip

Saya masih boleh ingat bau bilik berita itu, yang suasananya cukup kalut. Bunyi ketukan mesin taip bagaikan bertih jagung. Bau asap rokok merimaskan otak. Semua jari-jemari tertumpu di mesin taip, menaip berita untuk cetakan malam itu.

Masih juga saya ingat, Ketua Pengarang Zainudin Maidin atau Encik Zam (kini Tan Sri) pernah berada di belakang saya meminta saya menyiapkan segera satu cerita kegemarannya. Iaitu berita susulan kekotoran kawasan Hulu Klang berdekatan Zoo Negara.

Berita itu menjadi berita utama muka satu keesokan harinya. Saya cukup gelabah bekerja di bawah tekanan dengan ketua pengarang berada di belakang kita. Namun apabila berita itu diterbitkan di muka hadapan, terpampang dengan nama saya, Zaini Hassan — ia sesuatu yang cukup memuaskan.

Saya menunggu sehingga kilang cetakan Utusan, yang terletak bersebelahan bangunan editorial, beroperasi tengah malam itu untuk mendapatkan naskhah yang masih panas dari mesin conveyernya.

Keesokan harinya saya tersenyum sampai ke telinga sepanjang hari. Keseronokan yang tidak dapat dibayangkan. Latihan magang saya selama hampir enam bulan, terasa seolah-olah terlalu pendek.

Cukup bernilai latihan itu, lebih-lebih lagi apabila digandingkan dengan nama-nama hebat wartawan Utusan ketika itu seperti Badrul Hisham Aziz (Allahyarham, kemudian menjadi wakil rakyat Hulu Langat bergelar Datuk); Kamaruzaman Mohamad (Allahyarham, dikenali sebagai wartawan jenayah award-winning yang hebat kerana berjaya memasuki ke Kem Abu Sayaf di Pulau Jolo, Filipina); Mohd Nor Samad (juga dikenali sebagai Mike); Rozaid Abdul Rahman (kini di The Star) dan ramai lagi.

Namun, setelah pulang ke kampus untuk menyudahkan tahun akhir, saya menerima panggilan telefon daripada Ketua Pemberita Utusan, Rosli Ismail (kini peneraju portal berita terkenal Agenda Daily) meminta saya memohon menjadi Pemberita Kadet Utusan.

Saya memberitahunya, biar saya habis dulu pengajian. Rosli kata “Okey, aku tunggu.”

• Antara isteri dan kerjaya

Setelah habis semester akhir itu saya dipanggil temuduga dan diterima sebagai Pemberita Kadet pada Januari 1989. Selepas tamat pengajian, saya tidak langsung menganggur.

Bermulalah kerjaya yang amat saya minati itu. Beberapa bulan selepas berkahwin pada 1990, isteri saya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Saya masih ingat pada hari saya menghantarnya ke lapangan terbang di Subang, saya bergegas membuat liputan berita Dr. Mahathir Mohamad (ketika itu Datuk Seri) di Kelab Kakitangan Awam di Jalan Dato’ Onn.

Saya sanggup berjauhan dengan isteri yang baru dikahwini oleh kerana terlalu minat dengan tugas sebagai pemberita. Rosli pernah berkata kepada saya “Hang berhenti dan pi ikut bini hang.”

Saya tidak ikut nasihat beliau. Jika saya ikut mungkin haluan hidup saya sudah berbeza.

Perjalanan kerjaya saya kemudian bergerak pantas. Zam mengarahkan saya bertugas di Biro Kelantan sebaik sahaja pilihan raya 1990, setelah negeri itu jatuh ke tangan Pas. Bermulalah saya membuat liputan politik di negeri yang saya anggap ‘siang-malam cakap politik’.

Di sana saya keluar-masuk bilik Tok Guru Nik Aziz untuk mendapatkan berita. Terlalu banyak sejarah bertugas di Kota Bharu. Satu pengalaman yang tidak boleh dicari ganti.

Dua tahun di Kelantan saya diarahkan pulang semula ke ibu pejabat di Chan Sow Lin dan dilantik sebagai Ketua Pemberita. Dari situlah bermula kerjaya saya dalam pengurusan meja berita dan para pemberita.

• Zaman keemasan Utusan

Utusan Malaysia ketika itu berada dalam zaman keemasannya apabila edaran melepasi 350,000 naskhah sehari, dan Mingguan Malaysia di bawah kendalian Ahmad Bin Idris (Allahyarham, dikenali sebagai ABI) pernah mencecah 600,000 naskhah setiap minggu.

Pada 1995, saya mengambil sabatikal untuk melanjutkan pelajaran ke UK dalam bidang sarjana pengurusan media. Sekembalinya saya meniti kerjaya dari satu tahap ke satu tahap.

Kerjaya kewartawanan saya juga cukup sempurna dan pernah menerima anugerah kewartawanan tertinggi negara, Hadiah Kajai oleh Institut Akhbar Malaysia; Best Journalist of The Year oleh Malaysian Press Club; Hadiah Wartawan Ulung Negara oleh Persatuan Wartawan Melayu Malaysia serta Hadiah Wartawan Politik Negara.

Terlalu banyak kenangan manis dan pahit sepanjang kerjaya saya. Sebenarnya sudah lama juga saya menyimpan hasrat untuk berhenti, namun hari berganti hari, hasrat itu terpendam.

Apabila saya mula menulis kolum Cuit ini bermula pada 2008, saya tidak menduga ia menjadi ikutan ramai. Terima kasih kepada penyunting Kak Tajaiyah Ihsan yang memberi ilham kepada nama kolum ini.

Terima kasih juga kepada semua kerana menyokong saya selama ini termasuk penerbitan buku Cuit: Dilema Melayu Moden yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2013; termasuk juga kepada yang menyokong saya semasa saya menjalani perbicaraan kes di mahkamah.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui, semasa Tan Sri Zam menjadi Menteri Penerangan saya pernah ditawarkan menjadi Pengarah Berita RTM, namun kerana hati saya tetap di Utusan, saya menolak tawaran itu.

• ‘Menconteng lukisan’

Jumaat ini genaplah usia saya di syarikat Utusan Melayu selama 29 tahun 6 bulan. Bagi saya cukuplah “dah lama dah...”

Penghargaan tidak terhingga kepada bekas-bekas ketua pengarang yang terdahulu - Zam (yang sempat saya lawati di Unit Jantung, Hospital Serdang beberapa hari lalu, beliau masih lemah tapi sudah boleh bersembang); Johan Jaaffar (kini Tan Sri, yang menjadi admin WhatsApp veteran Utusan); Khalid Mohd. (kini Datuk, yang sering kelihatan di Masjid Bangsar) dan Datuk Aziz Ishak.

Ingatan saya kepada Haji Hamzah Sidek (bekas timbalan ketua pengarang, kerana sering menasihati saya); Abang Hamid dan Abang Makmur (cif sub, yang sering bergaduh dengan saya kerana sudah tiada ruang untuk diisi berita); Cik Lah (Abdullah Hassan, bekas Penolong Ketua Pengarang yang sering pasang-surut dengan saya soal profesional).

Juga kepada pengurus Sumber Manusia, Haji Sirajuddin Mokhtar (Allahyarham, yang menguruskan kemasukan saya), pengurus-pengurus Jabatan Pengarang — Haji Taib Ahmad (yang sering mengingatkan kami iaitu the sky is the limit), Kak Rosminah Ahmad serta setiausahanya, Kak Salmah.

Kerjaya ini membawa saya membuat liputan Perdana Menteri ke seluruh pelosok dunia termasuk di tempat-tempat eksotik seperti di Khabarovsk; Ulan Ude di Russia; Swakopmund, Namibia; Mobutu, Mozambique; Davos, Switzerland; Beirut, Lebanon.

Terima kasih juga kepada rakan-rakan editorial, anak-anak buah yang membantu saya selama ini serta seluruh rakan-rakan Kumpulan Utusan. Maafkan saya jika saya agar terkasar selama ini.

Kepada rakan-rakan seperjuangan yang sudah pergi menemui-Nya, Al Fatihah. Juga kepada sahabat yang sama masuk ke Utusan dan bertahan, tapi akan turut berhenti bersama saya, iaitu Saudara Gamal Nasir dan Razak Din.

Tidak lupa juga Tan Sri Hashim Ahmad Makaruddin (bekas Pengerusi Utusan, yang sering menyokong saya).

Akhir sekali, ramai yang bertanya apa yang saya akan buat selepas ini, saya berkata “saya akan mula menconteng lukisan...”