Sebagai seorang yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, mempunyai pengalaman cukup luas dalam soal ekonomi dan kewangan negara serta pasti mengenali tembelang parti-parti pembangkang menabur janji setiap kali berhadapan dengan pilihan raya, Dr. Mahathir tentu memahami sejauh manakah manifesto yang dianggap ‘umpan rakyat’ itu boleh dilaksanakan.

Di manakah maruah politik pemimpin berusia 92 tahun itu apabila pelancaran turut dimulakan dengan tayangan video yang memaparkan demonstrasi reformasi pada tahun 1998 dan 1999 berikutan tindakan beliau memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Sanggup benar Dr. Mahathir ‘menjilat ludahnya sendiri’ apabila membenarkan Pakatan Harapan mengekalkan bantuan kewangan seperti mana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang selama ini beliau anggap sebagai rasuah dan ‘dedak’.

Begitu juga kita tertanya-tanya di manakah maruah politik beliau, apabila Pakatan Harapan turut berjanji untuk memansuhkan tol di seluruh negara secara berperingkat sedangkan beliaulah pencetus dan pelaksana kutipan tol di negara ini.

Dalam soal ekonomi pula, kenapakah Dr. Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri di­sanjung kerana berjaya membawa Malaysia keluar daripada krisis kewangan pada tahun 1998 sanggup mengetepikan fakta yang diketengahkan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa pres­tasi ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan dan terus berprestasi baik serta kukuh?

Malah Dr. Mahathir juga bersedia menggadaikan maruah politiknya apabila bersetuju dengan beberapa janji-janji dalam manifesto itu yang hakikatnya sudah dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti meringankan beban rakyat, skim peduli rakyat dan berkongsi kekayaan bersasar.

Hakikatnya banyak sekali janji-janji Pakatan Harapan dalam manifesto berkenaan pasti difahami oleh Dr. Mahathir hanya ‘gula-gula’ dan janji palsu yang tidak mungkin dapat dilaksanakan terutamanya apabila ia melibatkan implikasi kewangan negara.

Tindakan Dr. Mahathir bersetuju menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan oleh 160 buah negara sudah membuktikan ketajaman fikiran beliau dalam soal ekonomi semakin tumpul.

Dr. Mahathir sekarang bukan Dr. Mahathir dahulu yang cukup dihormati dan digeruni, sebaliknya beliau kini benar-benar menjadi pembangkang sehingga sanggup menggadaikan maruah politik sendiri semata-mata mahu melunaskan dendam terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebab itulah dalam ucapannya ketika pelancaran ma­nifesto itu berkali-kali be­liau menyebut perkataan ‘menjatuhkan Najib’ selain tanpa rasa bersalah menyifatkan rakyat Malaysia makan ‘dedak’.