Berbanding operasi dalam tempoh sama iaitu ketika Op Selamat 12, jumlah kemalangan pada kali ini menurun daripada 21,041 kepada 20,829 kes; kemalangan maut menurun daripada 208 menjadi 197 kes manakala kematian menurun daripada 226 kepada 216 kes.

Demikian menurut statistik yang diberikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dalam majlis penutup dan penganugerahan sijil sempena Op Selamat 14 di Persada PLUS, baru-baru ini.

Dalam sidang akhbar, beliau menjelaskan, penurunan itu berkait rapat dengan kesungguhan anggota PDRM dan kerjasama pelbagai pihak dalam menjayakan Op Selamat.

Selain itu, kesedaran pengguna jalan raya tentang kepentingan berhemah di jalan raya menjadi penyumbang kejayaan kali ini.

Ini termasuklah jumlah saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan turut berkurangan berbanding tempoh sama pada tahun lepas. Di negara ini, Op Sikap bermula 2001 dan berakhir 2012.

Kemudian Op Selamat menggantikan tempatnya dengan pendekatan lebih menyeluruh kerana turut menekankan keselamatan rumah yang ditinggalkan oleh penghuni kerana pulang ke kampung pada musim perayaan.

Kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak mendapati Op Selamat berjaya mengurangkan kematian di jalan raya berbanding hari-hari biasa.

Purata kematian setiap hari sepanjang Op Selamat hanyalah antara 14 hingga 15 orang sehari berbanding hari-hari biasa yang mampu mencecah 19 orang.

Contohnya pada 2016, kematian berjumlah 7,152 yang secara purata hariannya 19.5 orang. Kesungguhan menangani jumlah kematian dalam Op Selamat berterusan dari semasa ke semasa.

Dalam Op Selamat 9, jumlah kematian sebanyak 299 iaitu menurun daripada 330 dalam Op Selamat 7 yang dianggap terburuk dalam Op Sikap/Op Selamat.

Kedua, terima kasih kepada PDRM yang menganugerahkan surat penghargaan kepada penulis dalam majlis penutupan Op Selamat 14, baru-baru ini.

Rencana penulis bertajuk ‘Hargailah Op Selamat’ yang disiarkan 2 Februari 2019 dalam Utusan Malaysia mendapat perhatian PDRM. Saya dan rakan, Syahril Anuar Abd. Ghalim yang turut menerima sijil tersebut menerusi tulisannya dalam forum Utusan Malaysia bertajuk ‘Ubah Sikap dalam Op Selamat’ berasa terharu atas anugerah tersebut.

Itulah yang dapat kami bantu dalam menjayakan Op Selamat. Sejak Op Sikap lagi dan setiap kali Op Selamat berlangsung, penulis sentiasa menulis rencana tentang operasi ini di Utusan Malaysia dengan harapan dapat merungkai sedikit kemelut yang sentiasa berlaku di jalan raya terutamanya ketika musim perayaan.

Oleh sebab penulis mesti pulang ke Kodiang, Kedah setiap kali musim perayaan, perjalanan jauh dari Klang sentiasa memberi pelbagai pengetahuan kepada penulis. Pelbagai gelagat dan sikap pengguna jalan raya dapat dilihat dan kebanyakannya mesti diubah.

Maka, penulis dapat membuat kesimpulan bahawa dalam pada ada Ops Selamat pun macam-macam kerenah pengguna jalan raya dapat dilihat, apatah lagi jika tiada Ops Selamat!