Bagaimanapun, dalam konteks kedai rakyat, fokus penubuhannya adalah untuk rakyat bawahan dan pertengahan kerana barang-barang yang dijual di premis ber­kenaan dikatakan semuanya berharga rendah dan berpatutan.

Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)­ sudah beberapa tahun berope­rasi di negara ini dengan harapan dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana berbelanja, sekali gus mem­bolehkan mereka berjimat.

Kedai ini juga dikatakan boleh mengurangkan beban kos sara hidup mereka yang tinggal di kawasan-kawasan bandar terutamanya yang termasuk dalam kategori golongan miskin bandar.

Pada peringkat awal kedai ini beroperasi, ramai yang begitu ­teruja berbelanja di sini kerana harga kebanyakan barang yang dijual murah berbanding kedai runcit dan pasar raya lain. Bagai­manapun, lama-kelamaan harga bagi sesetengah barang agak tinggi jika dibandingkan dengan kedai lain, kecuali barangan kawalan.

Ketika awal penubuhan dan operasi KR1M dulu pun, sudah ada isu-isu yang dibangkitkan teru tamanya tentang kualiti barangan yang dijual. Ini pernah disuarakan pada November 2011 oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai susu tepung yang tercemar. Sehubu­ngan itu, jualan susu tepung ditarik balik oleh KR1M.

KR1M kemudiannya dikatakan mengalami banyak halangan untuk bertahan kerana terpaksa bersaing dengan pasar raya-pasar raya lain yang telah lama bertapak dan harga barangan pun lebih kurang sahaja sehingga menyebabkan kedai itu gagal menarik ramai pelanggan. Kini KR1M kelihatan agak lengang, tidak semeriah awal pembukaannya.

Di beberapa kawasan, jika ditinjau, tidak ramai pelanggan membeli-belah di situ. Kadang-kadang kita melihat hanya pekerja-pekerjanya berada di dalam kedai tersebut. Keadaan­nya tidak sama seperti kedai runcit atau pasar raya lain.

Sebabnya, barang-barang yang dijual tidak lengkap, pengguna tidak mempunyai banyak pilihan atau tiada pilihan langsung dan kuantitinya pula tidak sebanyak pasar raya dan kedai runcit lain. Dalam pada itu, tiada promosi barangan diuar-uarkan untuk menarik perhatian orang ramai. Sedangkan, KR1M sepatutnya menjadi sebuah pasar mini yang serba lengkap. Daya penarik uta­ma untuk pelanggan, sudah tentulah apabila melihat susunan barang yang ba­nyak, mempunyai segala barangan keperluan selain harga berpatutan.

Pada 2012, KR1M menyasarkan akan membuka 85 buah cawa­ngan di seluruh negara dan dikatanya angkanya akan bertambah dari semasa ke semasa. Tetapi kita masih tidak merasa kewujudannya di mana-mana. Sukar untuk mencari lokasi kedai KR1M yang membuatkan golongan berpendapatan rendah ini pasrah sahaja membeli di pasar-pasar raya biasa walaupun harga barangannya agak mahal.

Justeru jika ingin terus bertahan dan mencapai matlamat penubuhannya, KR1M perlu ­melakukan banyak penambahbaikan terutamanya menambah jenis produk barangan. Ini termasuklah menjual barang-barang basah seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan daging segar supaya setan­ding atau sama dengan pasar raya-pasar raya lain.

KR1M perlu memikirkan punca-punca kedai itu kurang mendapat sambutan dan segera mencari penyelesaian. Ini termasuklah lokasi yang sesuai dan kaedah-kaedah mendapatkan barangan dengan harga murah supaya harga akhir yang ditawarkan kepada pengguna lebih murah berban­ding kedai lain.

Banyak juga lokasi KR1M didapati tidak sesuai. Diletakkan di kawasan-kawasan yang penduduknya berpendapatan tinggi atau lokasi kawasan perumahan mewah menyebabkan mereka yang berpendapatan rendah terpaksa pergi ke kawasan itu yang jauh dari rumah mereka. Ini sudah tentunya tidak mencapai matlamat sebenar KR1M.

Dalam pada itu, KR1M juga di­saran membuka peluang kepada pengusaha industri kecil dan sederhana menjual produk-produk keluaran mereka di situ dengan memfokuskan kepada bahan-bahan pertanian dan ­barangan diproses. Dengan cara ini, orang ramai mempunyai banyak pilihan apabila berbelanja di KR1M.

Di samping itu, KR1M perlu memikirkan kehendak dan kemudahan orang ramai yang lebih gemar membeli-belah di suatu tempat sahaja dan bukannya bergerak dari satu kedai ke satu kedai. Maksudnya, jadikan KR1M satu pasar raya yang lengkap segala-galanya. Ini bukan sahaja menjimatkan kos perbelanjaan tetapi menjimatkan masa pengguna.

Justeru, masih banyak ruang penambahbaikan perlu dilakukan oleh pengurusan KR1M dalam menjayakan misinya untuk membantu golongan berpendapatan rendah. Amat mengecewakan apabila melihat KR1M seperti ibarat ‘mati segan hidup tidak mahu,’ sedangkan rakyat negara ini terbeban dengan kos sara hidup yang kian meningkat.