Mungkin ada merasakan tidak berbahaya, asalkan kerja itu dilakukan ketika laluan dalam keadaan tidak sesak, tiada kenderaan atau sedang berhenti.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman seorang petugas di bahagian pembersihan SWM Environment Sdn. Bhd., di Seremban 2, Ramesh Subramaniam, situasi berlaku sebaliknya.

Ketika lampu isyarat berwarna merah dan semua kenderaan berhenti, dia cuba melintas untuk mengutip sampah yang dibuang di sebuah jalan utama, tetapi malangnya dia dilanggar oleh seorang penunggang motosikal yang bertindak memecut secara tiba-tiba.

“Saya sentiasa berhati-hati, namun pada masa itu, saya hendak melintas jalan untuk mengutip sampah berkenaan. Tiba-tiba penunggang motosikal itu terus bergerak dan melanggar saya sehingga menyebabkan vest tersangkut di bahagian pemegang motosikal.

“Saya tekejut sebab semua kenderaan telah berhenti dan tidak menyangka akan ada penunggang motosikal bertindak sedemikian. Mujur saya tidak terjatuh dan terseret sama. Saya tidak mengalami kecederaan teruk, cuma tangan terseliuh,” katanya.

Menyentuh tentang sikap segelintir masyarakat yang suka membuang sampah merata-rata tempat, katanya, kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan di tempat awam masih lagi rendah.

“Ada yang sesuka hati mencampak sampah dari kenderaan. Pernah berlaku, sampah yang mengandungi sisa air dicampak sehingga terkena pakaian saya. Nasib baik, cecair itu tidak mengandungi bahan keras. Kalau tidak, sudah tentu boleh mendatangkan kecederaan.

“Ada juga pengguna yang singgah berhenti di tepi jalan untuk makan. Namun sebaik selesai, bungkusan makanan dibiarkan di tepi jalan. Ada yang lebih kejam apabila sanggup meletakkan plastik berisi anak kucing di atas jalan. Belum sempat saya alihkan, haiwan malang itu telah dilanggar kenderaan.

“Apabila berlaku perkara sedemikian, biasanya kami akan kutip bangkai haiwan berkenaan untuk ditanam,” katanya.

Menurutnya, meskipun sudah menjadi tugas mereka memastikan kebersihan bandar dan kawasan awam, namun kesedaran dalam diri individu perlu ada bagi mengelakkan kesan buruk akibat daripada tidak memiliki sikap bertanggungjawab terhadap pengurusan sisa.

“Amalan menjaga kebersihan bermula dari rumah, sudah tentu setiap individu mempunyai peranan masing-masing,” ujarnya.

‘Longkang tersumbat kami bersihkan, rumput panjang kami potong’

“Dalam longkang, bukan sahaja sampah yang ‘bermaharajalela’, malah anjing dan kucing mati juga ada,” luah Thanapatay Thellavurai, 52, yang menjelaskan tentang situasi dihadapi ketika membersihkan longkang.

Meskipun, bau kurang menyenangkan namun, sudah menjadi tanggungjawab bagi dirinya dan rakan-rakan sekerja untuk memastikan sistem saliran longkang berjalan baik dan lancar.

“Kami bekerja mengikut jadual yang ditetapkan. Namun, sekiranya ada aduan daripada penduduk di kawasan perumahan mengenai masalah longkang tersumbat, kami segera turun ke lokasi untuk membersihkan saliran tersebut.

“Sampah yang menyumbat longkang akan dikorek dan dibersihkan. Manakala, jentera seperti water jet digunakan untuk kerja-kerja pembersihan longkang bagi mempercepatkan pembersihan,” katanya.

Selain itu, kerja memotong rumput juga merupakan sebahagian daripada bidang tugas pekerja am di bahagian kebersihan.

“Bukan sahaja longkang tersumbat perlu dibersihkan, malah rumput yang panjang juga kami potong. Kerja-kerja pemotongan rumput biasanya dilakukan di kawasan perumahan dan tepi jalan raya sebanyak dua kali dalam tempoh sebulan,” katanya.

Sementara itu, dua pekerja pembersihan di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan turut berkongsi pengalaman mengendalikan kerja membersihkan kawasan tumpuan pelancongan itu.

Menurut Sapinah Ahmad, 52, mereka bukan sahaja membersihkan kawasan yang dipenuhi sampah sarap, malah membersihkan timbunan daun kering.

“Sekiranya berlaku ribut pasir, kami akan bersihkan kawasan rekreasi yang dipenuhi butiran pasir,” katanya.

Dalam pada itu, Kalarani Muniandi, 49, berkata, meskipun berdepan dengan sikap segelintir orang awam yang membuang sampah merata-rata, namun sudah menjadi tugasnya melakukan kerja yang diberikan oleh syarikat tanpa perlu merungut.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami membersihkan kawasan pantai. Kadangkala kami terpaksa berdepan dengan pelbagai karenah orang awam. Walaupun tong sampah disediakan, namun ada juga yang membuang sampah merata-rata.

“Kebersihan merupakan aspek yang sangat penting dalam memastikan lokasi pelancongan terus menjadi tumpuan pengunjung.

“Namun, ada sesetengah pengunjung masih tidak memandang berat terhadap aspek tersebut,” katanya kesal.