Dalam suasana hari yang kerap pula agak jo’ong (redup) menenangkan, tengkujuh melenyapkan seketika kehangatan siang, dan musim sebegini tiba-tiba mengingatkan banyak orang tentang pelbagai ubi yang mula muncul dijual di tepi jalan, tentang keenakannya untuk dikecap semasa santai minum petang.

Namun bukan hal-hal itu yang menarik perbualan seorang teman yang singgah semasa dalam perjalanan pulang dari Kemaman menuju Besut ketika hujan berjejeran sepanjang laluan tetapi soal tiadanya bendera parti-pasti pembangkang terutama Pas kelihatan, suatu yang dianggapnya di luar kelaziman.

“Sepanjang tahun ini semua orang bercakap tentang pilihan raya, dikatakan hampir tiba setiap bulan, tetapi tak terasa bahangnya sebagaimana selalunya yang seolah-olah berpolitik sepanjang masa termasuk di rumah dan masjid.

“Dan cuma sekali sekala semasa majlis ceramah parti di satu-satu tempat, bendera itu tidak lagi kelihatan di sana sini, di pinggir jalan atau di puncak pokok,” katanya yang suka menyorot perkembangan politik sambil merujuk di kawasan Batu Enam dan Rusila, dua kawasan yang penyokong tegarnya gemar berbaju dan berkopiah hijau sebagai kayu ukur.

Baginya, parti PAN dan ‘parti bunga’ (PPBM) tidak menjadi persoalan dan kudis gatal kerana penyokong mereka boleh ‘dibilang’ dan pemimpinnya tidak mempunyai pengaruh, kurang dikenali dan belum teruji wibawa, selain tak tentu ke mana nasib bangsa mahu dihala oleh parti.

Ya, ada kebenaran dari segi pengamatannya semasa sering berulang-alik merentasi negeri ini yang mem­bayangkan kehangatan berpolitik dalam kalangan rakyat kebanyakan yang seakan tidak pernah berpenghujung tidak lagi begitu terasa sebagaimana kesan banjir kali ini dilalui tanpa banyak kedengaran keluh-kesah.

Ada yang menganggap ini sebagai salah satu kesan da­ripada pendekatan politik matang dan sejahtera Pas yang tidak lagi membiarkan sentimen kebencian dan permusuhan terus dibaja di pentas-pentas ceramah dengan menjaja soal siapa yang lebih Islam, dan mesti dituruti.

Mungkin pendekatan ini turut beransur mematangkan penyokong Pas dengan tidak terus dibuai dengan ketaksuban melulu yang selama ini membantu menunjukkan kekuatan pengaruh parti atau kebenaran perjuangan. ­Apatah lagi, apabila melihat sebilangan tokoh yang dijulang dan kehebatan pidato mereka yang menyeronokkan dan mempengaruhi pemikiran mereka beransur meninggalkan setelah hilang kedudukan.

Atau mereka mulai sedar dengan kesilapan pegangan lalu yang suatu ketika menjarakkan perhubungan dalam masyarakat, apabila dua parti tunjang Melayu itu dilihat bagaikan kiambang yang seakan mula bertaut dalam cabaran politik semasa yang makin menggugat.

Selama ini pegangan itulah yang menjarak dan membezakan penyokong Pas dan UMNO, yang mengikat pegangan penyokong dalam pertelagahan dua parti untuk mendapat kuasa memerintah atas nama demokrasi sehingga setiap kebaikan yang dilihat menjejaskan sokongan dan peluang harus di tepi dan dinafikan.

Jarang sekali kedengaran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif diserang dan adakah ini juga mempunyai kaitan dengan transformasi politik yang dicorakkannya setelah mengambil alih teraju pentadbiran negeri melalui gagasan Transformasi Terengganu Baharu?

Namun suatu yang sememangnya lumrah, yang lebih banyak kedengaran menyuarakan rasa tidak puas hati hanyalah dalam kalangan mereka yang tidak mendapat tempat dalam parti dan kehilangan kepentingan yang di­buru, sehingga sukar berlapang dada.

Zaman politik pembangunan dilihat oleh Ahmad Razif sebagai sudah lama berlalu dengan cuba mencorakkan zaman politik keterlibatan dengan perlu banyak mendengar dan melibatkan masyarakat termasuk parti pembangkang dalam proses membuat keputusan dan pelaksanaan.

Baginya, hubungan di antara kerajaan dan pembangkang juga perlu dilonjak ke satu tahap yang lebih me­nguntungkan rakyat dengan pendirian bahawa perbezaan fahaman politik yang sangat menyedihkan selama ini tidak sepatutnya mengheret permusuhan sehingga ke hari kiamat.

Dalam politik, tiada musuh yang kekal mahupun kawan yang abadi, justeru, di mana ada ruang untuk ­bekerjasama demi kebaikan rakyat, ini harus dilakukan dengan ama­nah dan tanggungjawab berat yang disandarkan.

Pelbagai pendekatan diambil untuk memastikan kebajikan rakyat, kemakmuran negeri dapat terus dipertingkatkan dan cabaran dikekang, ke arah Terengganu lebih hebat namun pastinya setiap dasar, walau sebagaimana ideal dan murni akan tetap ada cacat celanya dalam pelaksanaan.

“Lazimnya jangkaan yang begitu tinggi kepada pemimpin bila ternampak seolah-olah itu kelemahannya mereka sehingga cuba melebarkan rasa kecewa dengan memberi gambaran pemimpin leka dan sehingga segala kesukaran dan ketidakupayaan diri sendiri dikaitkan berpunca daripada pemimpin.

“Tidak semua yang kerajaan dan pemimpin boleh dilakukan. Ada perlu dilakukan sendiri dengan jalan hidup yang dilalui. Haruslah berpada-pada. Apapun Terengganu molek doh, jauh berbanding dengan negeri-negeri lain dalam jaga kebajikan rakyat dan politiknya,” ujar rakan saya itu.

Justeru mengapa keadaan ini perlu diubah dan apa salahnya atas rasa cinta dan kasih sayang melalui hasrat dan perjuangan yang dikatakan murni, semuanya bersama-sama melakukan yang terbaik untuk bangsa dan ne­geri. Kehidupan rakyat akan menjadi lebih tenang dan sejahtera walaupun dalam musim banjir.