Ini seperti mana pembentangan usul tergempar membahaskan pencemaran toksik di Pasir Gudang yang disifatkan sebagai bencana sehingga kira-kira 1,000 mangsa dirawat dan ada ditempatkan di unit

rawatan rapi (ICU).

Jika BN menjadi kerajaan dulu, lumrah ada suara sumbang di pihak pembangkang akan menyuruh menteri berkaitan meletak jawatan dan bermacam lagi serangan seumpanya ketika mana krisis masih dalam peringkat diuruskan.

Ingat lagi beberapa insiden yang berlaku dulu, sehinggakan insiden pencerobohan di Lahad Datu juga dijadikan modal politik.

Golongan itu kini bagaimanapun sudah berpindah blok di Parlimen. Mereka pula diberi amanah oleh rakyat untuk menjadi kerajaan menguruskan masalah negara termasuk bencana, krisis atau apa sahaja.

Ini masanya menteri berkaitan termasuk menteri yang menguruskan portfolio alam sekitar, Yeo Bee Yin berdepan ujian menangani krisis seperti mana yang dilalui BN dahulu.

Tidak dapat tidak, rakyat memerhatikan tindakan kerajaan. Mereka berhak bersuara sama ada mencadangkan atau merintih tetapi jangan pula cepat menyimpulkan suara itu sebagai mempolitikkan atau menuding jari.

Menteri-menteri jangan terlalu defensif. Kritikan dan pandangan adalah diperlukan, cuma harus disampaikan dalam ruang lingkup yang sesuai agar tidak terlebih bancuh.

Pembangkang ketika sesi soal jawab lisan tadi antaranya Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) mencadangkan tiga perkara berkaitan dan disusuli Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Kubang Kerian) mengenai sisa buangan industri.

Namun, yang jadi perhatian tentunya daripada Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sendiri. Tegas mahukan usul tergempar dibahaskan segera. Dari riak wajah dan intonasi suaranya, tergambar yang kawasan Pasir Gudang memerlukan perhatian serius kerajaan, lebih daripada sekarang.

“YB Menteri tolong saya,” kata wakil PKR itu. -UTUSAN ONLINE