SURAT pekeliling bertarikh 9 November 2017 yang mencetuskan persoalan mengenai hak kebebasan bersuara yang kononnya diperjuangkan Pakatan Harapan dikepalai DAP. UTUSAN

Portal KLXpress menyifatkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai ‘pendek akal dan takut pada bayang-bayang sendiri’ apabila mengarahkan pemberhentian langganan akhbar Kumpulan Utusan dan Berita Harian di seluruh agensi, jabatan dan anak-anak syarikat kerajaan negeri itu.

Eh! macam ini gaya berpolitik pun masih ada lagi ke? Macam manalah nak sekat orang daripada membaca akhbar kalau setakat menghentikan langganannya.

Kalau begitu, elok sahajalah Azmin gajikan setiap seorang pengawal untuk pastikan setiap kakitangan atau penjawat awam negeri itu yang berjumlah 17,000 orang tidak membaca kandungan berita media arus perdana melalui e-paper atau online menerusi telefon bimbit mereka.

Eh! bukan, sepatutnya Azmin arahkan sahaja hampir 20,000 penjawat awam ini serta mereka yang bekerja di anak-anak syarikat kerajaan negeri Selangor menyimpan puluhan ribu telefon bimbit mereka dalam satu kotak besar khas sebelum masuk pejabat. Sebelum masuk office pukul 8 pagi atau tak kiralah waktu anjal ma­suk, simpan telefon bimbit anda dan hanya dibenarkan ambil semula selepas 4.30 petang.

Azmin oh! Azmin, maklumat sekadar di hujung jari sahaja. Dunia di telapak tangan sahaja sekarang ini.

Sepatutnya akhbar-akhbar Melayu tidak dipersalahkan sehingga peringatan pemberhentian langganan itu terpaksa diulang melalui surat pekeliling setiausaha kerajaan negeri bertarikh 9 November.

Sebaliknya, yang harus dipersalahkan Azmin ialah dirinya sendiri. Benarkah Azmin dikatakan pincang mengendalikan tadbir urus yang baik, sekali gus membenarkan Menteri Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar membongkar kelemahan-kelemahannya itu?

Dan ini seterusnya membuka rasa tanggungjawab bukan sahaja akhbar arus perdana termasuk Utusan Malaysia dan Berita Harian melaporkan kepincangan Azmin itu yang didedahkan oleh Noh. Bahkan laporan-laporan itu boleh diikuti melalui semua portal dan blog. Ini termasuklah akhbar Sinar Harian, The Star dan beberapa lagi yang dibenarkan pula langganannya itu.

Sejak Noh mengetuai kementerian yang bertanggungjawab secara langsung terhadap isu-isu perbandaran di setiap negeri, Azmin sudah tidak keruan. Berserabut menteri besar itu kerana para penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor pun mendambakan pembelaan daripada Noh.

Mengapa pula tidak boleh Noh membuat pendedahan siri kelemahan Azmin? Azmin bilang dia lancar kad peduli kesihatan, tetapi malangnya Selangor merupakan ‘juara’ kes denggi. Ini apabila mencatatkan kes tertinggi selama enam tahun berturut-turut selain turut merekodkan kes kencing tikus yang tinggi. Bahkan, ada mangsa meninggal dunia.

Itu soal penyakit. Beralih pula ke bab bola yang peminatnya ramai daripada kalangan orang muda. Mengapa sampai sekarang Azmin tidak benarkan pasukan bola sepak Selangor yang digelar The Red Giant juara Piala Malaysia 33 kali bermain di Stadium Shah Alam?

Mengapa pula pasukan bertaraf kelab, PKNS FC yang hanya memiliki kira-kira 200 penyokong sahaja boleh bermain di stadium keramat itu? Stadium Selayang sahajakah setakat taraf The Red Giant?

Sikap kurang cerdik inilah yang diperli oleh Noh tempoh hari: “Cukup-cukuplah Azmin kalau kata Selangor ini hebat, hebat tara mana? Urus bola pun tak pandai, boleh pula lari malam. Mengurus sampah pun kelam kabut. Mengurus rumah orang miskin pun tak boleh. Bagaimana nak urus Selangor?”

Dan terbaharu yang menyakitkan hati lagi, sekali gus membangkitkan kemarahan Noh apabila Azmin tidak mengisytiharkan jumlah peruntukan disalurkan kepada Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang diterima Selangor sejak 2012 sehingga tahun ini.

Ia berikutan peruntukan akaun bukan hasil kerajaan negeri tidak merekodkan penerimaan wang MARRIS, padahal Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan itu setiap tahun.

Selangor dilaporkan mene­rima sebanyak RM416,971,395 pa­da 2012; RM498,033,994 (20­13); RM523,486,773 (2014); RM­468,774,527 (2015); RM496,900,998 (2016) dan RM546,591,098 (2017).

“Bukankah berdasarkan Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan, semua hasil kerajaan negeri perlu dimasukkan di dalam belanjawan?

“Takkanlah kerajaan Selangor boleh cuai berkaitan butiran yang dikeluarkan di dalam buku Anggaran Hasil Negeri Selangor 2018 sehingga terpaksa diedarkan notis ralat kepada kesemua ADUN.

“Bajet Selangor 2018 yang dibentangkan Azmin sepatutnya dikoyak dan diganti yang baharu,” kata Noh ketika dihubungi semalam.

Kembali kepada soal pemberhentian langganan akhbar-akhbar Melayu tadi, realitinya akan lebih banyak pembongkaran ‘propa’ Azmin oleh Noh.

Seperti mana pengumuman bonus tiga bulan gaji kepada kakitangan awam di Selangor dalam Bajet 2018. Sepatutnya Azmin jangan ‘propa’lah.

Pembayaran dua bulan bukankah sudah dibuat pada pertengahan Jun lalu (2017) sebelum Hari Raya Aidilfitri. Bakinya akan dibayar pada 2018. Maka, 3-2, berapa agaknya Azmin? Mengapa ‘gegar’ sampai tiga bulan, bukan sebulan sahaja.

Terima kasih Noh. Teruskan usaha anda.