Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

ASSALAMUALAIKUM dan Salam Sejahtera Cikgu! Selak mengambil kesempatan meng­ucapkan lebih awal Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik sama ada yang sudah bersara atau sedang memikul tanggungjawab yang diamanahkan. Esok, 16 Mei, giliran golongan pendidik sama ada dikenali sebagai Guru, Cikgu, Teachers, Ustaz, Ustazah, Murabbi atau apa sahaja yang bertanggungjawab mendidik akan me­nyambut Hari Guru. Pada bulan ini, banyak hari yang bertujuan menghargai golongan tertentu termasuk Hari Pekerja, Hari Belia dan Hari Jururawat.

Menyelak kembali sejarah sam­butan Hari Guru pada setiap 16 Mei, pada tarikh yang sama, tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (dikenali Laporan Razak) sebagai Dasar Pelajaran Kebangsaan. Guru amat bertuah kerana mereka adalah antara orang yang bertanggungjawab dan diamanahkan untuk mendidik anak bangsa. Tidak semua yang mampu memikul amanah ini. Justeru tema sambutan kali ini bertepatan de­ngan peranan guru iaitu Guru Pembina Negara Bangsa. Ini bukan kali pertama tema ini diangkat untuk sambutan Hari Guru kerana telah digunakan pada tahun lalu serta 2009 dan 2010.

Peranan guru amat bermakna kerana merekalah yang membantu melahirkan warga Malaysia yang berilmu, berakhlak, bertanggungjawab serta berke­upayaan mencapai kesejahteraan diri serta menyumbang kepada pembangunan negara. Merujuk kepada tema ini, tanggungjawab guru amat besar dan memerlukan kesabaran serta komitmen yang tinggi. Ketika mereka merungut mengenai bebanan tugas, pelbagai perubahan kurikulum, guru-guru tetap melaksanakan tanggungjawab sesuai dengan konsep kerja itu ibadah. Jika ibadah mereka itu tidak mendapat ganjaran di sini, pastinya ‘di sana’ akan ada habuan kerana ilmu yang mereka curah dimanfaatkan. Peranan guru lebih mencabar dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang kadang-kadang menyebabkan pengetahuan pelajar lebih ke hadapan. ICT bukan sekadar mendedahkan tentang ilmu tetapi sesuatu yang boleh merosakkan sehingga pelajar tidak memiliki jati diri, tidak patriotik, longgar pegangan agama dan rosak nilai-nilai moral.

Tidak seperti dahulu, guru pada hari ini juga terdedah de­ngan pelbagai risiko disebabkan kenakalan murid-murid/pelajar serta sikap ibu bapa yang ‘manjakan’ anak. Keadaan ini jauh berbeza berbanding suatu masa dulu. Kenakalan dahulu tidak sama seperti hari ini. Dulu, ibu bapa ‘reda’ anak-anak mereka dirotan, dicubit, dipulas telinga, didenda berlari keliling padang, mengutip sampah, berdiri atas kerusi atau meja dan menulis ayat yang sama beberapa muka di buku latihan. Semuanya itu me­rupakan ‘makanan’ biasa kepada murid-murid masa lalu sekiranya mereka melanggar disiplin. Hari ini keadaan sudah berubah. Guru-guru terpaksa berhati-hati, perlu sentiasa bersedia untuk berubah, berdaya tahan dan berfikiran aras tinggi. Matlamat akhir adalah untuk melihat pelajar berjaya.

Peranan guru juga boleh ‘diterjemahkan’ melalui lagu Hari Guru yang bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa. Seni kata lagu itu berbunyi : Bersedia melangkah megah, walaupun sukar baktiku curah, demimu ibu pertiwi, sumpahku lafaz janjiku kota; Berikrar eratkan bangsa, kukuhkan cinta kepada negara, berjasa terus berjasa, menyebarkan ilmu tiada batasnya; Guru Pembina Negara Bangsa, gagah perjuangkan visi negara, bangunkan jiwa yang pelbagai rupa, demi agama dan nusa tercinta; Guru Pembina Negara Bangsa, tetap unggul senadakan suara, sehaluan menggapai matlamatnya, cemerlang dan gemilangkan Malaysia.

Istimewanya, profesion guru ini, panggilan guru atau cikgu akan kekal sepanjang hayat. Ada guru yang dianugerahkan pi­ngat kebesaran yang membawa pelbagai gelaran masih selesa membahasakan diri sebagai cikgu. Baru-baru ini, semasa menghadiri satu majlis kenduri kahwin rakan Sekolah Kebangsaan Guar Perahu (1967-1972) di Seberang Jaya, Pulau Pinang, saya dan rakan-rakan berpeluang bertemu semula cikgu atau teacher yang mengajar Bahasa Inggeris. Cikgu Zabedah Arshad, 73, menjadi tumpuan bekas anak muridnya yang kebanyakan sudah pencen. Masing-masing memperkenalkan diri dan teacher cuba mengingati. Beliau tumpang gembira dengan pencapaian ‘budak-budak’ yang pernah diajarnya walaupun bertemu kembali dalam usia emas.

Begitulah cikgu, sentiasa di­ingati. Marilah kita menghargai dan mengingati jasa guru, insan pengganti ibu bapa yang bersama kita untuk sekurang-kurangnya tujuh jam sehari pada waktu siang, hari-hari persekolahan.

Kepada mereka yang masih mendapat bimbingan guru di sekolah rendah, menengah dan sebagainya, hormatilah guru. Sama ada guru atau murid/pelajar, sambutlah Hari Guru dengan penuh kesyukur­an. Guru bersyukur kerana dipilih menyertai profesion ini serta mendapat peluang mendidik anak-anak bangsa. Ikhlas dan adillah terhadap setiap murid/pelajar ketika mengajar. Bagi murid/pelajar, hargailah guru-guru anda. Menghargai guru khususnya pada sambutan Hari Guru tidak semestinya pelajar datang ke sekolah membawa hadiah atau cenderamata kenangan untuk diberikan kepada guru.

Hargai guru dengan menjanjikan kepada mereka untuk berjaya dalam bidang pelajaran. Patuhi nasihat dan tunjuk ajar mereka. Kepuasan seorang guru sudah tentu apabila mendengar perkhabaran anak-anak yang di­diknya sudah berjaya dan mampu menyumbang kepada pembangun­an negara bangsa. Ingatlah, siapa pun kita hari ini, di belakang kita, permulaannya ada guru yang mendidik dengan penuh sabar supaya kita pandai menulis, membaca dan mengira. Terima kasih cikgu. Selamat Hari Guru!

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain