Sebagai tetamu, tentulah ‘kad jemputan’ itu berbeza. Ada yang kelas ‘A’, ada ‘B’ dan mungkin juga sampai ‘Z’.  Maka sebelum kita mengkritik, tanya dahulu siapa kita hendak mengkritik jemputan daripada Allah ini.

Hentikanlah perbuatan de­ngan menjadikan sebab tidak dapat tempat yang selesa di khemah Mina mahupun di Arafah. Sudah ada dalam kalangan jemaah haji yang mencari dan menulis kesilapan Tabung Haji di Tanah Suci dalam media sosial.

Seperti tiada kebaikan langsung yang dilakukan petugas Tabung Haji di bumi suci ini. Dan terus melupakan perkara baik yang dilakukan Tabung Haji sebelum jemaah haji berangkat ke Arafah, Mudzalifah dan Mina.

Penulis sendiri melihat kea­daan suasana dalam khemah di Arafah dan Mina tidak selesa bagi jemaah haji kerana isteri penulis adalah jemaah haji yang berhadapan situasi sedemikian.

Malah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam catatan Facebooknya merujuk lawatan beliau di Maktab Muasasah jemaah haji Malaysia di Mina menulis: “Inilah cabaran yang terbesar terpaksa dilalui jemaah haji Malaysia kerana terpaksa tidur berhimpit-himpit antara satu sama lain kerana ruang khemah yang amat terhad.

“Inilah sentiasa menjadi dilema kerajaan dan Tabung Haji setiap kali berkira-berkira untuk memohon kuota dapat dipertingkatkan. Namun keluasan khemah tidak berubah, lantaran sempadan Mina mahupun Arafah tetap sama sejak zaman Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang ditetapkan syarak.”

Penulis tertarik dengan satu komen netizen terhadap lawatan Asyraf Wajdi menerusi luahan hati Shamsiah Sham Nawi: “Ujian...semoga Allah SWT memberi kelapangan kepada semua tetamu-Nya. Insya-Allah. Ruang yang cukup untuk telus badan, mungkin inilah bayangan alam kubur...selesa atau sebaliknya - hati kita yang menentukan!”

Dalam cabaran haji yang cuma lima hari bermula 9 hingga 13 Zulhijah, itulah sebenarnya ‘terbongkarnya’ sifat sebenar jemaah haji. Jika jemaah haji itu seorang yang kuat merungut, maka sifat itu diserlahkan dalam ibadat haji ini dan jika seorang itu mempu­nyai sifat istiqamah, bersabar dan bertenang dan sentiasa mengingat apa yang berlaku itu sebagai ujian daripada Allah, maka mudahlah ibadah haji berkenaan.

Ingatan telah diberikan dari awal lagi oleh Pengarah Operasi Ibadah Haji 1438 Hijrah, Tengku Aziz Raja Abdullah bahawa di Arafah mahupun Mudzalifah dan Mina, Allah mahu mengajar kita walaupun dalam kepayahan, memohon ke­ampunan dan bantuan dan jangan berharap kepada makhluk.

Malah, terbukti apa yang di­perkatakan oleh Tengku Aziz, dua hari sebelum hari berwukuf tempoh hari iaitu: “Berdasarkan pengalaman saya, jika jemaah itu hadir dengan membawa sikap ego, takbur, sombong dan tidak mahu memperakui dosa yang pernah dilakukannya, biasanya perjalanan ibadah haji mereka penuh dengan rintangan, ujian dan dugaan.”

Penulis mengambil catatan seorang lagi netizen, sahabat penulis yang mendiami khemah sempit dan padat di Mina, Azmil Abrar.

Beliau rasa seperti mahu me­rungut, rasa geram dan terlintas di fikirannya iaitu “apa masalah Tabung Haji ni? Tak kira betul-betul ke? Aku ni dahlah tengah sakit kaki, sakit badan, macam-macam sakit, kena tidur luar. Bengang, geram, marah, kecewa semua ada.”

Tapi dalam catatan itu, Azmil kembali beristighfar dan melihat keadaan itu secara positif dan me­nyatakan bahawa, “penempatan di Mina bukan diuruskan Tabung Haji tetapi Muasasah Asia Tenggara, kuota haji Malaysia 2013 hingga 2016 adalah 22,230 orang tetapi dengan hubungan baik Malaysia-Arab Saudi ia bertambah kepada 30,200 orang. Malah saat akhir diberikan tambahan 12,000 menjadikan 42,200 orang. Maknanya pertambahan 19,200 tempat.”

Selepas melihat kiraan itu, dalam catatannya itu: “Ia membuatkan saya terduduk sejenak. Saya berada di Tanah Suci selama 40 hari. Ketidakselesaan ini ha­nyalah untuk tempoh lima hingga enam hari. Selebihnya, 30 lebih hari saya ditempatkan dengan selesa di hotel.”

Apa yang penulis tertarik de­ngan tulisan Azmil ini ialah pe­ngakuannya selepas berjalan di luar khemah dan melihat sekeli­ling: “Masya-Allah, begitu ramai jemaah negara lain yang tidur bergelimpangan di tepi jalan raya. Kalau mereka boleh cekal, kenapa saya nak merungut.”

Azmil mengucapkan terima kasih kepada Tabung Haji dan petugas yang sentiasa melayan sebarang ru­ngutan dan kerenah jemaah haji.

Untuk itu, isteri penulis juga adalah jemaah haji yang duduk dalam khemah sempit di Mina dan faham itu sebenarnya adalah sebahagian ujian daripada Allah dalam ibadah haji ini.

Maka, hentikanlah perbuatan menulis keburukan Tabung Haji dalam media sosial dan fahamilah bahawa seperti mana kata sahabat penulis, “kesukaran adalah rencah yang memaniskan ibadah ini.”

Ucapkanlah terima kasih kepada petugas Tabung Haji yang banyak membantu kerana mereka juga punyai perasaan yang perlu dijaga. Namun sekiranya ada dalam kalangan jemaah haji mahu terus mengkritik, kita serahkan nasibnya kepada Allah, semoga diberikan hidayah dan petunjuk memperbaiki diri yang sedang ‘merusuh’ itu.