Sejak lebih tiga dekad lalu, HSKU sentiasa konsisten memberikan pengiktirafan kepada karya-karya bermutu tinggi tanpa mengira latar belakang penulis sama ada penulis baharu atau penulis lama.

Sememangnya HSKU berhasrat mencari karya bermutu tinggi bagi meningkatkan lagi khazanah kesusasteraan Melayu sekali gus mengiktiraf penulis yang berbakat.

Majalah terbitan Utusan Melayu seperti Wanita, Kiblat, Mastika, Al-Islam, URTV, UFF, Harmoni dan Utusan Zaman suatu ketika dahulu pernah menjadi gelanggang mengasah bakat penulis baharu yang berjaya menghasilkan karya seperti novel, cerpen, puisi dan rencana sastera. Begitu juga majalah seperti Massa dan Jurnal Pemikir.

Sungguhpun begitu, berikutan ledakan arus teknologi maklumat, media tradisional ini gagal menahan asakan media baharu menye­babkan majalah-majalah terbitan kumpulan Utusan kini hanya tinggal sejarah.

Walaupun tidak pernah lekang menghadapi cabaran sejak mula ditubuhkan di Singapura pada 18 Jun 1938, Utusan Melayu terus komited menyemarakkan dunia sastera tanah air tanpa ada titik noktahnya selama 80 tahun.

Patriot-patriot awal Utusan Melayu tetap berpegang teguh kepada agenda perjuangan suci yang sering dilafaz sebagai jihad untuk alif, ba, ta iaitu alif (agama), ba (bangsa) dan ta (tanah air) sepertimana yang dirintis oleh pengasasnya, Yusuf Ishak dan pengarang pertama, Ishak Haji Muhamad (Pak Sako) serta dibantu oleh Zainal Abidin Haji Alias (Zabha).

Demikianlah teguhnya tekad patriot-patriot Utusan Melayu yang berjuang meniupkan roh `suara keramat bangsa’ ini sejak pertama kali diterbitkan di 64, Queen Street Singapura pada 29 Mei 1939. Terbukti, selepas 80 tahun ditubuhkan, nama Utusan Melayu itu sendiri begitu sinonim dengan institusi keilmuan yang memperjuang kepentingan agama, bangsa dan tanah air seperti dilafazkan patriot awalnya.

Bahkan, sejak ditubuhkan 80 tahun lalu, Utusan Melayu beruntung kerana memiliki deretan nama sasterawan dan pengarang yang begitu hebat berkarya seperti Usman Awang, Keris Mas, A. Samad Ismail, Pak Sako, Zabha, A. Samad Said, Awam-il Sarkam, Ahmad Boestamam, Othman Wok, Ibrahim Omar, Ahmad Sanusi (Asni) dan Zahari Affandi.

Pak Sako terkenal dengan novel satiranya Putera Gunung Tahan yang dikarangnya pada 1937 dan diterbitkan pada 1957 (edisi jawi), Budak Beca (1957) dan Anak Mat Lela Gila (1960). Wartawan Ibrahim Omar dengan novel Desa Pingitan (1964), A. Samad Said melalui novel Salina (1961), A.Samad Ismail menerusi cerpen dan novelnya Patah Sayap Terbang Jua dan Keris Mas dengan novel Korban Kesucian (1949), Anak Titiwangsa (1967) dan Pahlawan Rimba Malaya (1976).

Usman Awang dan Keris Mas yang juga pengarang akhbar Utusan Zaman dan Mastika ketika itu merupakan orang yang bertanggungjawab merangka `Memorandum Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga yang akhirnya melahirkan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kesedaran

Menurut Virginia Matheson Hooker, dalam bukunya Writing A New Society: Social Change Through The Novel In Malay (2000) menyatakan bahawa rangsangan di sebalik penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka terkandung dalam memorandum Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga yang diadakan pada September 1956.

Memorandum yang dirangka oleh Keris Mas dan Usman Awang itu kemudian diterima pakai oleh kongres khususnya tentang peranan bahasa dan kesusasteraan yang digunakan sehingga kini.

Ia menegaskan wadah ASAS 50 : “Bahasa dan kesusasteraan adalah alat perpaduan kebangsaan dalam perjuangan kemerdekaan, bahawa bahasa dan kesu­sasteraan adalah juga alat memajukan fikiran rak­yat, sesuai dengan cita-cita keadilan masyarakat, kemakmuran, keamanan dan perdamaian hidup” (halaman 363).

Menurut Hooker, ini adalah suatu kejayaan kepada nasionalisme bangsa Melayu.

Dalam pada itu Alias Md. Zain (2000) menerusi tesisnya mengenai Puisi-Puisi Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank: Kajian Gaya Bahasa untuk Ijazah Sarjana Sastera Fakulti Bahasa Moden Universiti Putra Malaysia (UPM) halaman enam menyatakan: “Hadiah Sastera Utusan Melayu dilancarkan atas kesedaran untuk memaju dan meningkatkan mutu kesusasteraan berbahasa Melayu tanah air”.

Menelusuri sejarah, idea awal HSKU pertama kali dicetuskan oleh Allahyarham Osman Abadi, Ketua Pengarang Majalah dengan sokongan kuat oleh Tan Sri Mazlan Nordin selaku Pengarah Urusan Utusan Melayu dan Ketua Pengarang Utusan ketika itu, Datuk Zainuddin Maidin.

Idea tersebut akhirnya berjaya direalisasikan oleh jawatankuasa yang dipengerusikannya bersama oleh Senator Dr. Nordin Selat, selaku Pengurus Hal Ehwal Awam Public Bank. Utusan Melayu dan Public Bank telah bersetuju mengadakan Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank bermula pada 1985.

HSKU bermula dengan penganjuran pertandingan kategori cerpen dan sajak serta cerpen remaja pada 1986, novel remaja (1988), kajian dan rencana sastera (2001) serta puisi pada 2002.

Mulai 2002, HSKU mendapat tajaan sepenuhnya daripada syarikat ExxonMobil Exploration & Productions Malaysia Inc. sebelum beralih kepada penaja barunya Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tahun lalu.

Faisal Tehrani dan Sri Rahayu Mohd. Yusop adalah antara penulis berbakat besar yang sering mendominasi anugerah HSKU menerusi genre cerpen dan novel yang disertainya.

Novelis Sri Rahayu Mohd. Yusop sendiri begitu unggul dalam kategori novel remaja HSKU. Sehingga kini sepuluh naskhah novelnya berjaya memenangi sayembara bermula 2001 menerusi karyanya bertajuk Bukan Legasi Lalang yang pada tahun itu wtelah diumumkan sebagai pemenang tempat pertama.

Sejarah penganjurannya yang melebihi tiga dekad ternyata telah mencapai matlamat asal bagi menggilap dan memupuk penulis berbakat sebagai pelapis penulis mapan dalam dunia kesusasteraan tanah air.

Sejak ditubuhkan, ramai penulis ternama memulakan langkah awal mereka di Utusan Melayu, sehingga institusi tersebut berperanan sebagai `universiti terbuka’ bagi para penulis hebat tanah air.

Seperti kata-kata Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang: “Utusan ibarat sebuah pelabuhan besar. Orang sentiasa datang dan pergi. Kita besar, kita mengukir nama. Tetapi, kita kena ingat, kita besar kerana Utusan. Kita terhutang budi pada Utusan!”